Wednesday, October 30, 2013

Kesedaran Sivik Am

Sabtu dan Ahad lepas saya telah bertugas di PWTC. Untuk ke sana saya menaiki kenderaan awam ERL dan LRT. Bukan apa, jika memandu kenderaan sendiri, belanja yang dikeluarkan adalah sangat tidak berbaloi. Saya pergi bersama rakan sekerja.

Dalam perjalanan itu kami berbual-bual tentang pengalaman menaiki kenderaan awam di negara ini.Masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri.

Sebelum kerja sekarang, saya bekerja di beberapa syarikat di Kuala Lumpur selama beberapa tahun. Antaranya ialah Astro cawangan K.L dan Syarikat Teledirect di Jalan Ampang. Kedua-duanya berhampiran KLCC, pusat bandar paling sibuk. Semasa bekerja di Astro itu, saya sedang mengandung beberapa bulan. Setiap pagi menaiki LRT Putra dari stesen Taman Melati yang sangat sesak hinggalah ke Stesen Ampang Park atau KLCC. Kalau orang kata di Korea, Jepun, Singapura dan Hong Kong rakyatnya bergerak seperti berlari untuk bekerja, saya fikir tidak ada bezanya Kuala Lumpur. Setiap hari kami bergerak macam sedang berlari juga. Kalau tidak percaya, tunggu sahaja di stesen LRT pada waktu puncak, amat jarang berjumpa orang yang mengejar masa dengan berjalan berlenggang lenggok.

Ok, kita tinggalkan itu. Saya hendak cerita tentang sivik am sebenarnya, terutamanya ketika menaiki kenderaan awam. Semua orang tahu, keutamaan tempat duduk dalam kenderaan awam adalah untuk OKU, Warga Emas, Ibu mengandung/membawa anak kecil dan sebagainya. Tetapi berapa kerat sangatlah yang prihatin tentang keutamaan-keutamaan ini.

Kesedaran sivik am rakyat Malaysia dalam hal-hal kecil sebegini amatlah rendah.Tidak kira apa bangsa, lelaki perempuan, sama sahaja. Sikap mementingkan diri ini amat kritikal sekali. Mereka lebih rela berpura-pura tidur dari membenarkan seorang makcik tua yang uzur untuk duduk, walhal mempunyai kudrat yang kuat untuk berdiri. Dalam kami berbincang-bincang itu, sebuah keluarga membawa anak kecilpun masuk. Saya dapati, tidak ada seorang yang bangun untuk memberi tempat duduk kepada keluarga yang mendukung anak kecil itu. Mereka hanya memandang tanpa rasa bersalah.




Kesedaran sivik sebenarnya paling bagus dimulakan dari keluarga. Dalam pemerhatian saya, tahap kesedaran sivik ini terbahagi kepada beberapa golongan. Golongan satu ialah generasi pertama yang duduk dikampung-kampung dan kurang pendidikan. Walaupun mungkin mempunyai moral, tetapi kesedaran sivik am seperti bersopan ketika menaiki kenderaan awam dan membuang sampah di tong sampah mungkin agak kurang. Generasi ini tidak terlibat banyak dengan teknologi dan kemajuan. Zaman mereka sampah masih dibuang merata atau dibakar dihadapan dan belakang rumah sahaja. Kenderaan awam juga tidak banyak pada zaman itu.

Golongan dua ialah generasi kedua iaitu anak kepada golongan satu, ada yang masih menetap di kampung dan ada yang berhijrah kebandar-bandar. Golongan ini tidak mendapat pendidikan sivik am yang betul, kerana golongan satu tadi tidak melalui apa mereka lalui, jadi sebahagian besar memang tidak praktis kesedaran sivik kepada anak-anak.

Golongan tiga adalah generasi ketiga, samada memang lahir di ibukota atau berhijrah kebandar untuk mencari kerja. Golongan ini adalah golongan yang paling parah. Dalam pemerhatian saya, generasi inilah yang paling tidak prihatin dan mementingkan diri sendiri. Golongan yang berumur belasan tahun hingga lewat 30an. Mereka bukan tidak sedar dan tidak tahu tentang sivik kerana mereka adalah golongan yang paling banyak menerima pendidikan samada dari sekolah atau media. 99% dari mereka juga pandai membaca. Tetapi apabila tidak diberatkan sejak dari mula, maka ia dipandang rendah sahaja.

