Saturday, February 16, 2013

minda kecil, minda sederhana dan minda besar

 Saya pernah berkongsi perkara seperti dibawah lama dahulu. Tetapi saya terbitkan lagi sekali kerana merasakan ia adalah satu perkara yang baik. Bukanlah maksudnya saya ini hebat sangat apabila berkongsi perkara-perkara yang berkaitan dengan motivasi. Dari berkongsi perkara-perkara yang tidak berfaedah, lebih baik saya berkongsi sesuatu yang ada manfaat.

MINDA KECIL-:

Golongan ini sentiasa berfikiran negatif dan prejudis dan sentiasa mencari salah orang lain.Senantiasa memikirkan perkara yang remeh temeh dan mempunyai mentality victim.Dan senantiasa cenderong untuk berbicara tentang kehidupan harian mereka. 95 peratus manusia adalah terdiri dari golongan ini.

MINDA SEDERHANA-:

Golongan ini sentiasa berusaha untuk menyelesaikan persoalan golongan minda kecil tadi.4 peratus manusia dari golongan ini.

MINDA BESAR-:

Golongan ini mempunyai minda yang besar..jiwa yang besar…golongan ini sentiasa mencari idea idea yang baru untuk kebaikan semua orang.Baik untuk negara…bangsa dan agama.Dan golongan ini senantiasa berpandangan jauh dan mempunyai skop pandangan yang luas.Golongan ini hanya 1 peratus sahaja.

Jiwa wanita terlalu kacau

 Petikan dari Harian Metro

 Rasanya boleh juga artikel ini dijadikan panduan. Perkara tegur-menegur mesti dilakukan dengan berhemah, tidak kira walau apapun perkaranya. Salah-salah provokasi buruk padahnya. Siapalah manusia yang suka menerima provokasi melampau. Provokasi juga boleh dikira sebagai senjata untuk melukakan hati manusia. Orang yang suka melakukan provokasi tidak begitu cerdik dari segi emosinya. Ia merasa puas apabila dapat mengeluarkan senjatanya itu, tetapi kurang berfikir akan kesan dari kelakuannya itu. Provokasi boleh juga dilakukan melalui laman-laman sosial. Kebelakangan ini ramai juga pemilik laman sosial yang dikenakan tindakan kerana melakukan provokasi bersifat perkauman, keagamaan dan sebagainya. Malangnya provokasi melalui lidah amatlah sukar untuk dibuktikan di mahkamah

Jiwa wanita terlalu kacau

Kuala Lumpur: “Wanita yang hilang pertimbangan sehingga tergamak menikam suami sendiri di Melaka Isnin lalu, berkemungkinan berdepan tekanan emosi dan tidak dapat mengawal perasaan,” kata Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar.
Menurut beliau, kecenderungan individu bertindak di luar kawalan sering berkait dengan emosi dan tekanan perasaan yang dilalui dalam kehidupan seharian.

“Dalam kes yang berlaku di Melaka, kita percaya wanita berkenaan bertindak sedemikian kerana ada unsur provokasi dalam teguran suaminya.
“Mungkin ada perkataan atau tuduhan berat yang sudah kerap kali dinafikan wanita berkenaan, namun masih dijadikan senjata oleh suami dan mungkin juga ada kritikan yang mengguris perasaan serta mencalar maruahnya sebagai isteri.

“Semua faktor ini perlu diambil kira kerana boleh mendorong kepada tekanan emosi melampau. Apabila ia gagal ditangani dengan baik, maka wanita berkenaan cenderung bertindak mengikuti emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro mengenai seorang wanita yang `naik minyak’ dan bertindak menikam suami menggunakan pisau selepas berang ditegur kerap keluar rumah tanpa izin.
Menjelas lanjut, Dr Osman berkata, biarpun suami berhak menegur perbuatan buruk isteri, namun ia perlulah dilakukan dengan cara berhemah.

“Ada orang yang mudah menerima teguran, tapi ada juga yang tidak boleh mengawal kemarahan sekiranya perbuatan mereka dikritik, terutama orang terdekat.
“Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila ingin menyampaikan teguran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tuesday, February 12, 2013

psy dan litar sepang

Sana sini heboh orang mempersoalkan kedatangan PSY ke Negara ini. Persembahannya hanya mengambil masa selama lebih kurang 8 minit, tetapi khabarnya beliau dibayar sehingga RM2 juta. Satu angka yang amat besar. Para blogger, para cendikiawan, para artis Malaysia, para pemilik facebook dan para-para semuanya berpakat-pakat mengeluarkan kutukan yang sangat bernas dalam hal ini. Ada yang menyumpah seranah, ada yang ketawa girang dan ada yang bermuka-muka pula.

