Wednesday, June 26, 2013

Budak didera bapa tiri - Sinar Harian

Budak didera bapa tiri - Sinar Harian

Tergamaknya si bapa tiri mendera seorang kanak-kanak yang tidak berdaya ini sebegini. Si ibu juga bersalah membiarkan anak di dera sebegini. Kemanakah hilangnya perikemanusiaan mereka berdua.





Budak didera bapa tiri



Budak didera bapa tiri

KUALA TERENGGANU - Apa dosaku? Itulah mungkin pertanyaan yang ingin diluahkan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun, dipercayai didera dengan begitu kejam sekali oleh bapa tirinya dalam kejadian di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dikurung bersendirian dalam tempoh beberapa hari tanpa diberi makan dan minum, malah lebih menyayat hati, seluruh tubuh kecilnya itu turut cedera dengan kesan cucuhan puntung rokok dan melecur di kaki sehingga bernanah.

Bagaimanapun, penderitaan anak sulung daripada tiga beradik itu berakhir jua selepas dia berjaya diselamatkan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyerbu rumah sewa keluarga kanak-kanak tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, seorang pegawai JKM berusia 41 tahun telah menghubungi Balai Polis Gong Badak, kira-kira jam 4.30 petang memaklumkan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan bantuan untuk ke lokasi kejadian.

Manoharan berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kanak-kanak malang itu didapati berada dalam keadaan yang amat lemah dengan kesan kecederaan di seluruh badan, dipercayai didera sebelum pemeriksaan lanjut turut menemui kesan bengkak di kedua-dua belah kaki mangsa dan melecur pada bahagian kaki sehingga bernanah serta dijangkiti kuman.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan calar di seluruh tubuh mangsa, lebam di mata dan di mulut serta terdapat kesan cucuhanpuntung rokok pada perut mangsa.

“Selain didera dan dikurung, mangsa yang boleh bertutur dengan baik mengadu kelaparanselepas tidak diberi makan dan minum sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Siasatan awal mendapati mangsa didera dan dikurung bapa tirinya yang dikahwini ibunya berusia 29 tahun sejak 10 bulan lalu selepas kematian bapa kandung kira-kira dua tahun lalu.

“Kami difahamkan semasa mangsa diselamatkan, ibunya berada di HSNZ untuk mendapatkan rawatan tangannya yang patah, dipercayai akibat didera suspek," katanya. Manoharan berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai membawa isteri bersama dua lagi anak tirinya itu, masing-masing berusia 5 dan 2 tahun, lari dari HSNZ sebaik menyedari perbuatannya terbongkar.

"Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rumah Awam Kos Rendah, Gong Badak, di sini, kirakira jam 12 tengah hari, semalam.

“Turut berjaya diselamatkan, dua lagi adik mangsa dan hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya mempunyai kesan dera dan dihantar ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut, sementara ibu mangsa juga dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Semasa ditahan, suspek dan juga ibu mangsa didapati positif dadah methamphetamine," katanya.

Tuesday, June 25, 2013

Cerita kehidupan



Kawan sepejabat saya baru sahaja update statusnya di facebook, tentang seorang kawannya yang baru kehilangan suami. Mungkin kehilangan secara tiba-tiba, yang membuatkannya menjadi Down.
Sebagai seorang wanita sudah bersuami, saya turut bersimpati terhadap kawan kepada kawan sepejabat saya itu, walaupun tidak mengenalinya.

Dalam berjuta-juta perkara dalam dunia ini, perkara yang paling sensitif untuk saya kenangi selalu ialah suami saya. Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk atau bercakap berlebih-lebihan. Tidak semua orang suka bila kita bercakap tentang perasaan dan kehidupan seharian kita. Itu perkara normal. Berlebihan akan membuatkan orang jemu dan meluat, tentang apa sahaja. 

Tetapi jujur saya katakan, suami saya adalah seumpama cahaya. Cahaya yang lebih terang dari matahari dan lebih bersinar-sinar dari segala bintang yang ada di kaki langit. Tanpanya saya menjadi lemah, biarpun seketika, biarpun hanya beberapa saat. Ya, kami juga adalah pasangan yang normal, kadangkala ada perselisihan dan kadangkala ada saat muram tapi saya tak mampu tersenyum tanpa sokongan darinya.