Memang kesedaran sivik dalam negara kita rendah berbanding negara-negara maju lain seperti Korea dan Jepun. Pendidikan sivik dalam negara mereka dimulai sejak kecil, iaitu dari generasi pertama, jadi generasi kedua mereka sudah biasa dengan perkara itu. Untuk mendidik generasi seterusnya tidak menjadi begitu sukar kerana bagi mereka ia adalah satu amalan, bukan undang-undang.

Tetapi negara kita menghadapi masalah dan cabaran yang amat besar dalam memperbaiki perkara ini. Kita bukan sahaja menghadapi masalah dengan generasi ketiga yang memang tidak pernah mengamalkan kesedaran sivik, masalah juga datang dari pendatang asing negara kelas ketiga yang negaranya mempunyai kesedaran sivik yang rendah. Pendatang ini turut menjadi ancaman kepada sistem moral dalam negara.

Sebenarnya kita tidak patut menunding jari menyalahkan mana-mana pihak. Kesedaran itu boleh dimulakan dari diri sendiri. Jika inginkan negara ini maju dan rakyatnya mempunyai "manner" sama seperti beberapa negara yang dijadikan contoh di atas, praktis kesedaran sivik itu haruslah dimulakan dari rumah. Memang di sekolah ada diajar pelajaran sivik, tetapi ia hanyalah asas teori sahaja. Ibubapalah yang harus menjadi penggerak dan pemangkin kepada praktikalnya. Masih belum terlambat untuk generasi kita ini memupuk kesedaran itu dikalangan anak-anak. Negara yang bahagia adalah negara yang rakyatnya mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Contoh-contoh sivik am :
  1. Mengutamakan kepentingan pihak yang lebih memerlukan (seperti keutamaan kepada OKU, orang tua dan sebagainya ketika menaiki kenderaan awam)
  2. Berhenti di line zebra crossing ketika ada pedestrian
  3. Membuang sampah di dalam bakul sampah
  4. Mengutip sampah yang dijumpai dan membuang ke tong sampah
  5. Membantu warga emas/oku melintas jalan
Generasi satu (60 tahun ke atas) = 

tidak melalui zaman teknologi/kemajuan, tidak memerlukan sivik am

Generasi dua (40 hingga 60 tahun) = 

melalui zaman teknologi/kemajuan, tetapi tidak menerima pendidikan sivik am dan tidak praktis kepada anak-anak

Generasi tiga (belasan tahun hingga lewat 30an) =

ada kesedaran tetapi tidak mahu mengamalkan, kerana tidak pernah dilatih sejak dari mula

Sekian

Wednesday, October 23, 2013

Tiada tajuk

Saya ingin mencucapkan terima kasih kepada semua pengunjung dan kawan-kawan yang telah singgah di blog saya dan memberi komen. Buat beberapa hari ini saya sangat sibuk. Maafkan saya kerana tiada buat apa-apa feedback. Saya mengharapkan semua pengunjung dalam keadaan baik-baik sahaja.

Sekian terima kasih, salam sayang

Monday, October 21, 2013

Segmen 12 Jam Bloglist #5 Mialiana.com

 Support kawan-kawan





Pencarian bloglist bagi bulan November dan Disember 2013 di Mialiana.com bermula pada hari ini, 21 Oktober 2013, iaitu tepat jam 11.30 pagi sehingga 11.30 malam nanti. Semua dijemput join.




Syarat-syaratnya :


  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com

  2. Buat entri bertajuk Segmen 12 Jam Bloglist #5 Mialiana.com

  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.

  4. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen INI

Senang dan mudah bukan?




15 blog yang bertuah akan dipilih oleh random.org dan kepada yang terpilih nanti diminta agar memasukkan blog Mialiana.com ke dalam bloglist mereka juga.




tunggu apa lagi... jom support Mia Liana ya...

Monday, October 14, 2013

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

Hari baik, bulan baik, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban @ Aidil Adha. Semoga negara ini dilimpahi dengan rahmat dari Yang Maha Esa, rakyat-rakyatnya bersatu dan aman damai. Lupakanlah segala perbalahan, marilah menuju kemajuan dan kemakmuran. Korbankanlah segala perasaan hasad dengki, riak, bermusuhan dan taksub dengan diri sendiri (mementingkan diri sendiri) dan sombong menyombong. Mana yang baik dalam penulisan saya, marilah bersama-sama menjadikannya sebagai panduan. Mana yang buruk, tinggalkanlah. Maafkanlah saya atas segala salah silap dalam dunia blogging ini. Terima kasih diatas semua komen dan semangat yang telah diberikan. Saya amat menghargainya...

Sekian,

Assalamualaikum

Bercakap Bahasa Inggeris sesama Bangsa Melayu

Beberapa hari lepas saya telah menelefon sebuah syarikat untuk memaklumkan kami akan datang berkenaan satu urusan rasmi.