VIDEO YOU TUBE
PSY bukan satu nama kecil dalam industri hiburan antarabangsa. Walaupun hanya satu lagu yang agak entah apa-apa beliau tetap mendapat nama di merata dunia. Tontonan video PSY di You Tube mencecah hampir 1.5 billion dan mendapat lebih enam juta 'like'. Banyak juga pengaruh si PSY ini hinggakan banyak celebriti-celebriti antarabangsa dan ahli-ahli politik ternama berusaha mempelajari cara tariannya itu.

MALAYSIA
Malaysia adalah sebuah negara yang kecil sahaja. Jumlah penduduknya baru hendak menghampiri 30 juta, itupun entah bilakah akan mencecah. Dalam tempoh lebih sepuluh tahun, kita membina pelbagai bangunan, menghantar angkasawan ke satelit, mencipta pelbagai innovasi baru seperti terowong SMART, membangunkan bandar unik seperti Putrajaya dan melobi pelbagai pertandingan antarabangsa seperti F1, Sukan Komanwel, Le tour de Langkawi dan MotorGP.

BERLUMBA DI LITAR SEPANG
Beberapa tahun yang lepas, saya hadir ke sebuah kursus yang diwajibkan oleh majikan di negeri yang telah diistiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu Negeri Melaka. Dalam kursus itu saya telah berjumpa dengan ramai pegawai dari pelbagai agensi dan juga berjumpa dengan pegawai yang pelbagai jenis ragam. Ada yang anti kerajaan, ada yang pro kerajaan, ada yang berkecuali dan ada yang tak paham apa-apapun. Sedihnya.
Dalam satu perhimpunan seorang pegawai perempuan telah mengangkat tangan lalu mempersoalkan, akan kepentingan Litar Sepang. Ia tidak memberi satu manfaat apapun terhadap rakyat Malaysia. Katanya, beliau dan rakan-rakannya tidak boleh berlumba di Litar itu sesuka hati. Peniaga air juga tidak dibenarkan membuka gerai seperti dipasar malam atau di pasar tani. Lalu apakah manfaatnya litar itu dibina sehingga beratus-ratus jutaan ringit kalau beliau tidak boleh berlumba di litar itu?

PIALA DUNIA DI BRAZIL DAN OLIMPIK DI CHINA
Brazil adalah sebuah negara yang amat terkenal dengan sukan bolasepak. Tahun 2014 ia akan menjadi penganjur kepada pertandingan bolasepak paling masyur di dunia iaitu Piala Dunia. Negeri China telah menganjurkan satu lagi sukan paling berprestij di dunia pada tahun 2008 dan membina satu stadium berbentuk sarang burung dengan kos yang AMAT MAHAL! Kedua-dua negara ini dengan begitu bersusah payah melobi untuk menjadi Tuan Rumah kepada pertandingan-pertandingan itu. Setiap kali pertandingan itu berlangsung makan jutaan manusia akan berpusu-pusu ke negara yang menganjurkan untuk melihat dan bertemu bintang-bintang sukan ternama dunia secara dekat. Stesen-stesen TV pula berebut-rebut untuk menyiarkan kejohanan secara langsung. Bagi yang tidak mampu untuk ke luar, akan menonton di kaca tv sahaja. Oleh itu kedai-kedai mamak akan memasang layar lebar bagi memudahkan orang ramai menyaksikan pertandingan secara langsung bertemankan secawan teh tarik.

STATISTIK PENDUDUK DUNIA
Statistik penduduk dunia sehingga tahun 2012 dianggarkan berjumlah kira-kira 7 billion orang. Jumlah televisyen yang dimiliki oleh setiap penduduk dunia tidak dapat dianggarkan, tetapi di Malaysia, sekurang-kurangnya sebuah rumah pasti memiliki paling kurang sebiji TV. Dibandar-bandar yang lebih urban pula, kebanyakan rumah memiliki lebih dari satu, mungkin dua atau tiga. Dan kini, terdapat jalur internet yang memudahkan sesiapa sahaja berhubung dengan dunia luar serta mengupload apa sahaja video dan ditonton dimana-mana di serata dunia asalkan mempunyai punca internet.

