Friday, November 29, 2013

Snippet - Orang atau hal-hal yang tidak perlu


Orang atau hal-hal yang tidak perlu 
kadang-kadang boleh datang dengan sendirinya di dalam hidup kita, 
walaupun tidak dipinta.
 Itulah lumrah dunia,
Tetapi bak kata motivasi di bawah,
kita boleh buang apa sahaja yang tidak perlu dalam hidup ini.

Jadikan sahaja 
segala perkara dan orang tidak perlu dan telah berlalu dalam hidup itu sebagai satu pengajaran.
Pengalaman hidup, tidak pernah merugikan 

 Yang penting kena gembira dengan hidup ini
 Kata orang putih pula, Life must goes on,

Berdirilah dengan tegak
Pandanglah ke hadapan
  Senyumlah dengan gembira


  



Thursday, November 28, 2013

Perjalanan ke Kota Bharu Part 1 - tiga laluan utama dan laluan melalui Grik Perak.

Saya percaya, ramai diantara pembaca yang sudah pergi melawat ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Tetapi tidak ada
apa salahnya berkongsi sedikit pengalaman dan tips.

Sebenarnya sudah beberapa kali saya ke Kelantan dengan hampir kesemua jenis pengangkutan iaitu kereta sendiri, kereta majikan, keretapi, bas dan kapal terbang, kecuali pengangkutan air. Agak seronok juga dapat berjalan-jalan merata ke negeri orang.

Tahun lepas saya pergi bersama keluarga menaiki kapal terbang, kerana tambangnya yang murah. Tahun ini kami pergi lagi tapi menaiki kenderaan sendiri pula. Ceritanya, saya ada kerja di sana namun kerana pemandu kesemuanya sibuk, maka sayapun memilih memandu sendiri. Kalau naik kapal terbang nanti, susah pula nak bergerak. Oleh itu suami menawarkan diri menjadi pemandu tidak berbayar untuk menemankan saya sampai ke Kota Bharu sambil-sambil membawa anak bercuti.

Laluan-laluan ke Kota Bharu.

Terdapat tiga laluan utama untuk sampai ke Kota Bharu, tidak termasuk laluan-laluan kecil lain mengikut daerah-daerah tertentu. Tiga laluan utama itu ialah :

Melalui Pahang
Melalui Gombak-Genting Sempah-Bentong-Raub-Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai-Ketereh-Kota Bharu

  

Melalui Perak
Melalui Highway Utara Selatan - keluar tol Kuala Kangsar (exit 143)-Lenggong-Grik-Tasik Banding-Jeli-Tanah Merah @ Rantau Panjang-Kota Bharu.

 

Melalui Terengganu/Pahang
Melalui Gombak-Genting Sempah-Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) - 
  • Pilihan Jabor-Kemaman-Bandar AL-Mukhtafi Billah Syah-Bukit Besi-Kuala Berang-Setiu-Jerteh-Pasir Puteh-Kota Bharu (laluan dalam)
  • Pilihan Cherating-Chukai-Kerteh-Dungun-Marang-Kuala Terengganu-Setiu-Jerteh-Pasir Puteh-Kota Bharu (laluan tepi pantai)
 

Saya pernah ke Kelantan melalui ketiga-tiga jalan ini. Kesemuanya ada pro dan kontra.

Perjalanan Melalui Perak :

Jika ikut Perak, separuh masa pertama adalah mudah kerana melalui highway PLUS. Dari Kuala Kangsar ke Lenggong jalan agak baik dan senang memandu. Tidak banyak jalan yang rosak atau bersimpang siur. Tetapi selepas melalui Tasik Banding anda akan dapati banyak selekoh dengan pemandangan hutan dan bukit bukau dikiri kanan. Terdapat juga kawasan-kawasan yang menjadi laluan binatang liar. Kena lebih berhati-hati kerana anda tentu tak sudi bertemu sekumpulan gajah atau binatang liar lain, terutamanya pak belang. Ada air terjun juga untuk disinggahi. Tetapi kali terakhir saya melalui air terjun itu, ia tidak terjaga dan kotor. Sampah bertaburan merata tempat. Alangkah rendahnya sivik rakyat tempatan kita. Amat memalukan dan menyedihkan. Banyak juga gerai-gerai tinggal tidak terjaga di tepi jalan. Saya tidak nasihatkan anda melalui jalan ini sendirian pada waktu lewat malam, kecuali berkonvoi. Tipsnya, isi minyak siap-siap di pekan Grik, pastikan kenderaan berkeadaan baik dan pastikan ada bekalan makanan/minuman mencukupi dalam kereta. Jalan ini bukan macam laluan di Pahang yang banyak kedai-kedai dan pekan disepanjang jalan.

Tempat menarik yang boleh disinggahi sepanjang jalan :

Tapak Arkeologi Ulu Perak, Lenggong

Tapak arkeologi di Lenggong adalah sebuah tempat yang telah diisytiharkan berada dalam senarai World Heritage. Anda tahu apa World Heritage? World Heritage ialah satu badan dibawah UNESCO yang mengeluarkan dana untuk melindungi kawasan-kawasan bersejarah di dunia. Tapak ini dipercayai sebuah kawasan penempatan awal manusia pada zaman Paleolitik atau zaman batu awal. Terdapat satu rangka manusia (lelaki) ditemui pada tahun 1991 dengan dianggarkan berusia 11,000 tahun! Rangka ini kemudian di kenali sebagai Perak Man dan khabarnya ia diberi kad pengenalan juga. Walau bagaimanapun, kali terakhir saya bertemu lelaki itu, ia sedang bercuti di Muzium negara, bersama kawannya, sebuah rangka wanita yang dijumpai pada tahun 2004 dengan anggaran berusia 8000 tahun. Ada ura-ura mereka mahu balik ke tempat asal, tetapi sejauh mana perkembangannya saya tidak tahu.

kawasan menempatkan Perak Man di Muzium Negara
Ikan pekasam Lenggong.