Yang menjawab panggilan itu adalah seorang perempuan. Untuk makluman, saya amat jarang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan mana-mana pelanggan rakyat tempatan. Ada beberapa sebab kenapa saya tidak suka berbahasa Inggeris dengan orang tempatan sendiri terutama yang berbangsa Melayu. Kita orang Malaysia, tinggal di Malaysia, kalau bukan kita yang memartabatkan bahasa ini, siapa lagi? Itu adalah prinsip saya.

Tetapi janganlah kata saya tidak boleh cakap bahasa Inggeris langsung dan saya amat menyokong pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Saya juga berbahasa Inggeris dengan pelanggan luar negara atau pelancong. Kadangkala saya bercakap sikit-sikit dalam bahasa Inggeris bersama suami dan anak-anak. Tapi hanya di dalam rumah dan bukan dihadapan kalayak ramai. Saya juga membaca novel-novel dan surat khabar Bahasa Inggeris.

Yang ingin saya sentuh di sini ialah sikap orang Malaysia yang malu menggunakan bahasa Melayu untuk urusan rasmi walaupun orang yang mereka bercakap itu ialah bangsa mereka sendiri.

Orang yang menjawab panggilan telefon saya diatas, pada mulanya berbahasa melayu. Tetapi secara tiba-tiba dia menukar perbualannya kepada bahasa Inggeris. Sayapun agak hairan, dia ini melayukah atau bangsa lain. Kalau bangsa lain, sayapun tidak berapa kisah. Maka saya teruskan perbualan itu dalam bahasa Inggeris juga, walaupun merasa agak sedikit pelik. Akhirnya saya bertanya, bolehkah saya tahu nama puan, katanya, namanya ialah Halimah binti Jonggang (bukan nama betul) dalam bahasa melayu pula.

Timbul persoalan dalam hati, kenapa mula-mula tadi boleh cakap melayu dengan lancar dan ubah ke Bahasa Inggeris bila tahu saya Orang Melayu? Teringin sangat saya hendak menempelak penjawab itu, tetapi kerja adalah kerja, saya harus bertindak profesional.

Ada orang bercakap bahasa Inggeris untuk menunjuk-nunjuk glamour. Ada orang bercakap Bahasa Inggeris kerana merasa dirinya lebih tinggi darjat. Ada orang bercakap Bahasa Inggeris kerana merasa Bahasa Melayu 'low class'. Ada juga yang berbahasa Inggeris kerana tidak diajar oleh emak dan ayahnya sejak dari mula.

Untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris memang betul perlu bercakap selalu, tetapi biarlah kena dengan orang, tempat dan masanya. Ada banyak lagi caranya boleh memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris. Bercakap tak kena tempat, orang tidak akan kagum. Saya pernah menulis ayat ini dahulu dalam sebuah entry yang bertajuk Bahasa Melayu Gaya Bahasa Inggeris,  Dan saya rasa perlu untuk saya ulanginya kali kedua sebagai peringatan juga untuk diri sendiri :

  "Inilah satu perkara yang amat merugikan dan memalukan bagi Bangsa Melayu. Berlagak pada tempat yang tidak kena. Tidak ada satu bangsapun didalam dunia ini yang malu dengan bahasa mereka sendiri kecuali Bangsa Melayu"

Akhirnya inilah nasihat saya, kalau kita orang Melayu dan berbual pula dengan orang sebangsa, bercakaplah Bahasa Melayu (untuk urusan rasmi). Kecuali jika terdapat keadaan yang memerlukan kita berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Berbahasa dalam  bahasa kebangsaan sendiri adalah satu lambang jati diri dan kecintaan terhadap tanah air. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa kebangsaan kita. Ingat, bercakap dalam Bahasa Melayu tidak akan menjatuhkan maruah pun.

Friday, October 11, 2013

Mulut celupar, telinga nipis

Sebenarnya saya pinjam quotes dibawah dari ZAMANI. Saya memang setuju sangat dengan beliau. Dalam Islam ini ada adab sebenarnya cara hendak menegur. Bukan main hentam kromo sahaja. Kalau boleh, biarlah jangan sampai hendak war-warkan satu dunia. Kena jaga air muka orang yang hendak ditegur itu. Biarlah teguran dibuat melalui emel atau private message sahaja dan ayatnya tidak menjatuhkan orang hendak yang ditegur. Itukan lebih baik. Ini buat post dan entry bagai nak rak untuk komen orang lain, macam dia seorang sahaja yang sempurna. Nanti bila kena back fire balik, tau pula nak merajuk, kecewa, sedih dan nak melawan. Betullah kata suami saya, orang yang lidahnya tajam, telinganya nipis. Maksudnya orang yang mulut celupar, bila orang mengata dia balik, dengan cepat pula dia hendak melenting-lenting. Semoga ianya menjadi ikhtibar kepada kita semua.