MARKETING STRATEGI SKALA BESAR
Apabila ada satu-satu pertandingan atau aktiviti antarabangsa dianjurkandi mana-mana negara, ia akan mendapat liputan meluas dan berita itu akan dibawa ke merata-rata dunia, hatta ke negara yang kita tidak pernah sekalipun mendengar namanya. Berita itu juga akan sampai ke negara yang sedang bergolak, sedang aman, sedang berperang, sedang maju, sedang miskin, sedang membangun ataupun negara-negara yang sedang suam-suam kuku. Kesemua negara ini akan maklum apa yang sedang berlaku dan siapa negara yang sedang menganjurkan. Ia adalah sebuah marketing strategi yang tidak ternampakkan oleh mata-mata kasar rakyat yang marhaen mahupun yang merasa maksum.

BEZA NEGARA TERKENAL DAN NEGARA TIDAK TERKENAL
Di dalam sebuah pasar, diletakkan dua jenis barang yang sama kualiti. Barang A di label sekian-sekian,  begitu juga dengan barang B. Bezanya, barang A adalah berasal dari United Stated of Amerika dan barang B berasal dari negara Gabon. Ok, bagi yang dangkal akan berkata begini, "hoi! jangan beli barangan buatan Amerika, mereka adalah pencipta internet, dalam internet itu ada perkataan Yahudi. Kita kena boikot sebarang benda yang melibatkan Yahudi". Tapi bagi kebanyakan orang biasa yang normal termasuk yang bukan Islam akan memlilih barangan A. Kerana mereka kenal dengan USA dan tahu kredibiliti USA. Itu contoh marketing strategi.

PROMOSI NAMA NEGARA
PSY, Litar lumba Sepang, Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Program Angkasawan adalah marketing strategi. Setiap kali ada peristiwa besar atau orang ternama datang kenegara kita, negara lain akan turut menyiarkan berita tentang mereka, seperti juga kedatangan Kate dan William dulu. Ia adalah satu usaha promosi nama negara di mata dunia. Orang luar akan nampak negara ini penuh dengan kemudahan dan ada kualiti untuk mencipta barang-barangan. Adakah negara-negara miskin mampu berbuat seperti kita?

PERKARA MEMBAZIR
Skop membazir memang sangat Objektif. RM 2 juta secara kasar kita nampak satu jumlah yang besar. Tetapi kita mendapat satu point di samping itu. Ia adalah pulangan secara jangkamasa panjang. Terdapat beberapa cara untuk mempromosi sesebuah negara.  Cara tradisional dan cara moden.

Korea menghasilkan gelombang artis yang dipanggil K-Pop serta cerita-cerita Televisyen yang ditonton di seluruh dunia. Kemudian mereka membangunkan industri perlancongan dengan menghias negara dan memasukkan hiasan-hiasan itu kedalam industri hiburan mereka. Orang yang menonton akan tertarik dan teringin pula ke sana untuk melihat sendiri keindahan negara itu. Singapura pula tidak mempunyai satu industri hiburan yang kukuh, oleh itu mereka selalu menjemput artis-artis atau figura ternama ke negara mereka. Artis dan figura ternama ini sentiasa mendapat perhatian antarabangsa dan paparazi berusaha untuk mendapatkan berita dimana mereka.

Cara tradisional ialah menghantar duta-duta ke laur negara dan melakukan promosi di sana. Tetapi ia adalah cara yang agak lambat dan kurang meninggalkan impak. Orang ramai tidak kenal dengan duta.

ISLAM DAN MENGAMALKANNYA DINEGARA KITA
Ya, memang agak dangkal tarian PSY itu. Sayapun kurang suka. Tetapi jangan kerana kita tidak suka maka fikiran kita menjadi kuno dan tertutup. Teruskan saja amalan-amalan kita yang baik seperti mengucap, beristighfar, mengaji A-Quran, menutup aurat berzikir dan sebagainya. Walaupun kita banyak mengutuk orang yang tidak sembahyang atau tidak menutup aurat adakah kita yakin amalan-amalan yang kita lakukan  terima Tuhan. Dalam negara ini tidak ada halangan untuk mengerjakan amalan yang mulia ini walau dimana-mana juga.