Tuhan telah kurniakan suami saya dengan beberapa karakter yang sangat istimewa, yang menyukarkan untuk saya memandang orang lain sebagai idola di dalam kehidupan saya. Yang menyebabkan saya selalu terfikir, apakah didikan yang telah diberikan oleh ibu mertua sehingga membuatkan saya memandang dia sebagai seorang yang amat hebat. Walaupun mungkin pada mata orang lain dia biasa-biasa sahaja. Lelaki biasa yang tak punya apa-apa. Yang marhaen dan tidak maksum.

Berbalik kepada cerita di atas, kehilangan suami yang dikasihi oleh mana-mana wanita adalah satu detik yang paling tidak diingini. Apatah lagi jika perhubungan itu sangat rapat, pasti akan meninggalkan kesan yang amat mendalam. Jika mempunyai anak-anak  yang masih kecil ia akan tambah memeritkan. Tidak dapat saya bayangkan kesedihannya. Beberapa kali saya merasa tersentuh dengan kisah-kisah sebegini. Hanya doa yang dapat saya titipkan semoga mereka sentiasa tabah dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran ini.

Kepada kaum lelaki, hargailah isteri supaya mereka menyanjungi anda sepenuh hati samada ketika hidup ataupun sudah mati. Jangan jadikan isteri itu sebagai ibu tunggul. Umpama tidak berguna dan tidak diperlukan. Yang kalau adapun ok, tak adapun ok. Saya lebih bersimpati dengan wanita yang bernilai sebegini. Kepada kaum wanita, hargailah juga suami anda, jangan gemar memperlekeh-lekehkan dan merendah-rendahkan martabat suami. Usah bercerita buruk tentang suami dibelakangnya.

Sekian















Saturday, June 22, 2013

Kelas Mengaji Al-Quran dan Asas Bahasa Arab secara personal di Nilai, Bangi, Seremban, Putrajaya dan sekitarnya

(ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA, DIMAKLUMKAN KELAS YANG DIKENDALIKAN OLEH ANAK SAUDARA SAYA TELAH PENUH DAN SAYA TERPAKSA MENDELETE NOMBOR TELEFON BELIAU. DENGAN ITU, RIBUAN KEMAAFAN DIMOHON OLEH KAMI SEKELUARGA. SEKIAN TERIMA KASIH)

Saya telah menerangkan dalam entry sebelum ini tentang anak saudara saya, Mohammad Hussaini bin Mahmur, seorang Qari. Dengan kelebihannya itu, beliau ada membuat kelas membaca Al-Quran dan belajar bahasa Arab secara personal. Dibawah adalah butiran bagi yang berminat. Bagi sesiapa yang ingin maklumat lanjut, boleh juga berhubung dengan saya di *********. Bagi saya, tidak rugi belajar dengan beliau ini, kerana dia seorang yang sangat penyabar dan tidak pandai marah-marah. Bukan kerana dia anak saudara saya, saya hendak promote, tapi karakternya itu memang disenangi oleh ramai orang. Tanyalah pada sesiapa sahaja yang mengenali, hatta kanak-kanak kecilpun suka dengan beliau. Sepupu-sepapatnya sering bertanya, bila nak jumpa abang Hussaini, mana abang Hussaini dan sebagainya. Iyalah, Tuhan memang kurniakan kakak saya dengan anak yang baik, sayapun tumpang berbangga dengannya.

Area           :     Bangi/Nilai/Putrajaya/Seremban 

Masa         :     Terpulang kepada tuan rumah hendak hari dan masa sesuai (boleh berbincang)

Bayaran     :     Sila berbincang dengan tuan badan  

Kelayakan  :     Juara remaja tilawah Negeri Sembilan, Johan Tilawah ASEAN, Finalis  Akademi  Al-Quran ke Lima, Mahasiswa di USIM dalam Ijazah Bahasa Arab dan Komunikasi 

Kaedah     :     Talaqi 

Contact     :    *******(Hussaini Mahmur)

Beliau boleh mengajar mengaji dengan Tarannum dan Tajwid dan juga boleh mengajar Bahasa Arab Asas

Qari Mohd Husaini Mahmur

Mohammad Hussaini bin Mahmur adalah anak saudara saya. Dia memang sangat rapat dengan kami emak-emak saudaranya ini sejak dari kecil lagi. Dulu kecil-kecil, aduhai, kami melayan beliau macam menatang minyak yang penuh. Manja yang amat. Masa cuti sekolah, memang dia akan balik kampung untuk saya jaga. Kadang-kadang sampai berminggu-minggu.

