Friday, July 5, 2013

Arang and the Magistrate, Lee Jun Ki dan Drama Tempatan



Ok, saya bukan kaki cerita Korea. Dan ini adalah drama kedua yang saya tonton selepas My Girl 5 tahun yang lalu. Boys Over Flower yang saya tonton pula hanya lompat-lompat kerana ingin membuat perbandingan dengan drama Meteor Garden dari Taiwan. Saya tidak ingin jadi peminat K-Pop kerana, sekali terjebak, aduhai, susahnya nak berundur.  Macam cerita ini, saya habiskan menonton dalam masa 2 hari 3 malam kerana tidak mahu tersangkut lagi lepas itu. Saya heret juga ‘Oppa’ kesayangan saya untuk menonton cerita ini.

Sebelum itu saya ingin menasihatkan, Arang and The Magistrate tidak sesuai langsung ditonton oleh kanak-kanak. Saya juga tidak menggalakkan  cerita ini ditayangkan di televisyen. Ada beberapa elemen tidak begitu baik untuk kanak-kanak. Mula-mula dulu anak saya tengok juga, tapi lepas itu saya tidak benarkan lagi. Agak sukar untuk menerangkan kepadanya, bahawa cerita itu adalah cerita rekaan masyarakat Korea semata-mata. Konsep Syurga dan neraka yang ada dalam cerita itu tidak boleh dipakai dan dipercayai. Tidak ada manusia dalam dunia ini yang tahu tentang rahsia sebenar syurga dan neraka mahupun kehidupan selepas mati. Anak saya mungkin faham tentang penerangan saya itu, tapi adakah kanak-kanak lain akan faham. Apapun saya tidak benarkan dia menonton cerita ini kerana boleh menimbulkan kekeliruan.

Bagi saya pula, ia adalah sebuah hiburan seni yang direka semata-mata. Boleh ditonton, tapi faham-fahamlah kan. Cerita ini pun berdasarkan cerita rakyat Orang Korea. Orang Malaysia pun ada cerita rakyat yang tidak masuk akal juga. 

Satu-satunya alasan mengapa saya menonton cerita ini ialah kerana pelakonnya, Lee Jun Ki. Kalau tidak kerana kehebatan Lee Jun Ki dalam membawakan wataknya sebagai seorang Magistrate, cerita ini tidak akan ada kekuatan langsung. Shin Min A  pula, lakonannya masih boleh diperbaiki. Masih tidak sehebat Lee Dai Ha dalam My Girl. Dan kalau tidak kerana Lee Jun Ki juga saya  tidak akan menonton siri ini.

Sinopsisnya :

Seorang anak bangsawan bernama Kim Eun Oh datang ke sebuah pekan untuk mencari ibunya yang hilang 3 tahun lau. Dalam masa yang sama beliau berkebolehan melihat hantu, tetapi mempunyai karakter mementingkan diri sendiri dan tidak berminat dalam urusan untuk membantu hantu ini. Sampailah terjumpa dengan hantu jalanan gadis sunti bernama Arang yang hilang ingatan meminta bantuannya. Seperti sebelum ini, beliau enggan membantu mana-mana hantu. Arang kemudian membuat pakatan dengan seorang dukun perempuan untuk mengenakan Eun Oh dengan memperdayakannya menjadi Magistrate di pekan itu. Pekan itu pula sudah lama tidak mempunyai Magistrate kerana setiap magistrate yang dilantik akan mati tiba-tiba. Tidak ada seorang pun yang berani memohon jawatan itu. Dia hanya bertukar niat untuk membantu selepas ternampak sepit rambut ibunya pada Arang. Mungkin sepit itu akan menjadi klu kepada pencariannya nanti.

Bersama mencari kisah silam Arang sebelum mati, mereka menemui jawapan bahawa Arang adalah anak seorang bekas magistrate yang hilang 3 tahun dulu kerana melarikan diri bersama seorang lelaki gelandangan. Arang atau nama asalnya Lee Seo Rim semasa hidup telah ditunangkan dengan anak seorang kaya di pekan itu, iaitu Lord Choi. Biasalah, Lord Choi ini mesti menjadi Crook dalam cerita ini.

Kerana terlalu ingin mencari punca kenapa dia mati dan hilang ingatan, dia meminta bantuan dukun tadi untuk berjumpa dengan malaikat maut (Grim Reaper). Dari Grim reaper ini beliau minta dihantarkan kepada Maharaja Jed untuk meminta jawapan. Maharaja jade dan hades memberikan peluang kepada dirinya  mencari jawapan dalam masa 3 bulan penuh. Kalau berjaya dia akan ke syurga, tetapi kalau gagal dia akan ke neraka. Arang bertukar menjadi manusia yang tidak boleh mati dan dihantar semula ke bumi untuk mencari jawapannya.

Bersama Magistrate Eun Oh, Arang menempuhi bermacam-macam dugaan dan pelbagai kesukaran dalam mencari jawapan-jawapan ini, sehingga membuahkan perasaan cinta kedua-duanya ( Ok, itu adalah tarikan mana-mana drama). Sedikit demi sedikit klu mula ditemui sehinggalah akhirnya mereka menemui satu jawapan dan masalah yang lebih besar, iaitu, emak Eun Oh adalah si jahat yang telah membunuh banyak nyawa termasuk Lee Seo Rim sendiri. Tetapi rupa-rupanya emak Eun Oh ini telah dipergunakan oleh dewi syurga yang sangat desperate hendak menjadi manusia. Argghhh..panjang nak cerita. Tengok sendirilah ye.


Saya bukan remaja, yang tergila-gilakan pelakon. Tapi Korea  harus berbangga dengan Lee Jun Ki. Hampir kesemua watak yang diberikan kepadanya dibawa dengan begitu baik sekali.  Dalam cerita My Girl juga ia membawakan wataknya dengan berkesan, walaupun hanya sebagai second hero. Mimik muka, senyuman dan penghayatannya terhadap watak yang dibawa adalah begitu mengkagumkan. Dan dia tidak begitu kacak berbanding pelakon-pelakon Korea lain. Kekuatannya datang dari keupayaan membawa watak dengan penuh penghayatan. Dalam Arang And the Magistrate saya hampir terlupa, bahawa Eun Oh itu adalah Lee Jun Ki. Keupayaan lakonannya telah menghapuskan identiti Lee Jun Ki! Oleh itu, pelakon Malaysia harus belajar sesuatu dari beliau.

Bukan saya hendak bias dengan pelakon Malaysia. Tetapi agak jarang kita memiliki seorang pelakon yang mampu melakonkan watak dengan berkesan hingga kita melupakan skrip cerita itu. Industri drama tempatan harus diperbaiki dalam banyak hal jika ingin bersaing di peringkat global. Bukan asyik-asyik dengan skrip yang sama dan pelakon average sederhana yang mengharapkan rupa paras belaka.

No comments:

Post a Comment