Thursday, November 28, 2013

Perjalanan ke Kota Bharu Part 1 - tiga laluan utama dan laluan melalui Grik Perak.

Saya percaya, ramai diantara pembaca yang sudah pergi melawat ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Tetapi tidak ada
apa salahnya berkongsi sedikit pengalaman dan tips.

Sebenarnya sudah beberapa kali saya ke Kelantan dengan hampir kesemua jenis pengangkutan iaitu kereta sendiri, kereta majikan, keretapi, bas dan kapal terbang, kecuali pengangkutan air. Agak seronok juga dapat berjalan-jalan merata ke negeri orang.

Tahun lepas saya pergi bersama keluarga menaiki kapal terbang, kerana tambangnya yang murah. Tahun ini kami pergi lagi tapi menaiki kenderaan sendiri pula. Ceritanya, saya ada kerja di sana namun kerana pemandu kesemuanya sibuk, maka sayapun memilih memandu sendiri. Kalau naik kapal terbang nanti, susah pula nak bergerak. Oleh itu suami menawarkan diri menjadi pemandu tidak berbayar untuk menemankan saya sampai ke Kota Bharu sambil-sambil membawa anak bercuti.

Laluan-laluan ke Kota Bharu.

Terdapat tiga laluan utama untuk sampai ke Kota Bharu, tidak termasuk laluan-laluan kecil lain mengikut daerah-daerah tertentu. Tiga laluan utama itu ialah :

Melalui Pahang
Melalui Gombak-Genting Sempah-Bentong-Raub-Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai-Ketereh-Kota Bharu

  

Melalui Perak
Melalui Highway Utara Selatan - keluar tol Kuala Kangsar (exit 143)-Lenggong-Grik-Tasik Banding-Jeli-Tanah Merah @ Rantau Panjang-Kota Bharu.

 

Melalui Terengganu/Pahang
Melalui Gombak-Genting Sempah-Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) - 
  • Pilihan Jabor-Kemaman-Bandar AL-Mukhtafi Billah Syah-Bukit Besi-Kuala Berang-Setiu-Jerteh-Pasir Puteh-Kota Bharu (laluan dalam)
  • Pilihan Cherating-Chukai-Kerteh-Dungun-Marang-Kuala Terengganu-Setiu-Jerteh-Pasir Puteh-Kota Bharu (laluan tepi pantai)
 

Saya pernah ke Kelantan melalui ketiga-tiga jalan ini. Kesemuanya ada pro dan kontra.

Perjalanan Melalui Perak :

Jika ikut Perak, separuh masa pertama adalah mudah kerana melalui highway PLUS. Dari Kuala Kangsar ke Lenggong jalan agak baik dan senang memandu. Tidak banyak jalan yang rosak atau bersimpang siur. Tetapi selepas melalui Tasik Banding anda akan dapati banyak selekoh dengan pemandangan hutan dan bukit bukau dikiri kanan. Terdapat juga kawasan-kawasan yang menjadi laluan binatang liar. Kena lebih berhati-hati kerana anda tentu tak sudi bertemu sekumpulan gajah atau binatang liar lain, terutamanya pak belang. Ada air terjun juga untuk disinggahi. Tetapi kali terakhir saya melalui air terjun itu, ia tidak terjaga dan kotor. Sampah bertaburan merata tempat. Alangkah rendahnya sivik rakyat tempatan kita. Amat memalukan dan menyedihkan. Banyak juga gerai-gerai tinggal tidak terjaga di tepi jalan. Saya tidak nasihatkan anda melalui jalan ini sendirian pada waktu lewat malam, kecuali berkonvoi. Tipsnya, isi minyak siap-siap di pekan Grik, pastikan kenderaan berkeadaan baik dan pastikan ada bekalan makanan/minuman mencukupi dalam kereta. Jalan ini bukan macam laluan di Pahang yang banyak kedai-kedai dan pekan disepanjang jalan.