BUKAN POLITIK
Entry ini bukan berkenaan politik. Ia berkenaan bisnes. Ia sekadar membuka mata tentang sebab musabab sesuatu benda dilakukan. Walaupun kadang-kadang ada antara ahli-ahli politik dari kedua-dua belah pihak yang saya sangat tidak suka cara mereka memerintah, tetapi bagi saya orang Islam masih perlu bersatu. Sekali lagi, tiada halangan untuk kita beragama dalam negara ini. Apa yang perlu dibising-bisingkan. Didik sahaja mereka bagi yang mampu, jangan tahu bercakap dan mengutuk sahaja.







Monday, February 11, 2013

Perempuan tidak cantik dan perempuan berhias


Bagi seorang perempuan yang normal pasti akan merasa kecil hati apabila digelar tidak cantik. Begitulah yang pernah terjadi kepada saya beberapa ketika sebelum berkahwin. Tetapi mujurlah suami ingin berkahwin dengan saya bukan kerana paras rupa. Ceritanya, ada seseorang apabila mengetahui kami berkawan dan ingin berkahwin berkata kepada suami saya, carila perempuan lain yang ada rupa sikit, dia (saya) tu tak lawa. Lebih kurang begitulah ayatnya. Demikianlah saya masih mengingati sampai ke hari ini ayat kutukan itu sebagai satu tauladan.

Cantikpun subjektif juga. Tidak semestinya pada paras rupa. Tak guna kalau ada rupa tapi mulut dan hatinya dangkal. Nanti mana tahu lepas kahwin, selang beberapa tahun isteri yang disangka cantik dan dibangga-bangga itu akan berubah menjadi gemuk gedempol pula. Tak ke haru. Bangga setakat pada hari perkahwinan sahajalah. Kena pulak kalau isteri itu bermulut celupar, sudahlah rupa kurang, hatipun sakit.

Baru sekejap tadi saya membaca rencana tentang larangan mengubah wajah. Memang saya bersetuju dengan rencana itu. Tidak perlu mengubah wajah yang telah siap dicipta sempurna oleh Penciptanya. Dalam rencana itu juga menyatakan wanita hanya boleh berhias untuk suami sahaja, lain dari itu mereka tidak dibenar berhias langsung. Haa, yang itu saya kurang setuju.
Ok, setiap orang mempunyai persepsi tersendiri terhadap perkara berhias. Bagi saya orang yang cantik berhias itu mempunyai auranya tersendiri, mampu mendatangkan perasaan senang kepada mata yang melihat, tidak kira lelaki atau perempuan. Bukan semua wanita yang cantik berhias akan mendatangkan nafsu syahwat. Saya tidak begitu percaya statement itu. Lelaki kalau hidung belang dan bernafsu buas, nenek tua berkembanpun dia terliur. Memang ada sesetengah orang yang personalitinya boleh menimbulkan berahi, tetapi bukanlah semua orang.  

 


Pada zaman ini, berhias sudah menjadi seperti satu keperluan, bukan lagi untuk menunjuk-nunjuk. Walaupun ia bukan satu perkara fardu, tetapi apabila kelihatan menarik, ia akan mendatangkan perasaan senang dan yakin kepada orang sekeliling serta kepada diri sendiri. Tidak usahlah menipu diri sendiri.Namun janganlah berlebih-lebihan sehingga menjadi bahan kutukan atau menyakitkan mata yang memandang serta masih perlu menjaga syariat.

Saya pernah melihat beberapa situasi, suatu hari seorang wanita berpakaian sederhana tetapi menutup aurat dan tidak bermake-up masuk ke dalam sebuah kedai pakaian. Pelayan di kedai itu tidak berminat melayannya dan hanya menjawab sambil lewa seolah-olah pelanggan wanita itu adalah orang yang bodoh dan tidak bersekolah. Dalam kedai yang sama, masuk lagi seorang wanita yang berpakaian menutup aurat juga, tetapi agak lebih kemas dan sofistikated, serta berhias diwajahnya. Pelayan kedai dengan berhati-hati menjawab pertanyaan pelanggan ke dua ini serta memberi perhatian yang lebih.