Bagi peminat ikan pekasam, kalau sudah sampai sini amatlah rugi jika tidak membelinya. Ia agak istimewa kerana tidak mengeluarkan bau yang kuat ketika dimasak. Selain itu pembungkusannya nampak lebih bersih dan menarik. Ikan-ikan ini ditangkap dari tasik-tasik berhampiran. Masa pergi ke sini dulu saya ada mengambil gambarnya. Tapi bila cari balik sudah tak jumpa, terlalu banyak gambar, sampai saya lupa dimana saya simpan. Harap-harap tidak hilang atau terdelete.

Tasik Banding/Tasik Temenggor

Dari segi rekreasinya saya tidak pernah menyinggah atau bermalam di sini. Ia mungkin hanya sesuai untuk si kaki pemancing dan pencinta alam yang melibatkan hidupan air. Atau ia juga sesuai untuk si kaki tangkap gambar. Pemandangan yang cantik dan klasik, jauh dari kesibukan kota. Jalan ini merentasi tasik banding atau temenggor yang berkeluasan kira-kira 117,500 hektar. Dalam Wikipedia menyatakan, tiada petrol pam apabila melalui jalan grik-pasir puteh ini. Hanya ada sebuah petrol pam, Petronas dibina berhampiran Tasik Banding. Tetapi sebelum dan selepas tasik ini jangan cuba-cuba membiarkan meter minyak anda bergerak ke arah E, kalau tidak, anda perlu berjalan kaki bersama-sama makhluk lain di tepi hutan itu. Selain Tasik Banding, terdapat juga Hutan Belum yang sangat terkenal bagi kaki jungle trekking.

Air terjun

Entah apa namanya air terjun yang terdapat di tepi jalan Grik ini, saya pun lupa. Namun seperti yang telah saya nyatakan di atas, air terjun itu kotor dengan sampah, walaupun tempatnya strategik dan menawan. Ini nasihat saya kepada pembaca semua. Kalau pergi melancong dan tiada tempat buang sampah, ambil balik sampah anda dan cari tempat buang sampah lain. Ramai orang suka cari jalan senang dengan mengeluarkan bermacam-macam alasan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab, ini tidak, pakai kereta besar, speaking Mat Salleh macam kampung halamannya di London, baju lebih mahal dari sepasang tayar kereta saya, tapi bila tiba sivik, ke laut jugak. Pooodah.

Jeli/Kampung Bukit Bunga/Rantau Panjang

Selepas penat mengharungi jalan yang panjang penuh liku di Grik, anda akan sampai ke Jeli Kelantan. Saya tidak pernah singgah di Jeli, melainkan ke sebuah stesen minyak di sini. Kemudian di Kampung Bukit Bunga anda akan dapati ada banyak gerai jualan menjual pelbagai produk dari Thailand. Terpulanglah sama ada hendak beli masa hari balik atau masa hari pergi. Kerana di Kelantan terdapat banyak lagi pilihan kedai terutama di wakaf che yeh, pasar khadijah dan beberapa tempat lagi. Cuma gerai di sini mungkin ada menjual beberapa barang yang tidak ada di Kota Bharu, anda pandai-pandai tengoklah. Sama juga di Rantau Panjang, banyak kedai yang menjual produk dari Thailand.

Tanah Merah/Air Tuak(Nira)

Jika sudah sampai di Jeli dan Rantau Panjang atau Tanah Merah, perjalanan ke Kota Bharu tidaklah mengambil masa terlalu lama. Hanya kira-kira sejam lebih sahaja. Kalau ikut Tanah Merah anda akan melalui Sungai Kelantan yang dari atasnya sayup-sayup boleh lihat jambatan keretapi. Kalau nasib baik, dapat tengok keretapi melintas. Boleh bayangkan seperti dalam Hogwart Ekspress, cuma ia tidak berwarna merah.

landasan keretapi merentangi sungai, sayup-sayup dari jauh
 

Pekan Tanah Merah tidak jauh sangat dengan Machang. Di sekitarnya ramai orang menjual air Nira atau nama spesel di sini, tuak. pertama kali dengar saya ingat tuak yang macam di sabah. Tapi bila fikir-fikir balik, tak mungkin arak, kerana ia dijual ditepi jalan. Rupa-rupanya air nira. Kalau air nira tu, di Perak pun ada jual. Rasanya agak ok juga di sini. Terpulang pada citarasa masing-masing.

Lain-lain entry berkaitan :

Perjalanan ke Kota Bharu Part 2 - melalui negeri Pahang

Perjalanan ke Kota Bharu Part 3 - melalui LPT dan Kuala Terengganu (akan datang)

Pengalaman percutian dan lawatan


air tuak

Pekan Tanah Merah
 


Saturday, November 23, 2013

Stockholm Syndrome

Perkataan ini adalah sesuatu yang sangat jarang didengar di Malaysia. Pertama kali mendengarnya adalah melalui lagu Stockholm Syndrome nyanyian kumpulan Muse. Mulanya saya fikir kumpulan itu sengaja mengada-adakan cerita. Tapi untuk lebih puas hati, sayapun mengeledah google dan sumber-sumber lain. Melalui Wikipedia saya dapati jawapannya adalah seperti berikut :