                               

Wednesday, October 9, 2013

Pengalaman di Perak - Kampung Gajah

Terdapat dua lagi entry saya berkenaan negeri perak, iaitu Kampung Gajah dan Pasir Salak. Baiklah, saya akan mulakan cerita tentang Kampung Gajah dahulu. 

Mesti akan ada yang bertanya, Kampung Gajah tempat perlancongan ke? Jawapan saya, secara komersialnya memang tidak, tetapi ia juga mempunyai tarikan-tarikan tersendiri. Tambahan pula ia sangat dekat dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak, jadi apa salahnya menyinggah ke sini. Anda tidak perlu menghabiskan masa sehingga seluruh hari, tetapi tetap ada tempat yang boleh dilawati.  

Diseberang Pasir Salak ialah Pekan Kampung Gajah
Keluarga suami saya berasal dari Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Teluk Intan. Kalau tidak silap, Kampung gajah kini sudahpun menjadi satu daerah. Kedudukannya hanya seberang sungai sahaja dari Pasir Salak yang terkenal. Ekonomi masyarakat di sini pelbagai. Ada yang bertani, ada yang berniaga dan ada pekerja kerajaan
 
Cara ke Kampung Gajah.

Dari Teluk Intan : Selepas Hospital Teluk Intan, di simpang empat, ambil simpang kanan. Ikut Sign Board. Terdapat banyak bangunan kedai selepas simpang. Dari bangunan-bangunan tadi akan jumpa jambatan yang merentangi sungai besar. Teruskan perjalanan sehingga bertemu simpang ke kampong gajah. Ia mengambil masa dalam 15 minit juga untuk sampai ke simpang ini. Sepanjang perjalanan boleh menyaksikan sayup-sayup sawah padi dan gerai-gerai orang kampung. Jangan laju sangat, kalau terlepas anda akan pergi ke tempat lain, kalau tak silap saya ke Chenderong Balai.

 

 
 

Penginapan

Janganlah mengharapkan penginapan 5 star di pekan yang kecil ini. Tetapi walaupun begitu, ia  mempunyai kemudahan rumah rehat dan homestay yang banyak. Tidak perlu risau sangat, taip saja perkataan ‘homestaydi kampong gajah’, macam-macamlah yang akan keluar. Baru-baru ini, sewaktu kenduri anak saudara di kampong, kerana sampai lewat malam sangat, kami menginap di rumah rehat yang terletak di kampong gajah itu sahaja, kerana suami taknak mengganggu emak dan adik beradiknya yang tidur. Mujurlah ada satu bilik yang kosong malam itu.

Rumah rehat Kampung Gajah

Bilik family yang kami menginap itu agak selesa juga. Harganya cuma RM80. Terdapat kemudahan asas seperti air cond dan T.V. Kalau datang bersama keluarga, boleh minta buatkan sarapan, tetapi kena bayar harga lain. Ini adalah kali ke dua saya menginap di sini, kali pertama ketika bersama rombongan keluarga, sewaktu majlis kenduri kahwin kami sembilan tahun yang sudah. Betapa nostalgianya, teringat kenangan rombongan itu dengan saudara mara. Rumah rehat ini betul-betul terletak dalam kawasan pekan. Berhadapan dengannya adalah sebuah pasaraya kecil. Lokasinya adalah di simpang empat utama.


Tempat-Tempat menarik di Kampung Gajah :

Sungai Perak

Ia sangat sinonim dengan dengan kampong Gajah. Kampung ini betul-betul terletak berhampiran Sungai Perak. Tapi tidak boleh nampak dari pekan tebing sungai itu, kena masuk ke dalam sedikit.  Dulu-dulu, bakal raja yang hendak ditabalkan, akan melawat tempat-tempat tertentu dalam bahagian-bahagian negeri perak. Salah satu tempat yang akan di kunjungi ialah pusara diraja berdekatan Sungai Perak. Memang terdapat beberapa pusara  lama yang berkaitan dengan sejarah Kesultanan Perak di sini. Pendek kata, sejarah kampung gajah bukan bermula pada zaman Kolonial sahaja, ia telah bermula lama lagi sebelum itu. 

