Monday, July 29, 2013

Pengalaman di Sabah - Bandar Kota Kinabalu 1 - tempat-tempat menarik

 Pengangkutan
Perjalanan dari Airport ke bandar KK tidak mengambil masa yang lama. Tak sampai 20 minit. Dari airport ini pengangkutan utamanya ialah teksi atau kenderaan yang disediakan hotel. Mungkin ada bas, tetapi saya tidak pernah menaikinya. Sewa teksi bergantung kepada jarak destinasi. Kalau anda hendak ke Centre Point (pusat bandar sabah) kadarnya RM30, manakala jika hendak ke UMS, tambangnya ialah RM40.

Saya sudah beberapa kali ke Kota Kinabalu. Pernah ke Kota Belud dan Pulau Gaya juga. Tapi masih tidak rata perjalanan  ke K.K itu. Ada banyak tempat yang saya tidak pergi lagi. Negeri Sabah punyai banyak tempat yang menarik. Tetapi entry saya kali ini adalah hanya untuk menceritakan sekitar Bandar Kota Kinabalu sahaja. Saya bercadang untuk bercuti di sini nanti, 
menyewa kereta dan berjalan di sekeliling Kota Kinabalu. 
Barulah puas hati.

Penginapan
Saya hanya memberi panduan serba ringkas tentang penginapan di K.K. Terdapat banyak hotel di sini, hotel bajet, hotel mewah, atau apartment hotel, semuanya ada. Anda boleh melihat-lihat dari laman web ini atau di sini.
Hotel-hotel yang saya pernah menginap pula ialah
1.Hotel Imperial International/The Klagan
2.Imperial Boutec
3.Promenade Hotel

Untuk The Klagan dan Promenade tarafnya ialah 5 bintang, manakala Imperial Boutec pula hotel tiga bintang sahaja. Saya mencadangkan untuk nilai ekonomi, pilihlah hotel Imperial Boutec. Ini bukan kerana ia hotel bajet, ia kerana perkhidmatannya sama saja dengan perkhidmatan di Promenade mahupun The Klagan cuma harganya jauh lebih rendah. Namun dari segi makanan, memanglah tidak dapat menandingi Hotel Promenade yang sangat mewah itu.
Ketiga-tiga hotel ini pula terletak di tempat yang sangat strategik. Berdekatan dengan pasar Filipina, jeti Jeselton dan sebagainya.

Hotel Imperial Boutec
Hotel Imperial International
Hotel Promenade

Pasar Filipina
Saya pun tidak tahu mana yang spesifiknya tentang pasar filipina ini. Namun ia terletak dalam satu kawasan yang menghadap laut. Ada beberapa bahagian di sini. Ada pasar mutiara, pasar menjual ikan masin/keropok amplang dan pasar yang menjual bahan-bahan makanan atau gerai-gerai. Kesemuanya terletak berdekatan sahaja.

Pasar Mutiara

Datang ke Kota Kinabalu jika tidak pergi ke pasar ini memang tidak sah. Kalau tidak belipun apa salahnya mengambil pengalaman. Banyak mutiara dijual di sini. Tetapi bagi saya yang sudah beberapa kali berkunjung  tidak ada lagi nafsu yang besar untuk membeli belah, hanya sekadar melihat-lihat. Bukan semua mutiara itu tahan lama. Kalau hendak beli yang berkualiti, mahal pula harganya. Mutiara ini ada bermacam gred juga. Kena pandai tawar menawar. Kalau pergi berkumpulan lebih baik, kerana pembelian dalam jumlah yang banyak biasanya akan mendapat harga yang lebih rendah.



Gerai makanan

Sebut Pasar Filipina, ia memang sangat terkenal dengan makanan laut. Bersepah-sepah peniaga menjual makanan laut yang sudah siap dibakar. Sotong, udang, ikan dan bermacam lagi dengan harga yang munasabah. Tetapi awas! Saya tidak galakkan beli makanan laut yang sudah terdedah lama. Takut-takut sakit perut pula. Pandai-pandailah pilih. Banyak gerai di sini tidak begitu menjaga kebersihan.