Stockholm syndrome, or capture–bonding, is a psychological phenomenon in which hostages express empathy and sympathy and have positive feelings toward their captors, sometimes to the point of defending them. These feelings are generally considered irrational in light of the danger or risk endured by the victims, who essentially mistake a lack of abuse from their captors for an act of kindness.[1][2] The FBI's Hostage Barricade Database System shows that roughly 27% of victims show evidence of Stockholm syndrome.[3]
Stockholm syndrome can be seen as a form of traumatic bonding, which does not necessarily require a hostage scenario, but which describes “strong emotional ties that develop between two persons where one person intermittently harasses, beats, threatens, abuses, or intimidates the other.”[4] One commonly used hypothesis to explain the effect of Stockholm syndrome is based on Freudian theory. It suggests that the bonding is the individual’s response to trauma in becoming a victim. Identifying with the aggressor is one way that the ego defends itself. When a victim believes the same values as the aggressor, they cease to be a threat.[5]

(saya percaya, kesemua pembaca saya pandai berbahasa Inggeris, jadi tak perlulah untuk saya translatekan)

Mungkin ia tidak pernah terjadi di Malaysia dan kalau adapun mungkin juga tidak direkodkan, terutama yang melibatkan kes-kes tebusan.  

Sebenarnya entry ini adalah berkaitan dengan isu warga Malaysia yang dikurung selama 30 tahun di Britain dan menjadi hamba. Walau bagaimanapun, saya bukanlah hendak menulis tentang isu tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis Britain dan belum ada maklumat yang jelas dan sahih. Sumber berita di sini.

Cuma dari beberapa maklumat pembacaan (jika benar), saya mengagak kes ini adalah berkaitan dengan Stockholm Syndrome tadi. Mungkin ia kes yang agak rare, jadi susah untuk mengenalpasti sindrom itu samada palsu (dibuat-buat) atau tulen. Mangsa tidak menyedari walaupun dalam satu jangkamasa yang lama mereka telah diperhambakan kerana kerana mengalami trauma yang keterlaluan atau telah dimanipulasi fikiran. Jika ia kes yang tulen. Saya berharap agar pembelaan dapat dilakukan sewajarnya terhadap mangsa tersebut.

sekian

*Stockholm Syndrome adalah dimana tebusan merasa simpati atau telah dimanipulasi fikiran oleh si penangkap dan berpaling tadah. Ada beberapa kes tebusan turut sama menyertai penangkap atau memberi kenyataan yang bercanggah di mahkamah demi menyelamatkan penangkapnya itu.

Monday, November 18, 2013

cuti-cuti

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada yang sudi baca dan komen entry saya tentang usahawan kecil dan kamera DSLR. Saya sedang berada di kota bharu sekarang bersama keluarga sempena cuti sekolah. Maaflah sebab tak memberi sebarang feedback. Nanti bila balik baru saya buka sepenuhnya blog INI. Saya tak berapa suka menaip guna hp. Tengoklah entry ni berterabur. Maaflah ye. Sekian 

Friday, November 15, 2013

Usahawan Bumiputera dan kaitannya dengan Stesen Mesra Petronas

 p/s: entry ini adalah entry yang sangat panjang.

Pernahkah anda berkecimpung dalam bidang perniagaan? Tahukah anda realiti alam perniagaan di kalangan orang melayu.

Rentetan dari dasar baru yang dicadangkan Petronas saya ingin membuat sedikit entry tentang peniaga kecil bumiputera. Tidak ingin saya membuat tuduhan-tuduhan melulu terhadap syarikat gergasi minyak itu di Malaysia. Sampai ke hari ini saya masih menyokong syarikat tersebut yang seumpama satu simbolik kepada hak milik bumiputera.

Bolehkan tuan-puan suruh peniaga melayu bersatu padu macam peniaga cina? Berniaga nasi lemak 2-3 bungkus dan suruh mereka buat persatuan. Bagi yang suka bercakap dan mengutuk bangsa sendiri, mulakanlah, jangan bercakap sahaja.

Kaitan peniaga kecil dan Petronas.

Memang sebenarnya Petronas bukan pusat utama atau hab wajib kepada peniaga kecilan, kerana keutamaan mereka adalah berniaga minyak. Agak tidak patut kalau kita menyalahkan sangat syarikat gergasi ini apabila peniaga kecilan tidak mendapat perhatian di mata mereka. Tetapi bacalah ulasan saya ini baik-baik sebelum anda melabelkan peniaga kecilan melayu sebagai peniaga tidak berguna dan asyik mengharapkan pertolongan semata-mata. Ini adalah pendapat saya sahaja. Anda setuju atau tidak, terpulanglah. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri. Lagipun, yang membuat keputusan adalah pihak Petronas sendiri, bukan kita.

Bukan mudah untuk orang melayu berniaga, kerana mereka tidak terbiasa dari mula. Hanya baru-baru ini sahaja ramai orang melayu yang mendapat kesedaran terhadap perniagaan. Tetapi kebanyakkan peniaga ini mempunyai modal yang kecil dengan bajet yang biasanya kurang seribu. Oleh itu mereka tidak mampu untuk terus memulakan satu perniagaan yang besar. Banyak perniagaan ini dimulakan ditepi-tepi jalan, dijual pada kawan-kawan dan jiran, pasar malam, car boot sale atau menumpang premis orang lain. Industri yang paling kerap mendapat tempat ialah perniagaan kraftangan, pakaian (bundle/pasar malam) atau  makanan. Ada juga yang sudah pandai berniaga melalui internet.