Bila Tusyen di Pekan Seremban setiap minggu, saya akan pergi ke rumah kakak saya untuk menumpang  tidur. Setiap kali sampai di rumahnya, dia dan adiknyalah yang paling happy, terjerit-jerit dan sibuk hendak minum bekalan air mineral saya. Kadang-kadang saya rindu pula dengan moment itu.

Dia dan adiknya kini dah besar panjang. Sewaktu uji bakat Akademi Al-Quran ke 5 dulu saya tengah sarat mengandung, tapi saya gagahkan diri memaksa dia menyertai ujibakat di Kuala Lumpur. Emak dan ayahnya tak dapat menemankan kerana kerja, jadi, sayalah yang memandu. Masa uji bakat itu, boleh pula si penjaga masa terlupa menekan butang, jadi dia membaca agak lama. Kata petugasnya, dia baca best sangat, sampai kami terpaku. Itulah kelebihan anak buah saya. Walaupun tidak sampai lagi ke peringkat kebangsaan, tapi dia memang sangat pandai mengaji.

Perkhidmatan kenderaan awam di Putrajaya

Ini adalah kali ke dua saya menulis entry tentang perkhidmatan bas dari Putrajaya ke KL.

Saya ingin memberi sedikit informasi berkenaan pengangkutan awam dari dalam Putrajaya ke KL. Sila perbetulkan informasi saya melalui emel meteorburning@yahoo.com jika terdapat maklumat yang salah.

Terdapat tiga pengangkutan awam yang utama dari dalam Putrajaya iaitu bas, teksi dan ERL. Stesen bas utama dalam putrajaya terletak di Putrajaya Sentral. Begitu juga bagi perkhidmatan Teksi dan ERL, di sinilah juga stesen utamanya.

1. BAS

Bas keluar/masuk Putrajaya

Terdapat 3 syarikat memberi perkhidmatan keluar masuk ke dalam Putrajaya-KL. Tiga syarikat bas ini ialah RapidKL, Metro Bus dan Sri Indah. Tetapi kebelakangan ini saya agak jarang melihat perkjhdmatan bas dari syarikat Sri Indah, saya tidak tahu samada ia telah mengikuti laluan lain atau perkhidmatannya sudah tiada.

Bas RapidKL, 

Terdapat dua bas Rapid di dalam Putrajaya, satu bas pergi ke stesen komuter dan serdang. Kalau tak silap saya bas bernombor U29. Bas Rapid yang pergi ke KL pula bernombor E1. Bas E1 ini akan berhenti di stesen KL Sentral hanya untuk menurunkan penumpang. Cara nak tunggu bas ini, pergilah ke stesen Putrajaya Sentral atau perhentian bas sebelah flat hijau presint 9 atau perhentian bas di depan blok 5/6 presint 9. Tambangnya ialah RM 3.80. Kalau dari KL ke Putrajaya pula, sila tunggu di stesen CM atau Kotaraya (sinar kota). Jangan tunggu di KL Sentral, ia tidak mengambil penumpang di sana. Jadual perjalanan ialah sejam sekali. Perkhidmatan bas ini seringkali bermasalah. Macam bas-bas kampung pula. Kadang-kadang cepat, kadang-kadang lambat. Bila ramai penumpang terpaksa berebut dan berdiri sampai ke Putrajaya. Perjalanan dari KL ke Putrajaya atau dari Putrajaya ke KL hanya makan masa 30 minit jika jalan tidak jam.

*Saya ragu-ragu dengan satu lagi info, tapi saya sebutkan juga, kalau tak silap ada lagi satu bas rapid pergi ke Cyberjaya. Sila dapatkan info di Putrajaya Sentral.

 Bas Metro

Saya tidak pernah menaiki bas metro. Tetapi tempat menunggunya ialah di Kotaraya. sama seperti Bas rapid. Kalau di Purajaya pula tempat menunggunya adalah sama seperti bas RapidKL. Cuma bas ini banyak pusing-pusing dalam Putarajaya sebelum pergi ke Kuala Lumpur, jadi banyak masa yang akan diambil, berbanding Bas Rapid.