Tempat menarik yang boleh disinggahi sepanjang jalan :

Tapak Arkeologi Ulu Perak, Lenggong

Tapak arkeologi di Lenggong adalah sebuah tempat yang telah diisytiharkan berada dalam senarai World Heritage. Anda tahu apa World Heritage? World Heritage ialah satu badan dibawah UNESCO yang mengeluarkan dana untuk melindungi kawasan-kawasan bersejarah di dunia. Tapak ini dipercayai sebuah kawasan penempatan awal manusia pada zaman Paleolitik atau zaman batu awal. Terdapat satu rangka manusia (lelaki) ditemui pada tahun 1991 dengan dianggarkan berusia 11,000 tahun! Rangka ini kemudian di kenali sebagai Perak Man dan khabarnya ia diberi kad pengenalan juga. Walau bagaimanapun, kali terakhir saya bertemu lelaki itu, ia sedang bercuti di Muzium negara, bersama kawannya, sebuah rangka wanita yang dijumpai pada tahun 2004 dengan anggaran berusia 8000 tahun. Ada ura-ura mereka mahu balik ke tempat asal, tetapi sejauh mana perkembangannya saya tidak tahu.

kawasan menempatkan Perak Man di Muzium Negara
Ikan pekasam Lenggong.

Bagi peminat ikan pekasam, kalau sudah sampai sini amatlah rugi jika tidak membelinya. Ia agak istimewa kerana tidak mengeluarkan bau yang kuat ketika dimasak. Selain itu pembungkusannya nampak lebih bersih dan menarik. Ikan-ikan ini ditangkap dari tasik-tasik berhampiran. Masa pergi ke sini dulu saya ada mengambil gambarnya. Tapi bila cari balik sudah tak jumpa, terlalu banyak gambar, sampai saya lupa dimana saya simpan. Harap-harap tidak hilang atau terdelete.

Tasik Banding/Tasik Temenggor

Dari segi rekreasinya saya tidak pernah menyinggah atau bermalam di sini. Ia mungkin hanya sesuai untuk si kaki pemancing dan pencinta alam yang melibatkan hidupan air. Atau ia juga sesuai untuk si kaki tangkap gambar. Pemandangan yang cantik dan klasik, jauh dari kesibukan kota. Jalan ini merentasi tasik banding atau temenggor yang berkeluasan kira-kira 117,500 hektar. Dalam Wikipedia menyatakan, tiada petrol pam apabila melalui jalan grik-pasir puteh ini. Hanya ada sebuah petrol pam, Petronas dibina berhampiran Tasik Banding. Tetapi sebelum dan selepas tasik ini jangan cuba-cuba membiarkan meter minyak anda bergerak ke arah E, kalau tidak, anda perlu berjalan kaki bersama-sama makhluk lain di tepi hutan itu. Selain Tasik Banding, terdapat juga Hutan Belum yang sangat terkenal bagi kaki jungle trekking.

Air terjun

Entah apa namanya air terjun yang terdapat di tepi jalan Grik ini, saya pun lupa. Namun seperti yang telah saya nyatakan di atas, air terjun itu kotor dengan sampah, walaupun tempatnya strategik dan menawan. Ini nasihat saya kepada pembaca semua. Kalau pergi melancong dan tiada tempat buang sampah, ambil balik sampah anda dan cari tempat buang sampah lain. Ramai orang suka cari jalan senang dengan mengeluarkan bermacam-macam alasan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab, ini tidak, pakai kereta besar, speaking Mat Salleh macam kampung halamannya di London, baju lebih mahal dari sepasang tayar kereta saya, tapi bila tiba sivik, ke laut jugak. Pooodah.

Jeli/Kampung Bukit Bunga/Rantau Panjang

Selepas penat mengharungi jalan yang panjang penuh liku di Grik, anda akan sampai ke Jeli Kelantan. Saya tidak pernah singgah di Jeli, melainkan ke sebuah stesen minyak di sini. Kemudian di Kampung Bukit Bunga anda akan dapati ada banyak gerai jualan menjual pelbagai produk dari Thailand. Terpulanglah sama ada hendak beli masa hari balik atau masa hari pergi. Kerana di Kelantan terdapat banyak lagi pilihan kedai terutama di wakaf che yeh, pasar khadijah dan beberapa tempat lagi. Cuma gerai di sini mungkin ada menjual beberapa barang yang tidak ada di Kota Bharu, anda pandai-pandai tengoklah. Sama juga di Rantau Panjang, banyak kedai yang menjual produk dari Thailand.