Secara peribadi saya sangat menyokong peniaga kecil-kecilan ini. Mereka memulakan usaha perniagaan sendiri dari rumah. Bukan datang kepada kerajaan dan merayu-rayu agar dibantu modalnya. Setahu saya, tidak ada orang yang berniaga kek coklat atau nasi lemak datang kepada mana-mana institusi kerajaan untuk minta modal permulaan. Yang datang untuk minta bantuan biasanya adalah peniaga yang telah sedia ada dan berhasrat untuk membesarkan perniagaan atau mecari peluang lain. Kerajaan tidak mudah memberi pinjaman dan geran, terutama kepada mereka yang datang dengan "zero" sambil sengih-sengih minta duit.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila mula mengutamakan pembelian petrol dari stesen Petronas, saya juga perasan, terdapat banyak produk-produk bumiputera yang dijual di sana. Dengan kehadiran produk-produk ini, saya sedar bahawa  stesen minyak tersebut boleh menjadi satu hab untuk melatih usahawan-usahawan kecilan berniaga. Ini kerana, stesen itu dikunjungi oleh pelbagai bangsa dan ramai orang. Tidak seperti pusat perniagaan milik melayu lain yang jarang disinggahi oleh bangsa bukan melayu atau boleh juga disebut "dipulaukan". Jadi peluang menumpangkan produk disini untuk peniaga melayu amatlah baik, terutama dalam bidang makanan.

Sebenarnya tidak ada satu instisusi yang benar-benar membantu peniaga-peniaga kecilan. Yang banyak adalah bantuan untuk industri kecil (modal berbayar kurang rm500ribu) atau industri kecil dan sederhana (IKS) (modal berbayar RM500001-2.5juta ). Bagaimana usahawan industri kecil dan IKS memulakan perniagaan? Mereka mulakan secara kecil-kecilan juga.

Asam garam dunia perniagaan ini, berapa banyak kedai bukan melayu termasuk kedai mamak yang tidak mahu mengambil produk dari bumiputera. Kalau di Putrajaya hanya beberapa kedai melayu sahaja yang sudi mengambil produk orang melayu. Itu yang saya lihat dengan mata kepala sendiri.

Bila Petronas mengumumkan mereka akan memperketatkan undang-undang dalam pengambilan produk dari peniaga, saya rasakan ia akan merugikan kedua-dua belah pihak. Saya bersetuju jika Petronas ingin menaik tarafkan standard kedai Mesra, tetapi bukan dengan cara mematikan terus peniaga kecil-kecilan ini. Satu mekanisme lain harus dikaji agar kedua-duanya mendapat keuntungan dalam jangkamasa panjang dan menjadikan lebih ramai bangsa melayu berkecimpung dalam bidang perniagaan. Bukan membuatkannya menjadi lebih sukar.

Namun sebagai syarikat yang telah hidup berpuluh-puluh tahun lamanya di negara ini, Petronas sudah tentu mempunyai alasannya tersendiri mengapa ia tak mahu membantu peniaga-peniaga kecilan. Mungkin juga ada kaitan dengan dakwaan sesetengah pihak seperti perniagaan orang melayu tidak ada standard, basi, jumpa lipas dan sebagainya. Tetapi bagi saya khabar-khabar tersebut adalah peristiwa terpencil yang sengaja dibesar-besarkan oleh sesetengah pihak bagi menjatuhkan perniagaan orang melayu.

Memanglah peniaga kecil ini tidak mempunyai sijil halal. Modal mereka hanya RM50, untung RM50 dan suruh pula mereka pergi buka satu syarikat untuk dapatkan sijil halal. Adakah mereka mampu? Ramai diantara mereka pula adalah surirumah atau berniaga sambil-sambilan sahaja untuk menambahkan pendapatan. Demand supply memang berlaku apabila Petronas memaksa mereka membekalkan produk untuk seluruh kawasan, sedangkan kemampuan amat terbatas untuk satu atau dua stesen sahaja. Tetapi saya juga belum pernah dengar pembeli yang mengamuk kerana nasi lemak yang dibekalkan tidak mencukupi dimana-mana stesen. Itu juga adalah berita tidak tepat yang sengaja digembar-gemburkan.

Jangan kata anda sebagai anak melayu berwawasan 2020 kalau masih tidak faham realiti sebenar tentang dunia peniaga melayu. Pengalaman saya berhadapan dengan ramai peniaga melayu adalah amat menyedihkan. Pendapat saya, untuk sampai ke tahun 2020, usahawan-usahawan kecil ini perlu dibela agar pendapatan mereka teratur dan mampu memperolehi sehingga RM48,000 setahun. Jikalau kita asyik menyekat peluang untuk mereka belajar, mereka tidak akan kemana dan kita akan terus mengutuk dan menyalahkan mereka sebagai bangsa melayu yang lemah.

Tentang tuduhan orang melayu "asik nak kena suap sokmo je", sila faham betul-betul, mereka berniaga, bukan minta kerajaan beri duit. Mereka cuma perlukan tempat atau platform dan seperti yang telah saya katakan, Petronas mampu berbuat sesuatu memandangkan tidak banyak tempat yang boleh membantu. Tak usahlah Petronas menganggap mereka tidak mendapat apa-apa keuntungan apabila membantu peniaga kecilan ini, anggaplah kita sedang cuba memajukan bangsa ini.

Tidak salah sebenarnya sebagai sebuah syarikat elit yang mempunyai banyak potensi untuk membantu. Peniaga-peniaga kecilan ini boleh dilatih kearah yang lebih elit. Cuma perlu sediakan satu guide line sahaja dan pastikan mereka mematuhi guide line itu. Tetapi janganlah guide line itu dibuat sampai menyusahkan peniaga kecilan. Peniaga kecilan, Industri Kecil dan Industri IKS adalah berbeza seperti yang telah saya terangkan diatas. Tak usah asyik kutuk "sampai bila melayu nak bisnes kecik2". Untuk memulakan satu perniagaan yang besar, mereka perlu mulakan dengan perniagaan kecil dahulu. Sekurang-kurangnya peniaga kecilan ini jauh lebih baik dari si kaki pengampu dan tahu bercakap sahaja.