Lagi satu situasi, keadaan yang sama seperti wanita pertama diatas, sangat sederhana, menutup aurat dan tidak bermake-up, masuk ke sebuah kedai serbaneka untuk memohon borang kerja, tiba-tiba pekerja kedai itu memaklumkan tiada kerja kosong, padahal sudah terpampang diluar kedai ada kekosongan. Memanglah kita rasa tidak patut kedua-dua pekerja di atas memilih bulu, tetapi itulah hakikatnya. Orang yang selekeh dan tidak  kemas tidak akan diyakini kredibilitinya. Kedua-dua cerita ini adalah cerita benar yang dilihat dengan mata kepala sendiri.

Dulu sewaktu menghadiri interview mana-manapun saya akan memakai blazer dan merapi diri untuk memberi keyakinan kepada tukang interview saya itu. Hampir kesemua syarikat yang saya pergi interview itu menawarkan pekerjaan. Saya bukan cantik jelita, tetapi perapian dan berpakaian kemas dalam sesetengah situasi memang perlu. Oleh itu saya menyebutnya sebagai satu keperluan.

Cuma sekarang, saya sudah tidak perlu untuk berhias seperti beberapa tahun yang lepas ketika pergi interview. Hanya setakat berpakaian seperti yang dituntut oleh majikan. Tetapi saya masih memakai alatan solek setiap hari. Tujuan memakai alat solek itu pula bukanlah untuk menarik perhatian orang, kerana kesemua pelanggan yang datang bertemu dengan saya bukan bertujuan untuk melihat perempuan cantik, sebaliknya hanyalah untuk tujuan kerja. Cara berkomunikasi dan kredibiliti adalah jauh lebih penting dalam pekerjaan ini. Saya memakai alatan solek hanya untuk melindungi wajah dari pancaran radiasi matahari dan lain-lain persekitaran yang tidak sihat seperti habuk dan jerebu.


Pemikiran dangkal sesetengah orang sebenarnya banyak menjejaskan diri mereka sendiri. Orang melayu asyik menyalahkan orang cina dan india kerana jarang memberi peluang kepada mereka dalam sektor pekerjaan yang lebih baik. Tetapi jika anda adalah seorang majikan, anda pasti akan memilih seorang pekerja yang anda yakini untuk membantu melakukan kerja-kerja anda, bukan seorang yang selekeh dan tidak menyakinkan. Itulah kenyataannya.

Walau bagaimanapun, bukan setiap masa seseorang perempuan itu kena berhias dan bersolek. Ia harus mengikut tempat dan kesesuaian juga. Bayangkan, apa persepsi masyarakat bila melihat seseorang yang datang menziarah jenazah atau orang sakit dengan memakai baju lip lap dan eye shadow seperti kera baru lepas pecah rumah? Atau juga bila melihat seseorang yang berpakaian ala-ala gangster ketika menghadiri sebuah majlis pernikahan? Ate, nape gitu, idok tau majlis ke, buruk benor ghopernyer kata orang-orang Perak.



Sunday, February 10, 2013

Kenangan muzik Nirvana



Entry ini hanyalah untuk menceritakan minat dan pengalaman zaman remaja saya terhadap kumpulan Nirvana. Ia bukanlah entry yang menceritakan sepenuhnya perihal kumpulan ini. Ia mungkin bercampur baur dengan pengalaman saya sendiri.


Ramai mengetahui saya adalah peminat Coldplay dan Muse. Tetapi sebenarnya saya juga adalah peminat muzik Nirvana sejak bertahun-tahun lamanya. Mereka telah banyak meninggalkan kenangan-kenangan manis disepanjang zaman persekolahan dan Universiti dulu. Dengan begitu susah payah saya pernah mencari duit untuk membeli album-album atau kasut, beg dan baju yang beridentitikan Nirvana. Converse adalah jenama yang paling sinonim dengan kumpulan Nirvana. Begitulah kuatnya pengaruh kumpulan itu terhadap zaman remaja saya.  


  

Walaupun saya tahu ada persepsi buruk terhadap mereka dari pelbagai pihak termasuk adik beradik saya sendiri, tetapi ia tidaklah dapat menghalang minat saya. Bayangkan selama beberapa tahun dari tahun 1995 di tingkatan empat sehingga saya masuk ke Universiti dan bergraduat pada tahun 2003, saya masih setia mendengar lagu-lagu mereka. Hampir seperti tidak ada kumpulan lain yang mampu menandingi minat saya itu (sebelum berjumpa dengan muzik Muse dan Coldplay). Ada juga kumpulan lain yang saya minati dan beli kasetnya seperti Greenday dan Linkin Park, namun ia tetap tidak sama dengan pengaruh muzik Nirvana  dalam diri saya. 

