Tuesday, July 9, 2013

Melayu bukan pendatang

Saya bukan pakar sejarah dan bukan juga seorang kurator seperti yang pernah di idam-idamkan dahulu. Tetapi saya ingin menasihatkan kepada kawan-kawan dan saudara mara saya, agar belajar sejarah atau membuat sedikit kajian sebelum mempercayai apa-apa sahaja fakta tentang kependudukan kaum melayu dalam negara Tanah Melayu ini.

Mungkin sejarah adalah satu mata pelajaran yang agak rumit untuk dipelajari kerana kita harus memahami data-data yang berasaskan tarikh dan masa. Data-data itu pula perlu dipelajari mengikut susunan kronologi yang betul supaya lebih difahami. Kebanyakan kelemahan orang lelaki ialah menghafal data kerana secara semulajadinya IQ orang lelaki dibentuk secara kreativiti. Tetapi kaum perempuan juga tidak semestinya aktif dan hebat dalam asas menghafal, seperti saya ini. Jadi, selalu membaca dan menyelidik mungkin akan memberi sedikit ruang untuk kita lebih memahami asas sejarah dalam negara ini.

Wah, panjang lebarnya intro saya. Mari kita pergi kepada point utama yang saya ingin katakan di sini. Kebelakangan ini, ada begitu banyak khabar-khabar yang bertiup di media-media tentang kependudukan sebenar masyarakat melayu di dalam negara ini. Fahamkah anda akan maksud pendatang? Pendatang ialah orang dari sebuah negara lain yang datang ke sebuah negara lain. Sebagai contohnya, orang Rohingya datang le Malaysia dipanggil pendatang. Orang dari negara Indonesia datang ke Malaysia dipanggil pendatang. Orang Cina dan India datang ke Malaysia semasa perang dunia kedua juga di panggil pendatang.

Sebelum kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Negara ini sudahpun bersatu dan dipanggil Tanah Melayu. Tetapi akibat penjajahan British, ia tidak diiktiraf sehinggalah kita mencapai kemerdekaan tersebut. Maksudnya di sini, tanah Melayu adalah sebuah Negara walaupun sebelum ia merdeka.

Kita balik kepada sejarah yang berlaku ratusan tahun sebelum itu. Tidak ada negara yang spesifik dalam kepulauan melayu di sekitar semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Sumatera, Tanah Jawa, Riau, Borneo, Temasik dan lain-lain pada masa itu. Mereka adalah berasal dari satu rumpun. Satu rumpun yang hampir kesemuanya adalah berbangsa melayu. Dan mereka beranggapan, keseluruhan kepulauan melayu dan tanah semenanjung ini adalah milik orang melayu atau lebih tepat, satu negara. Penghijrahan mungkin berlaku sesama mereka dari satu pulau ke satu pulau dan tidak ada apa salahnya, kerana mereka serumpun. Kepulauan ini hanya terpecah-pecah apabila penjajahan mula berlaku.

Adakah anda pernah mendengar istilah pendatang diberikan kepada orang-orang cina yang berhijrah dari Guang Zhou ke Peking (Beijing) atau orang-orang india yang berhijrah dari Chennai ke New Delhi ratusan tahun dulu? Tidak. Kerana mereka beranggapan, wilayah-wilayah itu adalah satu rumpun dan negara mereka juga, walaupun belum ada istilah sebuah negara secara rasminya.

Saya merasa agak hairan kenapa kita bangsa melayu sendiri sangat percaya bahawa kita adalah pendatang dalam negara sendiri dan mengiyakan kata-kata orang tentang tuduhan ini. Berhentilah sejenak dan fikirlah sedikit tentang sesuatu fakta sebelum menerima atau membuat tuduhan melulu. Tidak malukah kita dengan sikap kita sendiri yang senang sangat hendak diperkotak-katikkan dan dibodoh-bodohkan. Senang sangat hendak percaya berita dan khabar yang datang entah dari mana. Dan saya sangat hairan bila seorang pegawai kerajaan berbangsa melayu percaya bahawa beliau adalah pendatang dalam negaranya sendiri!

Politik punya hal, orang melayu sendiri yang hancur. Bagi saya rumours yang diwujudkan ini sebenarnya adalah bertujuan untuk melemahkan semangat perpaduan orang melayu. Penerangan saya ringkas sahaja dan berharap semua orang faham. Kalau dimasukkan fakta-fakta sebenar nanti tidak terhadam pula. Kerajaan Srivijayalah, Kesultanan Melayulah, boleh hadam ke? Saya menulis untuk golongan yang sederhana mindanya supaya ia lebih senang dicerna.

Terpulanglah kepada anda sendiri untuk menilai. Tepuk dada tanya selera. Komen berat tidak akan diterbitkan atau dihapuskan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan perbalahan.

2 comments:

  1. apabila kita mengkaji sejarah, byk perkara yang terbuka dgn sendirinya.. Ia akan mengajak kita berfikir sejenak dan encourage kita utk mengkaji lebih lg.. Tapi pemikiran org melayu zaman kini sudah rosak dimana mereka hanya memikirkan apa yg berlaku pd masa kini tanpa merujuk kepada perkara lampau (sejarah). Sedangkan melalui sejarah, kita akan membentuk jati diri agar tidak mengulangi kesilapan yg dilakukan oleh org terdahulu.. ini hanya pendapat dr saya..

    ReplyDelete
  2. Betul tu, salah satu sikap kurang baik orang melayu ialah senang menerima hasutan dan suka menuduh-nuduh tanpa bukti, selain suka berburuk prasangka.

    ReplyDelete