 Berita-berita dari Petronas yang berkaitan dengan Petronas dan Usahawan Bumiputera :

Dr M: Petronas kena tolong Melayu
Sokong pembekal Bumiputera, pentingkan kualiti
 Pelanggan Petronas Mesra terima produk berkualiti
Petronas diminta perjelas maksud 'tak layak'
 Pemilik stesen Petronas tertekan































































































































































Thursday, November 14, 2013

Tentang kamera DSLR

Terima kasih buat kawan-kawan blogger yang prihatin atas ketiadaan saya selama beberapa hari ini. Sebenarnya saya berkursus. Kursus DSLR di Kuala Lumpur.

Selepas kursus itu barulah saya tahu serba sedikit bagaimana nak menggunakan kamera DSLR. Selama hari ini saya hanya menggunakan kamera digital biasa yang mempunyai sedikit fungsi ringkas seperti DSLR. Menggunakan kamera DSLR bagi yang tahu dan sudah biasa tidaklah sesusah mana. Tambahan pula kalau memang minat dan ada kebolehan. Tetapi untuk orang macam saya, memahami Aperture, Shutter dan Sensitivity amatlah rumit. Begitu sukar juga rasanya nak belajar kombinasi fungsi F, ISO, pencahayaan dan kiraan Stop. Sebelum ini saya hanya tekan-tekan butang dan ejast-ejast sikit sahaja untuk ambil gambar.

Sebenarnya dalam kelas itu kami tidaklah belajar menggunakan DSLR secara advance, ia hanya kelas asas sahaja. Tetapi yurannya sangat mahal, iaitu hampir RM1000. Kalau hendak belajar menggunakan DSLR secara advance, perlulah menggunakan kamera yang lebih canggih dan yuranpun lebih mahal. Kursus ini lebih kepada memberi tahu apa maksud perkara-perkara yang saya sebutkan di atas dan bagaimana aplikasinya serta sedikit teknik mengambil gambar. Sekurang-kurangnya selepas itu, saya tidaklah lagi buta DSLR dan menggigil tangan apabila hendak menggunakannya. Bukan semua orang yang ada kamera DSLR tahu fungsi sebenar dan teknik-teknik DSLR itu.

Tetapi membeli DSLR kerana terpengaruh dengan orang bukanlah satu perkara baik. Saya mencadangkan jika anda inginkan sebuah kamera yang senang untuk dibawa kemana-mana, mudah untuk digunakan dan mempunyai kualiti gambar yang menarik dan cantik beli sahaja kamera digital biasa yang ada ciri-ciri seperti DSLR. Jangan beli kamera DSLR kerana ingin merasa hebat. Memang tidak salah membeli dan memakai tanpa ilmu, tetapi kalau tidak digunakan dengan cara yang betul ia menjadikan tarafnya setaraf sahaja dengan kamera digital biasa, bukankah itu merugikan. Selain itu penggunaan yang tidak betul juga boleh menjadikannya cepat rosak dan memerlukan penyelengaraan mahal. Kalau beli sebab minat dan hendak belajar, itu tidak mengapa, tetapi belajarlah cara menggunakannya sebaik mungkin supaya pembelian itu berbaloi.

Dalam Malaysia, jenama DSLR paling popular ialah Canon dan Nikon. Tetapi jenama lain seperti Samsung, Olympus, dan Panasonic juga banyak menghasilkan kamera digital biasa yang berkualiti tinggi serta mudah untuk digunakan.





Sunday, November 10, 2013

Motivasi - terhebat dikalangan terhebat

Siapa manusia yang tidak mahu menjadi hebat
Semua pun mahu menjadi hebat
Yang menyangka dirinya sudah hebat pun ramai juga

Tetapi hakikat sebenarnya tidak mudah untuk menjadi benar-benar hebat
Orang yang hebat tidak mudah melenting
Tidak mudah mencaci
Tidak mudah bermegah-megah
Tidak mudah merasa sombong

Orang yang hebat
mudah memaafkan
 tidak membesar-besarkan perkara yang remeh temeh
dan tidak mudah memperlekeh-lekehkan orang lain
Orang yang hebat tidak akan mengaku dirinya hebat

p/s : Jangan mudah sangat merasa diri hebat
Hanya kerana tahu dan pandai dalam satu dua perkara

Thursday, November 7, 2013

Drama dan filem tempatan

Maafkan saya, mulut agak lancang sedikit bila berbicara tajuk ini. Bukan tidak sokong industri drama tempatan. Kalau nak kata tentang patriotik, sayapun adalah jenis orang yang cintakan negara juga.

Sudah lama ditahan-tahankan, memandangkan ramai saudara-mara dan kawan-kawan yang kaki drama tempatan. Tapi saya tidak dapat lari dari perasaan tidak puas hati terhadap kemajuan industri seni negara kita. Mengapa para penerbit, penulis skrip dan pengarah sekalian masih bersikap kuno dan memperbodoh-bodohkan penonton, terutamanya golongan remaja. Drama yang dibuat amat jarang sekali berkualiti dan mempunyai mesej melainkan untuk hiburan semata-mata.

Memang menonton drama tempatan tidak menjadi kesalahan. Dan kita patut menyokong hasilan produk dalam negara. Tapi saya amatlah tidak berpuashati dengan para penerbit, penulis skrip dan pengarah sekalian.