Kata suami saya, masa kecil-kecil dulu, Sungai Perak itu adalah tempat mainannya. Di tengah-tengah sungai ada banyak pulau-pulau kecil. Antaranya tiga pulau yang berderet. Jadi nama kampung yang berhampiran dengan deretan tiga pulau tadi telah dipanggil Pulau Tiga. Kampung suami saya terletak di Pulau Tiga ini. Jaraknya dari pekan Kampung Gajah hanyalah kira-kira 10 minit sahaja. Ada sebuah blog yang diterbitkan untuk menceritakan asal usul dan macam-macam lagi tentang Kampung Pulau Tiga ini (tidak ada kandungan 'dewasa' dalam blog itu, mungkin penulis blog terlupa hendak mematikan signal 'kandungan dewasa'). Kalau berminat, silalah baca ya. Mungkin anda akan temui lebih banyak perkara di situ.

Jambatan merentangi Sungai Perak
 



Mistik Kampung Gajah dan Sungai Perak

Kampung ini juga banyak cerita mistik dan sejarah tersendiri sejak zaman berzaman. Dari sekolah lagi saya selalu membaca buku yang berkaitan dengan sejarah-sejarah negeri Perak.  Kampung Gajah, Pasir Salak, Bota, Parit, Beruas, Sungkai dan banyak lagi adalah nama-nama tempat yang  popular dalam buku-buku berkenaan negeri Perak. Kalau ikut cerita mistiknya pula, kisah negeri Perak bermula dari zaman Sang Sapurba lagi. Manakala, Tamar Jalis sipenulis novel yang berasal dari Perak,  selalu menceritakan kisah-kisah  mistik yang dilalui di tempat-tempat yang disebutkan. Kampung Gajah pun pernah masuk dalam ceritanya itu. Kuat juga pengaruh novel Tamar Jalis dalam diri saya, sampai akhirnya bertemu jodoh dengan orang Perak.

Banyak lagi cerita mistik yang saya dengar di kampong ini, tapi semuanya cerita lama. Sekarang sudah tidak ada kejadian seperti itu berlaku. Kalau tak kena gaya, anak-anak muda pun tak tahu kisah-kisah lama di sini. Antara cerita menarik yang pernah didengar, opah suami saya, dalam satu majlis diraja yang diadakan di tebing sungai Perak, telah melihat sejenis binatang yang mempunyai sisik sebesar nyiru kelapa! Entah apa binatangnya tak tahulah, samada ikan yang besar atau haiwan mistik. Mungkin juga naga, kata suami saya, kerana menurut cerita, haiwan itu di seru dalam majlis itu. Suami sayapun, sewaktu musim pertabalan Sultan Azlan Syah pernah melihat sejenis binatang yang agak pelik di sungai yang besar itu. Katanya rupa binatang itu macam nessi! Tetapi kerana tidak ada bukti, orang tidak akan percaya. Kalau dia tipu saya, maka saya telah tipu anda semua juga. 

Sebenarnya, kalau betul-betul berminat, memang banyak sejarah di kampung ini. Ada makam-makam, rumah-rumah lama dan tapak-tapak tinggalan. Tapi perlulah pergi dengan orang yang tahu sejarahnya. Kalau tak, sia-sia saja, kerana bukan semua orang tahu sejarahpun.

Bengkel Senjata Tradisional

Terdapat juga sebuah bengkel pembuatan senjata tradisional yang terletak di Kampung Pulau Tiga. Anda boleh baca di sini.



Pasu, tembikar dan labu sayong Kampung Gajah


Bukan di Kuala Kangsar sahaja ada pembuatan labu sayong dan tembikar. Di Kampung Gajah ini pun ada juga industri tersebut. Perak sangat sinonim dengan labu dan tembikar kerana jenis tanahnya adalah tanah  laterit. Tetapi tidaklah selalu saya menyinggah di kedai labu sayong ini, hanya sekali sekala sahaja kalau ada orang yang berminat.


Berikut adalah salah satu kedai yang mengusahakan industri labu sayong ini di Kampung gajah :

 

Pembuatannya labunya agak kemas juga, tetapi saya tidak boleh compare dengan buatan Kuala kangsar, kerana tidak pernah beli dari sana. Terdapat pelbagai pilihan labu dan tembikar di sini. Pasu bunga pun banyak juga. Menurut pemilik, pesanan bukan datang dari kawasan sekitar, tetapi ia lebih banyak dari luar.