Bas dalam Putrajaya 

Bas Nadi Putra

Perkhidmatan bas dalam Putrajaya ialah dari syarikat Nadi Putra. Saya pernah beberapa kali menaiki bas ini. Setiap Presint mempunyai nombor bas sendiri, contohnya bas yang pergi ke presint-presint tertentu mengikut nombor, seperti 106, 102,atau 103. Nombor bas boleh disemak di Stesen Putra Sentral. Bas yang pergi ke Presint 1,2,3 dan 4 memang banyak. Jangan risau. Tetapi bas yang pergi ke kawasan-kawasan terpencil seperti presint 11, presint 15, presint 5 dan 6, nasib-nasiblah, macam bas kampung juga, kecuali waktu peak hari bekerja, mungkin banyak.

2. TRAIN

Satu-satu perkhidmatan train tunggal di dalam Putrajaya pula adalah dari syarikat ERL railway. Anda boleh turun di Stesen Bandar tasik selatan dan kemudian menukar laluan menggunakan STAR LRT atau Komuter. Anda juga boleh meneruskan perjalanan menggunakan LRT ini sehingga ke stesen terakhirnya iaitu KL Sentral, di mana di sini terdapat perkhidmatan train yang lain seperti Putra LRT, Monorail dan KTM Komuter juga.

3. TEKSI

Bagi perkhidmatan teksi pula, ia mungkin mengenakan cas yang lebih tinggi berbanding kedua-dua perkhidmatan di atas. Teksi berbayar di Putra Sentral sudah ditetapkan harganya mengikut presint dan kilometer di dalam Putrajaya. Sebagai contoh, untuk ke Presint 11 casnya adalah RM 11 manakala presint empat casnya ialah RM7. Anda boleh baca di stesen teksi Putrajaya Sentral tentang jarak dan tambang. Bagi yang pertama kali datang dan ada duit lebih, bolehlah menggunakan teksi. Setakat ini perkhidmatan teksi di Putrajaya adalah selamat dan jarang dengar cerita yang tidak baik.

Wednesday, June 19, 2013

Harry Potter, The Hunger Games dan Twillight

Bagi orang yang tidak minat memang tidak akan faham mengapa ada peminat yang begitu fanatik dengan novel-novel fantasi yang disebutkan di atas. Saya adalah kategori peminat tegar, tetapi bukan terlalu taksub. Ketiga-tiga novel ini saya baca dan mempunyai koleksinya di rumah. Kawan-kawan dan kakak saya pula membaca novel-novel cinta tempatan. Saya tidak pandai baca novel cinta, kecuali dalam bahasa Inggeris, sebab nanti saya mudah meluat dengan gaya bahasa romantik yang digunakan dan memberikan komen-komen yang menyebabkan orang lain annoying dengan saya. Tidak ada koleksi novel cinta tempatan dalam simpanan  untuk menghalang saya berkelakuan ganjil dalam memberi komen terhadap novel-novel tersebut. Oh, tapi rasanya bukan semua novel cinta tempatan tidak berkualiti, harap maklum.

Harry Potter

Mempunyai tujuh siri kesemuanya menceritakan tentang seorang budak sihir. Penceritaan yang santai dan bersahaja berserta fakta-fakta yang menarik. Penulis yang baik ialah penulis yang mampu membuatkan pembaca membayangkan mereka berada bersama-sama dalam novel tersebut. Inilah J.K Rowling. Tidak hairan mengapa dia mempunyai berjuta-juta pengikut di seluruh dunia. Penerangan yang diberi dalam novelnya juga jelas dan mudah. Tidak perlu membayangkan isu-isu yang berat. Plot-plot cerita disusun dengan baik agar dapat bersambung dari siri 1 sampai siri terakhirnya. Ada detik komedi, ada detik mengujakan, ada detik menyedihkan, ada detik yang menyeramkan, ada detik mencemaskan dan ada detik yang sangat-sangat mencemaskan. Sekali baca, kita akan tertunggu-tunggu dan tidak sabar untuk membaca buku seterusnya. Tidak banyak aksi cinta, itu sesuatu yang baik untuk remaja, sebaliknya ia lebih menerapkan semangat setiakawan dan kejujuran. Buku ini juga tidak mengangkat heronya berlebih-lebihan seperti novel lain tetapi Harry Potter adalah hero yang sangat menyentuh hati. Jalan cerita tidak terganggu dengan bayang-bayangan cinta seperti novel Stephanie Meyers atau Suzanne Collin atau L.J Smith. 
Rumusannya, ini adalah novel terhebat sepanjang zaman yang pernah saya baca. Jujur. 
Buku ini akan menjadi lagenda suatu ketika nanti.