Cerita kahwin paksa

Anda bayangkan, sejak drama popular Full House dan Chun Yang Sassy Girl terbitan korea pada 2004 dan 2005, cerita-cerita genre seperti ini terus mendapat perhatian di negara kita. Saya rasa saban tahun berderet cerita klise yang diterbitkan.

Tidak dapat saya nak senaraikan semuanya, tapi lihatlah senarai yang saya tahu ini :
  1. Ombak rindu
  2. Adamaya
  3. Nurkasih
  4. Adam dan Hawa
  5. Vanilla Coklat
  6. Setia Hujung Nyawa
  7. Sebenarnya saya isteri dia
  8. Kampung Girl
  9. Cinta Jannah
  10. I Love You Mr Arrogant
  11. Yang terkini, Suamiku Playboy itu.
Semua cerita ini adalah cerita-cerita stereotype yang diolah serba sedikit skripnya tetapi masih mempunyai jalan cerita yang sama.

Cerita gangster

Saya sudah buat satu entry tentang cerita genre ini di sini. Tetapi nampaknya pengarah-pengarah dan penerbit di Malaysia masih tidak sedar cerita-cerita seperti ini banyak memberi pengaruh negatif pada remaja-remaja sekalian.

Cerita hantu melampau

Anda pernah menonton The Exorcist, The Conjurer, Juh Onn, Dark Water dan The Ring kan? Ia filem-filem seram yang hebat dari Barat dan Timur Jauh. Tetapi apa bezanya dengan cerita melayu? Orang kita sekali buat cerita hantu, berderet cerita hantu sepanjang tahun. Macam tak ada idea lain. Jalan cerita dan rupa hantu pun lebih kurang sama sahaja. Sudah tu, buat cerita macam orang yang tidak ada agama. Jangan samakan dengan filem dari luar, mereka memang tidak ada agama. Berpijaklah dibumi yang nyata. Filem hantu bonceng contohnya, filem gred F yang entah kenapa diluluskan oleh FINAS, sayapun tak faham.

Ulasan

Tujuan saya menerbitkan entry ini bukan untuk mengutuk semata-mata. Sepatutnya seiring dengan teknologi dan kepakaran, pengarah dan penerbit Malaysia sudah berjaya memartabat atau menaikkan gred industri perfileman dan drama di Malaysia ini. Saya percaya, kalau drama dan filem kita berkualiti, pasti ada negara dari luar yang ingin menontonnya. Ini tidak, balik-balik kita sahaja yang menonton drama dari luar negara. Filem dan drama kita hanya untuk orang tempatan. Sesekali sahaja keluar negara.

Bukan tidak ada penerbit dan pengarah yang mampu menerbitkan kualiti visual yang baik. Ada beberapa drama dan filem yang mempunyai sinematografi yang bagus. Khabir Bhatia, selalu menggunakan kualiti visual yang bermutu, setanding drama Korea. Bunohan, Kekasihku Seru dan Adamaya juga adalah contoh drama dan filem yang mempunyai sinematografi dan teknik kamera yang baik. Tetapi isu utamanya disini ialah tentang skrip dan jalan cerita yang amat susah untuk mengalami perubahan.

Saya harap tidak ada yang melenting-lenting dengan penerbitan entry ini. Jangan memberi alasan tiada bajet atau puan buat sendirilah drama puan. Saya bukan penerbit atau pengarah dan tidak ada kemahiran dalam bidang itu. Tetapi saya adalah penonton. Pengarah dan penerbit di Malaysia amat susah untuk menerima teguran, malah kepakaran mereka juga ialah menyalahkan orang lain apabila filem dan drama tidak mendapat sambutan.

Setelah berpuluh-puluh tahun industri drama dan filem di Malaysia, kualiti minda penerbit dan pengarah masih pada takuk lama dan tidak banyak berubah. Entah bila akan berubahpun saya tidak tahu.

Wednesday, November 6, 2013

Pemilik stesen Petronas tertekan - Nasional - Sinar Harian

Ini cerita betul. Susah sangat Petronas nak bagi peniaga kecil-kecilan berniaga dalam kedai mereka.  Disuruhnya peniaga kecilan buka satu syarikat dan pergi mendaftar di Petronas KLCC sana hanya untuk meletak sebungkus dua nasi lemak. Pemilik stesen tidak salah, kadang-kadang untuk bantu, ada yang letak curi-curi. Yang salah ialah pihak atasan Petronas yang sombong dan mengejar untung semata-mata tanpa memikirkan nasib bangsanya sendiri.

Pemilik stesen Petronas tertekan - Nasional - Sinar Harian


  • Pemilik stesen Petronas tertekan Pemilik stesen minyak Petronas mendakwa Petronas menetapkan pelbagai peraturan baru yang membebankan perniagaan mereka. (Gambar hiasan)
1 / 1
BUKAN hanya dakwaan syarikat minyak dan gas menghadapi masalah mendapatkan kontrak Petronas, pemilik stesen minyak Petronas juga mendakwa menerima tekanan daripada syarikat petroleum itu.
Menurut sumber yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam perniagaan stesen minyak Petronas, kepentingan Bumiputera, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah perniagaan milik Petronas Dagangan Bhd (PDB) didakwa telah terhakis kerana dasar baru
yang mula menular dalam Petronas.

PDB adalah cabang perniagaan Petronas yang bertanggungjawab terhadap pemasaran dan agihan minyak di seluruh negara melalui stesen minyak Petronas.