Jika isi air dalam labu sayong, air itu akan sentiasa dingin, walaupun tidak sesejuk air dalam peti ais. Cuma kata suami saya, labu zaman dulu lebih halus dan berkualiti. Labu zaman dulu-dulu tidak meruap, maksudnya, disekeliling labu itu tidak ada lembapan air, tetapi ia masih sejuk. Saya tanya kepada pemilik kedai, katanya, material telah banyak merubah industri ini. Material dulu tidak sama dengan sekarang.

Selain kedai ini, ada beberapa kedai lain juga yang berdekatan.
  
Lain-lain entry berkenaan Perak :

Dapur dan alatan untuk membuat labu, pasu dan tembikar
 

Tuesday, October 8, 2013

Segmen Aku Menulis Bukan Kerna nama

 Saya tertarik menyertai segmen ini melalui
Asalnya saya tak tahupun ia sebuah segmen.
Saya hanya nampak Khir sedang berkongsi sesuatu yang baik.
Tidak pernah sekalipun ketika menulis saya inginkan puji-pujian.

Kerana :

Saya selalu mengingatkan diri dengan ayat ini : 
Menulis adalah supaya kita tidak lupa. 
Menulis adalah supaya kita lebih beringat. 
Menulis adalah supaya kita berfikiran lebih matang dan tajam.
Menulis adalah supaya kita dapat menyebarkan ilmu. 
Menulis adalah suatu wakaf.
Inilah segmennya dari Annaz79 

Manusia bernasib baik


Bagi yang bernasib baik akan mendapat keluarga yang bahagia, emak ayah penyayang, suami yang baik, anak-anak yang sihat sempurna, rezeki yang melimpah ruah dan sebagainya. Tapi tidak boleh memandang rendah orang yang menghadapi kekurangan dalam hidupnya. Tidak ada orang yang minta hidupnya dijadikan susah, sepi dan kucar kacir

 Tuhan tidak menjadikan manusia berbeza-beza. Tapi kerana sikap, nasib boleh berubah.

 Manusia ini perlu saling membantu untuk mengubah nasib. Bukan dengan mementingkan diri-sendiri.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11) 

 

Monday, October 7, 2013

Enam beradik ditinggal kelaparan - Semasa - Sinar Harian

 Entry ini saya terbitkan bukan untuk menghina atau mengaibkan sesiapa. Tetapi sekadar berkongsi untuk dijadikan ikhtibar. Besar benar tanggungjawab menjadi ibu bapa. Terpulanglah masing-masing. Semoga anak-anak ini mendapat perlindungan yang sewajarnya dan menjadi orang yang berguna kelak.

Enam beradik ditinggal kelaparan - Semasa - Sinar Harian

 Enam beradik ditinggal kelaparan

KUALA SELANGOR - Hanya disebabkan tidak puas hati, sepasang suami isteri sanggup meninggalkan enam anak mereka yang masih kecil bersendirian di sebuah rumah di Jalan Bukit Panjang, Jeram, kira-kira jam 1 pagi semalam dan hilang tanpa khabar berita.
Lebih menyedihkan, keenam-enam beradik itu terpaksa makan apa sahaja termasuk cebisan roti terbuang demi mengisi perut, manakala adik bongsu mereka berusia tujuh bulan hampir 'nyawa-nyawa ikan' akibat kelaparan.

Salah seorang penduduk di situ, Samsuri Sulaiman, 57, berkata, pada mulanya dia ternampak lima beradik berkenaan berjalan kaki sambil memikul beg baju tanpa arah tujuan di kawasan perumahan di situ.
"Apabila saya tanya, abang sulung yang berusia sembilan tahun memberitahu mahu balik ke Kelantan kerana 'emak dah mati'.
“Saya pelik melihat kelakuan mereka dan meminta ketua taman memeriksa keadaan rumah yang dihuni sejak setahun lalu, kalau-kalau kedua ibu bapa mereka ada di rumah.
“Namun, alangkah terkejutnya apabila saya sendiri ke rumah mereka, yang ada cuma bayi berusia tujuh bulan ditinggalkan tertidur kerana terlalu lama menangis akibat kelaparan di sebuah kerusi kayu.
"Bayi itu adalah adik bongsu kepada kanak-kanak malang ini," katanya.

Menurut Samsuri, kawasan perumahan itu memang terletak jauh dari jalan besar dan jika mereka dibiarkan merayap, kemungkinan besar boleh hilang.

Terkenal sikap suka 'perang besar'

Dalam pada itu, seorang wakil penduduk, Daud Jaumar, 41, berkata, tidak mustahil bayi berusia tujuh bulan itu menghembuskan nafas terakhir jika tidak dijenguk oleh mereka.

“Saya cuba gerakkan badannya bila lihat terbaring begitu sahaja dan nasib baik matanya buka sedikit dan bergerak. Keadaan itu cukup melegakan hati.

