Wednesday, August 14, 2013

Hujan Meteor yang sukar untuk ditemui

Jangan salah faham, saya tidak berjumpa dengan hujan meteor yang dijangka berlaku. Semalam kalau ikut khabar beritanya dari media, akan ada hujan meteor berlaku selepas pukul 11 malam.

Negara kita pernah mengalami beberapa kali hujan meteor sebelum ini. Kalau ikut pengalaman menunggu saya, fenomena hujan meteor biasanya akan di iringi dengan hujan atau ribut. Ia mungkin dapat dilihat dari beberapa kawasan tetapi itupun belum tentu dengan jelas. Apa kaitannya dengan hujan atau ribut saya tidak begitu pasti. Fenomena kali ini saya menunggu sehingga pukul dua pagi. Tetapi dari awal lagi saya sudah menjangka, mesti akan ada hujan atau ribut berlaku. Memang betulpun, semalam kebanyakan tempat hujan dan khabarnya meteor itu tidak kelihatan begitu jelas.

Saya bukan seorang pakar tetapi saya adalah seorang peminat astronomi. Suatu masa dulu, rajin juga menyaksikan buruj-buruj di kaki langit. Kadang-kadang saya padamkan lampu di halaman dan memandang ke atas langit yang gelap hanya semata-mata untuk menghayati pemandangan indah bintang-bintang itu. Dalam mimpi-mimpi pun saya kerap bertemu dengan bintang-bintang di angkasa ini. Sebab itulah saya begitu gemarkan planetarium negara. Bila ada sesuatu fenomena yang berkaitan astronomi akan berlaku, sayapun turut ambil tahu. Sampailah ke usia sekarang, tidak kira fenomena apa, gerhana ke bulan ke, gerhana matahari ke, hujan meteor ke, saya turut menyibuk. Mungkin tidak selalu, tetapi ada beberapa kali berjaga malam hanya untuk menyaksikan fenomena-fenomena ini.

Kali terakhir saya melihat lintasan objek berupa meteor (dengan jelas) ialah pada tahun 1993. Ketika itu berumur 13 tahun. Itupun secara tidak sengaja. Sejak dari itulah saya mula menjadi peminat dunia astronomi.

Tetapi apabila ada orang mempertikaikan fenomena hujan meteor yang berlaku semalam satu penipuan pihak media, saya merasa agak tersentuh juga. Mungkin mereka kurang membaca atau membuat penyelidikan. Kalau hendak tahu dengan tepat lebih baik berhubung terus dengan pihak Planetarium atau Agensi Angkasa Malaysia. Janganlah mengeluarkan cerita berbaur fitnah.







p/s : bagi peminat astronomi saya mencadangkan untuk mendengar lagu dan muzik bertajuk Exogenesis Symphony Full, dari Muse

No comments:

Post a Comment