Saya tidak ingat bagaimana boleh terpikat dengan muzik grunge atau alternatif, tapi itulah titik permulaan minat saya terhadap lagu-lagu jenis hardcore sampai kini. Walaupun pada zaman itu tidak ada akses IT seperti sekarang yang memudahkan peminat untuk mencari maklumat, tetapi saya tahu banyak juga tentang kisah Kurt Cobain dan Nirvana. Kaset yang mula-mula saya miliki ialah Nevermind kemudian Unplugged In New York dan seterusnya In Utero.

Mungkin tidak banyak album yang dihasilkan oleh Kurt Cobain semasa hayatnya. Tetapi beberapa album mereka memberi kesan yang sangat meluas. Saya mengumpamakan Nirvana adalah satu lagenda pioneer dalam industry muzik, sama seperti Elvis Presley, The Beattle dan ABBA. Kurt Cobain dan kumpulannya adalah orang yang mula-mula mempopularkan muzik Grunge Alternatif. Selepas muzik Nirvana mendapat tempat, barulah keluar Radiohead, Better Than Ezra, Greenday, Smashing Pumpkin, Pearl jam, Oasis, Offspring dan sebagainya.
Kurt Cobain, seorang kutu jalanan yang pandai bermain muzik. Mungkin kisah hidupnya tidak sebaik Matthew Bellamy atau Chris Martin dalam permulaan karier muzik. Kisah hidup yang penuh berliku dan bersimpang siur. Seorang anak terbuang yang tidak dididik dengan sempurna  lalu terpengaruh dengan banyak gejala-gejala negatif dalam hidupnya. Namun dia seorang yang begitu berbakat. 

Smell Like Teen Spirit dan Something in the Way adalah kisah jalanan yang benar-benar dilalui oleh Cobain. Video klip Smile Like Teen Spirit mungkin ditonton oleh jutaan peminat dan mendapat banyak komen, tetapi dalam satu rencana menyatakan video klip itu dibuat dengan menggunakan perbelanjaan hanya sebanyak 10,000 US Dollar sahaja, sebuah bajet yang sangat kecil berbanding penyanyi penyanyi ternama lain yang mungkin mencecah sehingga 100,000 US Dollar! Alasannya, mereka bukan kumpulan yang popular. Dan sebelum terkenal,  beliau pernah terlibat dengan persembahan yang hanya dihadiri oleh dua orang penonton sahaja.

Saya adalah seorang yang agak particular dalam memilih muzik yang diminati. Seingat saya hanya ada beberapa penyanyi sahaja yang benar-benar mendapat tempat dihati. Yang lain-lain itu, setakat minat sahaja, tetapi tidak banyak mempengaruhi kehidupan saya atau sekurang-kurangnya meninggalkan kenangan.


Minat pada kumpulan ini telah membuatkan saya mencipta satu signature dan nama samaran yang selalu digunapakai semasa disekolah dulu. Seorang sahabat yang telah terpisah bertahun-tahun lamanya pernah mencari saya di internet dengan menggunakan nama samaran itu, tetapi selepas bergraduat saya  tidak lagi khayal dalam dunia gigs dan tidak menggunakan mana-mana nama samaran yang melibatkan artis.

Walaupun saya peminat Nirvana, tetapi Alhamdulillah, dari mula sampai ke hari ini saya belum pernah terjebak dengan mana-mana aktiviti tidak sihat. Lirik-lirik lagu merekapun saya teliti juga serba sedikit kerana mungkin ada diantara lirik-lirik itu agak keterlaluan dan tidak sesuai. Tidak seperti Muse dan Coldplay, saya tidak pernah memperkenalkan Nirvana kepada anak-anak saya. Mereka memang tahu saya seorang peminat Muse dan Coldplay, tetapi mereka tidak pernah tahu saya adalah seorang kipas susah mati kumpulan Nirvana suatu ketika dulu.




Saturday, February 9, 2013

Mencerca dalam laman sosial

Mungkin ia agak sedikit sensitif.