“Saya terus menghubungi penghulu mukim kerana tidak tahu nak buat macam mana lagi. Ibu dan bapa budak itu tidak dapat dikesan," katanya.

Menurut Daud, ibu bapa kepada enam beradik itu memang terkenal dengan sikap mereka yang suka 'berperang' besar.

"Penduduk di sini pun selalu mengadu tentang perangai buruk mereka itu. Pernah juga mereka bergaduh besar sampai nak berparang, mujurlah kami sempat  campur tangan," katanya.

Bagaimana pun katanya, dia tidak sangka kedua-dua suami isteri itu mementingkan diri sendiri dan sanggup meninggalkan anak-anak kecil lebih sehari tanpa memikirkan makan minum mereka.

“Sebelum ini ada juga mereka 'hilang', tapi sekejap-sekejap dan jiran rumah selalu bagi anak-anak ini makan.

"Tapi kalau dah hilang lebih sehari sampai anak-anak hampir melarikan diri, saya rasa ini dah melampau. Apa nasib anak-anak ini nanti?" katanya.

Anak-anak tak banyak karenah

Seorang  jiran mereka, Jamilah Yusof, 53, memberitahu Sinar Harian, dia juga sering melihat-lihat keadaan enam beradik itu setiap kali ditinggalkan ibu bapa mereka selepas bergaduh besar.
“Saya sendiri yang menyambut kelahiran anak bongsu mereka di rumah itu. Memang kasihan, anak-anak itu pula tak banyak karenah apabila ditinggalkan seolah-olah faham masalah keluarga mereka.

"Tapi sangat menyedihkan apabila mereka tidak diberi makan dan minum lebih 24 jam.

“Ada ramai orang yang begitu mahukan anak tapi tak bernasib baik, mereka yang dikurniakan ramai 'amanah' ALLAH ini sanggup biarkan mereka begitu saja. Sampainya hati," katanya sebak.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jeram, Kamarudin Abd Rahman berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada agensi yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
“Keluarga ini saya kenal sejak rumah sewa mereka terbakar beberapa tahun lalu dan mereka sanggup tidur anak beranak di tepi pantai. Bila dapat tahu, saya tempatkan mereka di sebuah rumah sebelum ditempatkan di sini.

“Bila kita bantu, mereka pula buat perkara menyedihkan seperti ini. Bergaduh macam mana pun tak perlulah libatkan anak-anak yang tidak berdosa ini,” katanya.

Pengalaman di Perak - Teluk Intan

Bila sudah mandi manda di Sungai Klah Hotspring, marilah kita melancong ke separuh negeri Perak pula. Negeri Perak ini besar dan banyak tempat yang boleh melancong.

Rasanya dulu saya pernah menulis entry tentang Teluk Intan. Tetapi entry itu bukanlah entry yang berbentuk Informasi.

Teluk Intan

Teluk Intan sangat sinonim dengan sejarah negara ini. Terutamanya zaman ketika pasca merdeka. Nama asalnya ialah Teluk Anson. Sampai ke hari ini masih ada orang-orang tua disekitar yang memanggilnya dengan nama Teluk Ensen (Anson), terutama di Kampung Gajah. Kata orang, Anson itu adalah nama pegawai penjajah yang bertapak di sini, mungkin juga seorang D.O. Nama Intan pula adalah berasal dari seorang perempuan yang dipanggil mak intan atau seorang peniaga kaya raya yang menjual batu intan. Entah mana yang betul, tak pastilah. Boleh juga rujuk berkenaan teluk Intan ini dari laman web wikipedia. 

Kalau siapa hendak terangkan, silalah diruangan komen di bawah. Entry ini adalah untuk entry perlancongan sahaja.

 
 
 

Cara ke Teluk Intan

Untuk sampai ke teluk intan dari PLUS Highway tidaklah susah sangat. Anda boleh keluar dari dua tol ini, iaitu Tol Bidor atau Tol Sungkai. Selepas itu, ikut sahaja sign board Teluk Intan.

Perjalanan dari KL ke Tol (Sungkai/Bidor) : 2- 2 1/2 jam
Perjalanan dari Tol ke T.Intan : 1-1 1/2 jam
Keseluruhan : 3-3 1/2 jam
Land mark : Ladang Kelapa sawit/Kebun/Sungai/Perkampungan
Land mark terakhir : Hospital Teluk Intan

Tips :

1. Dari Sungkai mungkin agak susah sikit kalau tak biasa, keluar tol, belok kanan, selepas pekan sungkai, dari jalan utama, perhati sign board dengan teliti untuk belok ke simpang kiri. Dari simpang ini, selepas lebih kurang 10-20 minit, belok kiri lagi sekali dan bertemu jalan yang sama dari Bidor.