Menurut sumber itu, stesen minyak Petronas di seluruh Malaysia sebelum ini diketahui menjual pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi dagang, sandwic dan lain-lain yang diletakkan di stesen Petronas oleh penduduk setempat atau syarikat kecil.

“Tetapi baru-baru ini, PDB tidak benarkan lagi kami menerima bekalan makanan ini daripada penduduk setempat dengan alasan mahukan syarikat berdaftar sahaja menjadi pembekal bagi menjamin kualiti produk di kedai Mesra.

Tuesday, November 5, 2013

Simple Segmen #2 by Sally Samsaiman

Assalamualaikum 
Ni nak sokong segmen Sally
Sally..
Haha, kita ada minat yang sama kan...
Akak baru habis tengok citer2 Korea yang lama
antaranya Full House dan Chun Yang
Nanti nak tengok Yong Hwa lak dalam
"Marry Him If You Dare"
Boleh kannnnnn
Bolehla
Bolehla
Apapun, semoga Sally sentiasa bahagia dan berada dalam rahmat Tuhan Yang Maha Esa
Dan berjaya dalam semua impian
Semoga ukhwah kita terus terjalin baik...

http://sallysamsaiman.blogspot.com/2013/11/simple-segmen-2-by-sally-samsaiman.html

Salam Tahun Baru Maal Hijrah

Assalamualaikum kepada kawan-kawan, saudara-mara dan kenalan semua,

Hari yang baik ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru Maal Hijrah.

Marilah kita bersama-sama berhijrah menuju kearah yang lebih baik. Hapuskan segala perasaan hasad dengki, riak dan angkuh dan semua perkara yang tidak baik.

Marilah kita sebagai umat Islam bersatu menangkis segala anasir-anasir jahat yang cuba menghancurkan perpaduan kita.

Saya mendoakan segala yang terbaik buat diri sendiri, keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat, pembaca-pembaca dan seluruh umat islam yang beriman di luar sana pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang.

Janganlah mudah tertipu dan mudah terpedaya dengan semua yang belum pasti. Kaji selidiklah sebelum kita mempercayai apa-apa sahaja maklumat yang bakal menghancurkan umat islam. Semoga kita semua terus mempunyai ukhwah yang baik berkekalan hingga di akhirat sana



Ya Allah,

Ampunilah segala dosaku,
Dosa suamiku,
Kedua ibubapaku,
Ahli Keluargaku
seluruh umat Islam

Bahagiakanlah hidup kami di dunia dan akhirat
Jauhkanlah kami dari siksaan kubur dan api neraka

Murahkanlah rezeki kami
Dijauhkan penyakit
Dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah
Hutang yang terbayar
Rumahtangga yang bahagia dan berkat
Hubungan yang baik dengan saudara-mara dan sahabat

Dijauhkan diri dari malapetaka dan bencana 
dan sentiasa dilindungi dibawah rahmatNya

Amin






Monday, November 4, 2013

Pengalaman di Perak - Kompleks sejarah Pasir Salak

Sebenarnya entry ini adalah entry tertangguh. Kompleks Sejarah ini telah saya lawati beberapa bulan yang lepas. Tetapi kerana agak sibuk, maka penerbitannya mengambil masa sedikit lama. Harapannya bagi pencari maklumat, ia masih berbaloi dan mendatangkan faedah.

Kompleks Sejarah Pasir Salak tidaklah terlalu jauh dari rumah emak mertua saya. Hanya kira-kira dalam 15 minit perjalanan sahaja. Tetapi ia haruslah merentasi jambatan Sungai Perak jika melalui Kampung Gajah.

Bagi yang tidak berminat dengan sejarah mungkin tidak ada apa yang dicari di sini. Apa sangatlah untungnya melawat kawasan-kawasan yang lama dan tidak mempunyai hiburan. Kebanyakan orang lebih suka pergi ke Legoland atau I-City atau Sunway Lagoon membawa anak-anak. Ikut pendapat peribadi saya, taman temapun bagus juga untuk bergembira, tetapi janganlah asyik berhibur sampai melupakan asal usul. Sesekali anak-anak harus diajar sejarah atau apa-apa sahaja yang berkaitan alam sekitar.

Baiklah, mari kita mulakan cerita.

Cara ke Pasir Salak

Untuk sampai ke Pasir Salak, sama sahaja seperti entry ini dan ini, ini kerana Kampung Gajah dan Pasir Salak itu berjiran, cuma dipisahkan oleh Sungai Perak.



Penginapan

Ada sebuah resort didirikan di sini, tetapi samada ia masih beroperasi, saya tidak pasti. Lain dari itu, anda boleh menginap di rumah rehat Kampung Gajah atau Homestay-Homestay yang banyak terdapat di sini. Anda juga boleh menginap di Bandar Teluk Intan, kerana perjalanan dari Teluk Intan tidaklah jauh sangat, dalam 45 minit sahaja.

 

Cara masuk dan harga tiket

Dari luar anda sudah nampak pintu gerbang besar kompleks ini. Tiket haruslah dibeli dikaunter utama ditepi pintu gerbang. Harganya tidak mahal. Berikut adalah harga tiket :

Dewasa : RM 4
Kanak-kanak: RM 2


Bahagian-bahagian dalam Komplek Sejarah Pasir Salak

Kompleks sejarah ini terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu, Terowong Sejarah, Muzium Keris, Tapak Pembunuhan JWW Birch dan Muzium Politik Negeri Perak


 

Muzium politik negeri Perak

Bangunan yang pertama anda nampak dari tepi jalan disebelah kanan adalah bangunan yang menempatkan muzium berkenaan politik era moden. Didalamnya terdapat dokumen dan bahan-bahan sejarah berkenaan menteri-menteri besar di Perak. Ada beberapa bahagian lagi didalamnya mengikut penggal-penggal pemerintahan. Anda perlu membeli tiket dari kaunter utama sebelum masuk ke sini.