Sebagai tanggungjawab bersama saya ingin meluahkan sedikit pendapat. Kebelakangan ini ramai pemilik akaun-akaun laman sosial suka mengadu masalah dalaman suami isteri. Ia bukan sesuatu yang baik. Kalau setakat mengadu dengan berkias-kias boleh juga diterima, tetapi jika mengadu-ngadu dengan bahasa yang kurang sopan, ia dikira biadab.

Ok, bukan setakat di khalayak ramai, dibelakang suami/isteripun kita tidak boleh memalukan mereka.

Kalau mencerca suami/isteri sendiripun sudah begitu lantang, apatah lagi apabila mencerca orang lain pula.

Kadang-kadang bahasa akan menunjukkan mentaliti kita samada tahap tapak kaki atau tahap berlian.

Sekian.

Pesanan adalah untuk diri sendiri juga

Friday, February 8, 2013

Politik yang menakutkan

Melihat apa yang terjadi dalam dunia politik di negara kita sekarang ini adalah amat menggusarkan. Saya belum bertemu dengan mana-mana pemimpin dari mana-mana pihak yang benar-benar boleh diharap untuk menyelesaikan semua kemelut agama, menyatupadukan semula rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara seperti suatu masa dulu. Beberapa inisiatif yang telah diambil untuk menarik hati rakyat sebenarnya hanya akan memakan diri sendiri suatu hari nanti. Parti pembangkang pula berterusan mengasak dengan isu-isu yang tidak masuk akal. Semuanya amat menakutkan saya.

Thursday, February 7, 2013

Akibat Suka Menyimpan Perasaan Dengki Terhadap Orang Lain | Anak-Anak Negeri Sembilan Blog

Akibat Suka Menyimpan Perasaan Dengki Terhadap Orang Lain | Anak-Anak Negeri Sembilan Blog

 Bagi yang suka membaca cerita Enyid Blyton pasti perasan cerita dibawah ada persamaan dengan beberapa cerita yang dikarang oleh penulis tersebut. Tetapi cerita ini di dalam bahasa melayu dan terdapat sedikit perbezaan. Siapa pengarangnya saya tidak pasti. Ia dipetik dari sebuah blog tempatan seperti pautan di atas. Apapun jangan mudah merasa irihati dan dengki, tidak ada gunanya.

 Memang tidak dinafikan, ada segelintir manusia ini memang tidak suka melihat kebahagaian , kesenangan orang lain.  Jika sudah menyimpan perasaan hasad dengki itu, memang akan ada sahaja yang seseorang itu akan cuba lakukan sampailah sesuatu perkara itu akan musnah. KisahBest.My akan berkongsi dengan anda tentang tiga orang budak hitam yang hidup sebagai sahabat. Namun di pengakhiran cerita, rupa-rupanya salah seorang daripada mereka menyimpan perasaan dengki terhadap orang lain. Ikuti kisah di bawah ini.




Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.

Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata ” Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu”

Nuffnang Ads


Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, ” Pintalah!” Budak hitam pertama pun berkata . “Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik” Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,”Pintalah!”.

Budak hitam kedua pun berkata .” Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama”. Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih dan cantik lebih daripada budak yang pertama. Jin pun berkata kepada budak hitam ketiga, “Pintalah!”. Budak hitam ketiga pun berkata .”Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama dan kedua”.

Jin pun berkata. ” Tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan. Pintalah yang lain…” Budak hitam ketiga kehairanan dan terfikir-fikir apa yang mahu dipintanya.

Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun berkata ” Kalau begitu, aku pinta kau hitamkan kembali rakan aku yang dua orang itu” Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin pun berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang dan tidak memperolehi sesuatu apa pun.

Moral:

Sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Sikap ini sebenarnya pada akhirnya merugikan manusia sendiri.


Wednesday, February 6, 2013

Tempahan Kumpulan Qasidah Sekitar Bangi, Putrajaya, Nilai dan Sepang





Bagi yang berminat untuk menempah kumpulan Qasidah dari USIM ini membuat persembahan di majlis masing-masing boleh menghubungi  Hussaini Mahmur 019-6037481 untuk maklumat lanjut. Sedikit tambahan maklumat, Hussaini adalah seorang Qari yang sangat pandai mengaji Al-Quran. Kumpulan Qasidah yang membuat persembahan ini adalah pelajar-pelajar USIM. Walau bagaimanapun, tempahan itu tertakluk kepada hari cuti mereka.

persembahan qasidah unit kebudayaan USIM sempena Majlis Sambutan Maulidu...