Ada satu gerai yang menjual makanan laut fresh yang di masak di situ. Yang ini lebih selamat. Anda boleh pilih apa makanan yang hendak dimakan. Mereka akan masak masa itu juga. Tetapi harganya agak mahal sedikit berbanding yang dah siap di masak seperti di atas.

Selain makanan laut, gerai-gerai di sini banyak juga menjual makanan tradisional Sabah seperti manisan. Ada yang rupa berlainan tapi rasanya sama seperti di semenanjung. Bagi saya, pergi ke mana-manapun cubalah rasa makanan tradisional tempat itu. Kalau tak mampu makan banyak, makanlah sedikit sahaja.

 

Pasar ikan masin/keropok amplang

Sebelah pasar mutiara terdapat sebuah lagi pasar yang menjual khusus ikan masin, udang kering, ikan bilis, rumpai laut, kopi tenom, keropok amplang dan bermacam snek lagi. Di sini pun kena pandai tawar menawar juga. Ada pelbagai ragam penjual. Ada yang marah kalau tidak beli dari kedai mereka. Kena pandai pilihlah. Yang kedekut pun ada juga. Sudah beli taknak beri kotak pula. Habis, takkan nak jining dengan plastik dalam kapal terbang? Memang kalau datang lagi, kakak tu saya akan banned. Tapi tak semua peniaganya kedekut, ada juga yang baik hati dan tidak berkira. Peniaga yang baik selalunya kita akan recommend pada kawan-kawan kita yang lain pula.


 Pangkalan Jesselton (Jesselton Point)
Pangkalan ini antara tempat kapal berlabuh untuk membawa penumpang ke Pulau-pulau di sekitar perairan Kota Kinabalu, terutamanya Pulau Gaya  Pemandangannya amat cantik. Kalau hendak ke Pulau Gaya boleh semak dari sini berapa bayarannya. Saya pergi dulu (tahun lepas) atas urusan kerja jadi tidak ada bayaran dikenak.






Filem New Village - maaf saya anti komunis

Terkini agak kecoh tentang filem ini.


Saya agak hairan kenapa filem yang cuba mengangkat Komunis sebagai hero Malaya  ini diterbitkan. Apakah motif pengarah dan penerbitnya. Masyarakat melayu khususnya memang sangat membenci komunis. Dalam negara yang aman damai dan makmur ini apa perlunya filem sebegini. Adakah ia akan menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia? Filem ini sebenarnya secara halus dan tersirat sedang cuba menghalalkan perjuangan komunis.

Lepas satu, satu masalah yang cuba dibangkitkan. Mengapa pula sejak akhir-akhir ini ada sesetengah orang begitu bersungguh-sungguh untuk menakluki negara ini dengan cara memainkan perperangan emosi.

Memang saya sangat tidak berkenan dengan sesetengah pemimpin pembangkang dari bangsa melayu sendiri. Sikap keterbukaan melampau mereka telah menyebabkan orang melayu dipandang lebih hina dan senang benar hendak disangkal-sangkal. Apakah kita tidak sedar, keterbukaan kita dalam menyokong saki-baki parti komunis ini telah membuahkan hasil yang amat memeritkan? Mereka menjadi sangat berani dan tidak ada apa yang mampu menghalang.

Saya juga tidak berkenan dengan tindakan kerajaan. Kenapa terlalu berlembut. Kenapa terlalu bagi muka. Apakah mereka sudah tidak punya maruah. Apa yang hendak ditakutkan sangat. Kalau mereka lebih tegas,  rakyat akan lebih suka dan menyokong. Ini tidak, terlalu takut dengan komunisme. Dalam banyak hal pula tu

Ya, melayu tidak mudah untuk diingatkan. Kadang-kadang serban tinggi melangitpun kalau tidak menggunakan otak berfikir agak payah juga. Sombong sangat dengan pegangan sendiri. Yang penyokong pun satu hal juga. Mengiyakan babi buta hanya kerana pemimpin itu memaki serban dan nampak warak. Takkan tak tahu sebab musabab mengapa sesetengah orang begitu berani kini. Kiralah, sejak dari tahun bila ia bermula?

Bila ada orang naik tocang kitapun pakat-pakat angkat segala kapak, pisau, parang nak balun mereka. Padahal salah sendiri juga.