Tanah Merah/Air Tuak(Nira)

Jika sudah sampai di Jeli dan Rantau Panjang atau Tanah Merah, perjalanan ke Kota Bharu tidaklah mengambil masa terlalu lama. Hanya kira-kira sejam lebih sahaja. Kalau ikut Tanah Merah anda akan melalui Sungai Kelantan yang dari atasnya sayup-sayup boleh lihat jambatan keretapi. Kalau nasib baik, dapat tengok keretapi melintas. Boleh bayangkan seperti dalam Hogwart Ekspress, cuma ia tidak berwarna merah.

landasan keretapi merentangi sungai, sayup-sayup dari jauh
 

Pekan Tanah Merah tidak jauh sangat dengan Machang. Di sekitarnya ramai orang menjual air Nira atau nama spesel di sini, tuak. pertama kali dengar saya ingat tuak yang macam di sabah. Tapi bila fikir-fikir balik, tak mungkin arak, kerana ia dijual ditepi jalan. Rupa-rupanya air nira. Kalau air nira tu, di Perak pun ada jual. Rasanya agak ok juga di sini. Terpulang pada citarasa masing-masing.

Lain-lain entry berkaitan :

Perjalanan ke Kota Bharu Part 2 - melalui negeri Pahang

Perjalanan ke Kota Bharu Part 3 - melalui LPT dan Kuala Terengganu (akan datang)

Pengalaman percutian dan lawatan


air tuak

Pekan Tanah Merah
 


15 comments:

  1. terengganu dah sampai...kelantan belum hehe....
    siap peta lagi tu.... memang kaki bercuti cuti Zila ni....hee

    ReplyDelete
  2. Salam ..lama dah rasanya sy tak ke Kelantan berkereta..mmg ada pengalaman. ...singgah perhentian yg sangat sejuk suasana area tasik Banding tu..

    ReplyDelete
  3. Sya lalu kut perak kak..mmg ada terserempak dgn gajah liar..semua kereta kena berenti kat tepi..tu kali ptama sya tgk satu kumpulan gajah dlm habitat asal.. :)

    ReplyDelete
  4. besnya..seumur hidup saya sekali saja pernah ke kelantan.. tp saya mmg jatuh hati dgn keadaan disana.. org2 kelantan yg paling sy kagum ialah perpaduan mereka utuh..

    ReplyDelete
  5. saya sampai kelantan pada zaman persekolahan tahun 1988 dan last tahun 1993 . Tentu sekarang dah lebih moden pembangunannya ...

    ReplyDelete
  6. Jujurr knor blum pernh sampai lg....

    ReplyDelete
  7. belum sampai kelatan ganu suda.. D:

    ReplyDelete
  8. pernah naik moto dari kelantan ke penang melalui perak.. best..!!!

    ReplyDelete
  9. Rasanya ada satu lagi jalan, Dari Simpang Pulai, Perak ke Cameron Highland lepas tu boleh ke Gua Musang. Buat masa ni hanya pernah ikut KKB - Raub - K.Lipis - Gua Musang

    ReplyDelete
  10. Jln hutan perak ke kelantan tu bahaya klu memandu waktu malam terutama klu berseorangan.. bnyk kes yg sy dengar 1st ttg jenayah samun tahan kereta.. ke 2, benda2 yg kita x nk jumpa.. wallahualam. tp siang udaranya sungguh nyaman kan.. :)

    ReplyDelete
  11. sally dah setahun lebih tak balik kampung...marah dh nenek sally..huhu

    ReplyDelete
  12. alamak baca entry akak tringat pkan gerikk dgn pekasan lenggong..saya yg duk gerik pun x pnah p klantan guna jalan tu kak ;0

    ReplyDelete
  13. salam...hai cik zila...

    sy nk ke jeli dari port klang melalui kuala kangsar...sje berubah angin sbb sllu dah lalu bentong raub gua musang sume...so pndapat cik zila...???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak pengalaman menarik yang akan di perolehi. Jauh perjalanan luas pengalaman. Tetapi pastikan petrol cukup dan anda bersedia melalui kawasan-kawasan menghijau yang jauh dari penempatan. Seperti yang telah saya katakan, kali terakhir saya lalu di sana, hanya satu sahaja petrol pam yang berada di tengah-tengah laluan yang panjang itu, iaitu di tasik banding. Apapun anda akan melalui banyak pengalaman berharga di sini.

      Delete