2. Jalannya agak sempit sedikit dan kadang-kadang terpaksa bersaing dengan bas dan lori besar. Tetapi ia tidak bermakna anda telah tersesat. Cuma kena berhati-hati.

Perak adalah negeri yang kaya dengan sumber air. Oleh itu tidak hairan jika bertemu dengan banyak sungai atau tasik sebelum sampai ke Pekan Teluk Intan (saya lebih suka menggunakan perkataan pekan, walaupun ia sebuah bandar yang kecil sebenarnya).

Laluan lain :

Ada juga beberapa jalan lain untuk sampai ke teluk Intan. Boleh datang dari Ipoh, melalui Seri Iskandar atau dari Kuala Selangor yang melalui tanjung Karang, Sekinchan, Sungai besar dan Sabak Bernam. Kami selalu melalui jalan kuala Selangor ini, kerana jalannya sudah baik, tiada tol dan sepanjang perjalanan lebih menarik dengan pemandangan sawah padi atau peniaga-peniaga gerai. Disamping itu, anda boleh juga singgah di Bukit Melawati atau beberapa tempat perlancongan lagi di kawasan ini. Kalau melalui Kuala Selangor, perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 3 1/2 hingga 4 jam juga kalau tidak berhenti.

Penginapan

Ada banyak hotel-hotel bajet dan sederhana di teluk Intan. Jadi tidak perlu risau. Anda boleh mendapatkan maklumat dari sini atau sini. Boleh juga mendapatkan maklumat dari Agoda, Booking.com dan sebagainya.

Menara Condong Teluk Intan

Sudah tentu tempat yang menjadi tarikan utama di teluk Intan ialah menara condongnya. Walaupun mungkin tidak sehebat dan secondong Menara condong Pisa Di Itali, tetapi ia sangat berharga. Berapa kerat sangat menara condong yang masih tegap dibina sehingga ke hari ini. Asalnya menara ini adalah menara jam. Kalau datang ke Teluk Intan tidak pergi melihat Menara Condong ini memang tidak sah.




 


Batu Hidup (Tugu Peringatan Perang Dunia Ke-2) 

(untuk penerangan yang ini saya telah copy dari tuan punya laman blog ini, ini kerana saya terlupa hendak pergi ke tempat ke sana. Maaf ye, tuan blog)

Terletak di empat persimpangan jalan menuju ke Bandar Teluk Intan.Ia berusia melebihi 100 tahun. Batu ini menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke Bandar Teluk Intan. Sesiapa yang sampai ke Teluk Intan akan melihat khazanah yang menjadi daya penarik kepada pecinta-pecinta sejarah tanah air. Ianya juga dikatakan sebagai sebagai "Tugu Perang Dunia Kedua" kerana tulisan yang tertera ditugu itu ialah At The Going Down Of The Sun And In The Morning We Will Remember Them.". Kepada anda jangan ketinggalan datang dan melihat keunikan bahan artifak ini. 



 

Bangunan-bangunan lama

Oleh kerana Teluk Intan ini telah wujud sejak beratus tahun yang lalu sampailah ke zaman kolonial, maka banyaklah tinggalan-tinggalan bangunan sejarah yang lama. Tinggalan ini boleh dilihat melalui bangunan mahkamah, pejabat pos, balai polis lama dan rumah-rumah.

 
 
 

Pasar Malam Teluk Intan

Teluk Intan sudah menjadi sebuah pekan yang moden. Banyak aktiviti perniagaan di sini. Hotel-hotel, bank, kedai makan dan pasaraya, semuanya ada. Tapi saya paling suka pasar malamnya. Pasar malam ini diadakan setiap malam minggu. Yang menariknya, banyak makanan tradisional orang Perak dan kadang kala ada jualan barangan antik. Agak meriah juga. Kalau balik ke Perak, saya mesti nak pergi ke Pasar Malam ini, emak mertua pun hairan, kenapa saya minat sangat. 

Ini sahaja maklumat yang dapat saya berikan untuk Pekan Teluk Intan. Jika ada sebarang pertanyaan boleh terus komen di bawah. Kalau tak ada akaun google, sila emel di meteorburning@yahoo.com. Saya akan cuba bantu.

Marilah melancong ke dalam negara kita sebelum kita melancong ke luar negara jauh-jauh sana. Negara kita pun punyai banyak tempat menarik.

Lain-lain entry berkenaan Perak :