Ini bukan cerita rasis.

Wednesday, July 24, 2013

Motivasi

7 PENYAKIT HATI:

1-Suka dipuji = SUM'AH.
2-Suka berbangga diri = TAKBUR
3-Suka pandang rendah kpd org lain = SOMBONG.
4- Suka puji seseorang di hadapan tetapi kutuk di belakang = MUNAFIQ.
5- Suka menunjuk-nunjuk = BERLAGAK.
6- Suka sakit hati terhadap nikmat org lain = BUSUK HATI / DENGKI.
7- Suka berfikiran negatif terhadap org lain = BURUK SANGKA.

(Ustaz Mohd Izhar Ariff)

Tuesday, July 23, 2013

Pengalaman di Sabah - Keningau dan Tambunan - pengalaman menarik


Ini adalah pengalaman pertama saya pergi Keningau. Saya pergi bersama-sama pegawai dari Sabah. Tidak banyak berhenti dan juga bukan pergi untuk bercuti. Maka pengalaman yang ada mungkin sedikit berbeza atau tidaklah membantu seratus peratus bagi mereka yang ingin bercuti di sini. Apapun saya tetap paparkan kalau-kalau ia masih membantu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa yang ada di Keningau. Memanglah dari mata kasarnya macam tidak banyak tempat untuk di lawat di sini, tetapi bagi saya, Sabah adalah sebuah negeri yang sangat kaya dengan alam semulajadi. Saya sangat suka dengan tempat-tempat yang hijau. Ada beberapa kawasan perlancongan di sini, tetapi lebih baik mencari banyak informasi dari Sabah Tourism dulu sebelum datang.






Pekan Keningau terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari Kota Kinabalu. Banjaran yang melintang di kawasan ini adalah bersambung dengan banjaran di gunung Kinabalu yang masyur itu. Ia dipanngil Banjaran Crocker. Terdapat sebuah kawasan peranginan di sini bagi peminat-peminat alam sekitar. Sumber utama ekonominya selain dari kayu balak, adalah pertanian. Saya dimaklumkan, ada penduduk mendapat rezeki dari tanah-tanah yang diteroka dan dibeli balaknya oleh tauke-tauke balak. Harga balak  sangat mahal di pasaran bergantung kepada jenis kayunya. Mungkin juga dari hasilan balak itu mereka memulakan projek pertanian. Antara kegiatan pertanian yang sangat terkenal di Keningau ialah kulit kayu manis. Selain itu ia turut terkenal dengan rusa payaunya (rusa liar).

Untuk sampai ke pekan Keningau terdapat dua jalan utama. Satu melalui papar-keningau (highway Kimanis-keningau) dan satu lagi melalui Tambunan. Semasa pergi kami melalui jalan papar keningau dan balik kami melalui Tambunan. Kedua-dua jalan agak ok dan tidak bermasalah, kecuali masalah-masalah kecil serta jalan yang berselekoh-selekoh. Ada bas ekpress dari Kota Kinabalu yang pergi ke Pekan keningau ini. Anda boleh juga menyewa kereta atau teksi.

Pekan Keningau

Pekan Keningau tidaklah besar sangat. tetapi ia boleh dikira sebagai sebuah bandar kecil juga. Sudah banyak kemajuan. Jangan fikir negeri Sabah ini negeri miskin yang penduduknya tinggal di atas pokok. Apa yang ada di K.K atau di semenanjung, terdapat juga di sini. Keluasannya mungkin kecil sedikit dari bandar Kajang tetapi ia mempunyai banyak hotel tempat untuk menginap, jadi anda tidak usah risau kalau datang ke sini.