Terowong sejarah Pasir Salak.

Malang sekali, gambar tidak dibenarkan diambil di sini. Apa alasannya, saya tidak tahu, kerana berbeza dengan muzium negara yang membenarkan gambar diambil. Jadi untuk perenggan ini, tidak ada gambar, kalau ada, gambar luar sahaja. Perjalanan dalam terowong (atau sebenarnya muzium) bermula dengan sejarah pembukaan negeri Perak. Di sini banyak replika, potret bergambar, bahan sejarah dan juga dokumen-dokumen penceritaan. Dari zaman purba, permulaan penjajahan, zaman kolonial, sehingga pasca merdeka dan akhir sekali zaman pembangunan moden, semua diceritakan disini.

Terus terang cakap, orang melayu sering sahaja lupa diri dan tak mahu mengenang asal usul mereka. Sepatutnya melalui terowong ini kita harus menghayati dan insaf akan peritnya perjuangan orang-orang dulu dalam mempertahankan negara. Ini tidak, ramai yang tidak mahu bersatu dan asyik berbalah kerana politik. Kemana hilangnya semangat cintakan negara dalam diri anak-anak melayu, entahlah. Kerana politik juga, ramai yang pupus jati diri. Bendera negara pun nak diubah dan dibakar. Hidup menyusahkan. Entah apa yang dicari. Kalaulah Dato' Maharaja Lela masih hidup, mau dibiarkan saja bumi Tanah Melayu ini dijajah agaknya, biar orang-orang yang tak sedar diri itu tahu diuntung.


Galeri keris

Keris adalah senjata terulung pahlawan melayu. Rupa-rupanya bermacam jenis keris di dalam dunia ini. Barulah saya tahu. Ada yang panjang, ada yang pendek, ada yang boleh di sorok dalam sanggul. Ada yang lok (liku) banyak, ada pula yang sikit. Yang ulu bentuk naga pun ada. Yang besar panjang macam gergaji pun ada! Entah macamana nak menghunus, tak tahulah. Mungkin juga dipakai oleh orang-orang yang berbadan besar macam gergasi. Kalau pengarah filem malaysia kreatif macam pengarah filem dari Korea atau barat sana, boleh saja bikin filem atau drama yang bagus. Tapi pengarah di Malaysia ini terlalu sibuk dengan filem/drama cinta yang mengarut dan tidak membina. Meluat saya. Maaf cakaplah.


Tapak Pembunuhan JWW Birch.

Sebenarnya ahli sejarah sendiri tidak dapat menerangkan dimana tempat benar-benar lelaki penjajah itu mati dibunuh. Sebuah monumen dibina untuk menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku, tetapi ia hanya menyatakan "berhampiran dengan kawasan ini".

Kawasan ini adalah yang paling menyentuh hati, sehingga saya terpaksa menyuruh suami dan anak-anak berjalan dulu kerana malu untuk menitiskan air mata dihadapan mereka. Tak terbayangkan oleh saya betapa tingginya azam dan semangat juang pahlawan-pahlwan ini untuk menjaga agama dan bangsa mereka. Orang sekarang, ada yang berlindung dan mempergunakan nama agama untuk kepentingan peribadi. Laknat dan kejilah mereka itu.

Memang salah untuk membunuh. Tetapi sejarah menceritakan, pembunuhan itu adalah jalan terakhir yang diambil selepas beberapa rundingan tidak berjaya. Peristiwa itu membawa impak dan perubahan besar terhadap corak pemerintahan penjajah di Tanah Melayu. Mereka takut untuk masuk campur urusan agama dan budaya orang Islam. Jadi kita tidak menerima nasib malang seperti Indonesia atau Filipina yang ramai rakyatnya dimurtadkan serta ajaran agama mereka dikelirukan walaupun mendakwa sebagai Islam. Dato' Maharaja Lela dan pembesar lain membuktikan, orang melayu bukanlah orang yang bodoh, mereka mampu menggunakan akal kalau mahu. Mereka adalah pahlawan yang sanggup mengorbankan nyawa untuk kebaikan generasi akan datang.

Bila dunia semakin berubah, amat malang pula bagi orang melayu kerana tercicir dan tidak menyedari hakikat, bahawa suatu masa dulu telah ada orang benar-benar berjuang untuk menyelamatkan akidah dan ketuanan bangsa mereka. Betapa mereka mensia-siakan perjuangan nenek moyang itu.










Rumah Pembesar dan Pusat Pentadbiran Lama Pasir Salak

Bahagian ini terletak atas lagi dari bangunan Terowong Sejarah tadi. Sebelah saja Sungai Perak dan Tapak Pembunuhan JWW Birch. Disekelilingnya terdapat rumah-rumah lama pembesar dan juga bangunan kerajaan zaman dulu. Bangunannya agak klasik. Terasa macam dalam filem-filem lama. Terdapat juga surau yang masih digunakan. Gambar-gambar dibawah

Penjagaan

Bangunan-bangunan ini adalah bangunan lama yang telah wujud sejak beratus tahun dahulu. Ada yang masih dijaga dengan baik dan ada yang sudah reput dimakan anai-anai. Sepatutnya kerajaaan Perak menitik beratkan penjagaan dan kebersihan-kebersiha bangunan ini untuk tatapan dan peringatan kepada generasi yang akan datang.

Lain-lain entri


                                                               Pengalaman Percutian lain:

Pengalaman Percutian dan Lawatan