The Hunger Games

Telah ada ulasannya saya buat di sini. Tidak terlalu fantasi, tetapi masih boleh dikategorikan sebagai novel fantasi. Buku ini mempunyai dua tema, tema cinta dan juga tema aksi. Fokusnya tidak sepenuh kepada cinta. Ia lebih kepada aksi dan pengorbanan. Unsur-unsur percintaan diselitkan bagi memeriahkan jalan ceritanya, tetapi ia masih kena. Saya tertarik kepada buku pertama dan bab terakhir dalam siri terakhirnya. Bagaimana Katniss menjadi hampir gila dan mengenang semula semua sejarah yang telah berlaku sepanjang zaman cengkaman Capitol. Suzanne Collin menceritakan dengan baik dan meninggalkan satu perasaan yang hebat dalam diri pembaca. Saya terasa bersedih dengan siri terakhir ini. Ia juga boleh menjadi novel lagenda.


The Twillight

Saya membaca Twillight selepas Harry Potter dan sebelum Hunger Games. Buku ini adalah tulisan Stephanie Meyers. Cerita  cinta 3 penjuru tentang Manusia biasa, Pontianak dan Serigala jadian. Cerita yang agak mengarut sedikit tetapi kalau dah nama novel fantasi begitulah. Kekuatan cerita adalah kepada hero dan heroin utama yang berjuang demi cinta pelik mereka. Dimasukkan juga elemen-elemen aksi seram seperti serangan pontianak jahat yang tidak berpuashati. Ya, novel seperti ini pastinya menjadi pilihan remaja yang asyik masyuk dengan dunia percintaan. Penceritaan untuk siri pertama agak menarik dan menimbulkan suspen. Tapi bila masuk siri ke dua dan seterusnya ia sudah meleret-leret kepada percintaan tiga segi pula. Rumusannya, novel ini adalah novel cinta sepenuhnya.


Penulis Britain dan penulis Amerika

Mungkin pembaca novel tegar dapat mengenali perbezaan budaya menulis novel diantara penulis dua negara ini. Penulis Britain tidak begitu mementingkan cinta dan romantik dalam novel mereka, berbeza dengan penulis Amerika yang gemar memasukkan unsur-unsur romantik dan seks. Cara menulis fakta juga adalah berbeza antara penulis Britain dan Amerika. J.K Rowling, Enyd Blyton dan Anna Sewell adalah penulis British, manakala Suzanne Collins, Stephanie Meyers dan L.J Smith adalah penulis Amerika. Penulisan orang British lebih tersusun dan mempunyai penerangan yang mudah dan baik. Mereka juga banyak menerapkan usnur-unsur teladan berbanding dengan penulis Amerika yang gemar memasukkan unsur-unsur seks dan budaya tidak sihat. Apapun, bagi pendapat peribadi saya, saya lebih gemarkan penulisan penulis British dari Amerika. Begitu juga dengan pilihan muzik, pemuzik British lebih kreatif dan mempunyai 'manner' berbanding pemuzik Amerika. 

Dari ketiga-tiga novel fantasi di atas, saya memilih Harry Potter sebagai novel terbaik, diikuti Hunger Games dan Twillight.


Sunday, June 16, 2013

Pengalaman di Pulau Pinang

Cuti sekolah baru-baru ini, selain dari Singapura, saya turut membawa anak-anak berjalan ke Pulau Pinang. Ini kerana, ada satu kerja yang perlu saya lakukan di Sempadan Kulim Kedah. Sepatutnya saya membuat presentation kerja itu pada Khamis minggu depannya. Kebetulan cuti sekolah, maka terus saja saya bawa anak-anak dan suami. Bertolaknya hari Khamis malam dan kami tidur di sebuah hotel di Simpang Empat Penang. Esoknya selepas habis kerja kami bertolak pula ke rumah adik suami saya di Kulim Kedah. Hari ini saya terbitkan gambar sahaja dulu. Nanti ada masa saya akan buat catatn lengkap untuk panduan pembaca yang ingin bercuti di Penang.

2 September 2013 :

Memandangkan ini adalah entry tertangguh sejak sekian lama dan saya tak ada masa nak mengarangnya, Maka saya selitkan sebuah blog yang membuat review pasal Pulau Pinag dengan begitu complete sekali, iaitu blog Puan Wahidah. Jenguk-jenguklah kat sana. Saya pun buat rujukan melalui blog puan ni. Kredit kepada pemilik blog yang buat entry yang bagus ini. Saya pun dah follow blog beliau.