Laluan lama ke K.K dari Keningau

Ini lagi satu pengalaman menarik. Pernahkan anda lalu di sebuah jalan yang digenangi air umpama banjir sepanjang masa? Anda lihatlah sendiri seperti gambar yang saya tempel di sini. Sebenarnya kawasan lawatan saya itu adalah di kampung Apin-Apin dalam daerah Keningau juga. Dari kampung ini terdapat sebatang jalan lama yang boleh tembus ke jalan raya Tambunan  menuju ke Kota-Kinabalu. Kata pegawai di sini, lama dulu, sebelum highway wujud, inilah laluan utama jika hendak ke Kota Kinabalu, penduduk tidak ada pilihan. Mula-mula sampai saya agak terpinga-pinga, betulkah laluan itu pernah jadi laluan utama ke Kota Kinabalu? Jalannya jalan tanah merah yang dikelilingi hutan. Apapun, sekarang sudah ada jalan utama, namun ia masih diguna pakai sebagai jalan short cut ke Tambunan. Saya suka dengan kawasan ini, terasa macam dalam filem-filem lama pula.




Laluan atas air. Ini bukan Banjir


jalan lama utama ke Kota Kinabalu


Ini jalan yang lebih lama, sudah ditinggalkan




Pengalaman menarik - graviti terbalik di highway Kimanis-keningau

Diantara highway Kimanis-keningau, ada terdapat satu kawasan anti graviti. Anda berhentikan kereta disini, tarik hand break hingga berhenti dan kemudian lepaskan semula hand break itu, anda akan dapati kereta bergerak sendiri ke belakang seperti ditarik, sedangkan jalan ini adalah jalan rata, bukan menurun. Tidak logik ia boleh bergerak dengan laju sendiri kebelakang, tambahan pula kenderaan itu berat, macam kenderaan kami, Toyota Hilux. Kawasan ini di kilometer 28.2.

Sebenarnya fenomena ini sama seperti yang berlaku di satu tempat di Pulau Jeju Korea. Dari segi logiknya, ia mungkin terjadi di sebabkan medan magnet atau anti graviti yang berlaku. Tidak ada hantu yang menarik kenderaan itu dari belakang. Usah percaya kepada perkara tahyul. Saya sangat teruja, tak payahlah ke Pulau Jeju di korea. Negara kita pun ada banyak tempat menarik juga. (saya akan upload video di you tube kemudian)- video di facebook


Jalanraya Penampang-Tambunan

Saya tidak singgah di Pekan tambunan. Hanya lalu sahaja. Ia adalah sebuah pekan kecil dengan produk pertanian utamanya halia. Untuk sampai ke Tambunan dari K.K haruslah melalui jalanraya Penampang Tambunan. Jalannya tidaklah teruk, cuma ia mempunyai selekoh yang banyak. Pemandu saya kata, pegawai yang datang buat lawatan sebelum ini mabuk dan muntah-muntah ketika melalui jalan ini. Suami saya yang pernah ke Keningau juga beritahu dia dan kawannya mabuk di jalan ini. Tetapi lain pula dengan saya. Saya sangat excited. Ia adalah sebuah kawasan alam semula jadi yang masih terpelihara. Suasananya sangat sejuk, malah lebih sejuk dari Cameron Highland! Sepanjang jalan itu saya menyaksikan sungai-sungai yang indah dan pohon-pohon hijau yang menyegarkan. Kami langsung tidak buka air-cond (atas permintaan saya) dan membuka tingkap. Sejuknya...

Di beberapa kawasan di sepanjang jalan terdapat peniaga yang menjual sayur-sayuran. Mujurlah saya dari semenanjung, Kalau tinggal di sini memang sudah borong habis sayur-sayur itu. Untung juga kawasan ini tidak tercemar dengan kegiatan penarahan gunung seperti yang berlaku di Cameron Highland, jadi ia masih kekal segar dan menenangkan. Saya sangat teringin membawa anak-anak datang kemari. Tetapi ada satu perkara yang ingin diterangkan, di sini ramai penduduk beragama Kristian. Mereka membela banyak anjing sebagai haiwan kesayangan atau penjaga. Anjing-anjing berkeliaran di merata tempat seperti kucing. Hati-hati memandu, jangan sampai terlanggar.

Sepanjang melalui Jalanraya ini, terdapat beberapa tempat yang menarik boleh disinggahi. Ada taman rama-rama dan pusat penyelidikan Raflessia. Dikiri kanan juga banyak kawasan penanaman padi dan sungai-sungai mengalir indah belum tercemar.


Pekan Tambunan



Laluan yang segar dan sejuk