Thursday, December 11, 2014

Never respond to rudeness

Saya nampak ini dari wall Bonda Nor
 Berhadapan dengan orang-orang yang biadap dan kurang ajar 
memang memerlukan kesabaran yang lebih
Terutamanya di dalam laman buku atau media sosial yang melibatkan cerita politik
Ada sesetengah pengguna laman sosial tidak tahu meletakkan letak duduk dan harga diri mereka
Kasihan suami/isteri, ibu/bapa dan anak-anak mereka
Kadang-kadang sudah besar panjangpun akal masih macam budak sekolah
 atau macam orang tidak sekolah
Nasihat saya (juga kepada diri sendiri), jika berhadapan dengan orang sebegini, 
adalah lebih baik jangan dilayan. 
Itulah jalan yang terbaik

Monday, December 8, 2014

Persahabatan

Saya tidak dapat menahan diri dari sentiasa tersenyum sepanjang bulan ini. Kata orang, bila senang hati jangan dilupakan pula pada kesusahan. Bila ketawa, jangan lupakan tangisan. Itulah masalah saya ini. Tetapi saya berharap agar segalanya sentiasa dipermudahkan dan dijauhkan dari kedukaan di dalam hidup. Biarlah sentiasa tersenyum seperti hari ini dan sebelum-sebelumnya.

Persahabatan adalah sesuatu yang sangat manis untuk dikenang. Dengan sahabatlah kita dapat mengenali dengan baik sisi dunia ini. Dengan sahabatlah kita mampu tersenyum dengan baik. Hargailah setiap persahabatan yang terjadi di dalam hidup kita. Persahabatan yang manis tidak akan merugikan.

Reunion sekolah dua minggu lepas. 
Kebanyakannya adalah kawan-kawan yang saya kenali sejak darjah satu lagi.
Perhubungan yang rapat sejak dari sekolah, dibawa sehingga kini. 
Setiap tahun kami mengadakan perjumpaan semula.
(Sebenarnya ada banyak sangat gambar, gambar-gambar itu sangat menceriakan, tetapi biarlah ia menjadi privasi kami sahaja)



 Mini reunion kawan Universiti semalam.
Kami sangat rapat semasa di Universiti dulu, 
terutamanya apabila kena berpraktikal sebanyak dua kali di sepanjang pengajian






Friday, December 5, 2014

Mengidam

Sewaktu minum pagi bersama-sama rakan sepejabat, kami bercerita tentang fenomena mengidam dikalangan ibu mengandung. Ada yang pernah mengidam hendak makan makanan tertentu, ada yang tidak pernah mengalaminya. Saya pernah juga sekali dua mengidam makan sesuatu, tetapi tidaklah pada makanan yang susah hendak dicari. Kebanyakannya dapat dipenuhi. Kalau tidak dapat pun, tidaklah sampai saya merajuk-rajuk menyusahkan suami dan kaum keluarga lain.

sumber google
Perasaan mengidam ini bukan tidak boleh dikawal. Pokok pangkalnya bergantung kepada diri sendiri juga. Fikirlah dengan rasional, terutama sekali bagi yang beragama Islam. Kalau sudah keterlaluan kemahuan itu, mungkin ia didorong oleh syaitan dan iblis. Contohnya, macam nak makan sabun atau bangkai. Itu tidak rasional namanya. Lebih baik istighfar dan tak usah dilayan.

Tetapi janganlah pula sampai suami lepas tangan tidak mahu langsung melayan kehendak isteri. Biarlah berpada-pada selagi ia boleh dipenuhi. Bukannya apa, dalam tempoh kehamilan, biasanya sang ibu akan mengalami perubahan hormon yang agak ketara. Perubahan ini memberi sedikit kesan terhadap selera makan. Ada yang tidak boleh makan makanan kegemarannya, walhal dulu sebelum mengandung, itulah yang dihadap hari-hari. Tetapi tidak semua ibu pula begitu. Ada yang tidak menghadapi masalah langsung dalam selera pemakanan, semuanya boleh bedal.

sumber google
Hari ini ada satu cerita yang agak menarik ingin saya kongsikan tentang isu mengidam. Sewaktu program MAHA berlangsung baru-baru ini, datanglah seorang pakcik tua yang sangat daif di salah sebuah gerai ternakan. Bila ditanya kawan saya yang bertugas ketika itu, sudah 80 tahun umurnya. Pakcik ini datang menaiki sebuah kapcai yang sangat buruk nun jauh dari Kuala Pilah. Sewaktu sampai, hampir-hampir terjatuh motor itu dek kerana terlalu usang. Dia menangis ketika memberi tahu sedang mencari daging kerbau untuk dimasak buat anak perempuannya yang mengidam. Yang jadi masalah, si anak itu hanya mahu daging kerbau yang terdapat di MAHA sahaja! Wah! 

Memang betul, pada program MAHA terdapat banyak jenis ternakan, kerbau pun ada, tetapi tidak ada jualan daging mentah seperti di pasar-pasar. Proses penyembelihan juga tidak dilakukan. Ia adalah program promosi rangkaian perniagaan, jadi fungsi utamanya bukan untuk jualan produk input atau industri up-stream (bagi ternakan).


Kasihan sungguh pakcik itu. Saya tidak kisah dengan anaknya yang sedang mengidam, tetapi saya kisah dengan kegigihan pakcik itu. Saya tidak tahu apakah masalah keluarganya yang sebenar, mungkin juga mereka tidak tahu kedatangannya di program itu. Iyalah, kalau difikir logik orang-orang yang normal takkan pula disuruh ayah yang sudah tua susah-susah menaiki motor jauh-jauh seorang diri mencari makanan yang diidam, walhal makanan itu boleh saja di dapati dari mana-mana di negeri sembilan yang terkenal dengan kobaunya.  

Ikhtibarnya, kalau mengidam sekalipun biarlah ia sesuatu yang rasional untuk dilakukan. Fikirlah dengan logik akal. Jangan sampai menyusahkan diri dan mengundang keburukan pula. Tak usah kisah sangat dengan pepatah "takut anak mengences" (kempunan) dan melelehkan air liur setiap masa. Zaman moden ini tidak terpakai semua itu. Penghasilan air liur sebenarnya adalah sangat baik bagi bayi, kerana ia membantu membersihkan mulut, penghadaman perut dan sebagai pelincir usus semulajadi. Kejadian air liur meleleh itu tidak ada kena mengena langsung dengan mengences atau kempunan kerana ibunya tidak dapat barang yang diidam. Itu semua adalah salah faham sahaja!

sumber google

Saturday, November 29, 2014

Berilmu, mengamalkan, tetapi hati kurang bersih

Ada ramai orang yang perasan mereka benar-benar beriman, mengerjakan amalan, mengupload pelbagai berita keagamaan dan ghairah menceritakan kebaikan-kebaikan mereka sendiri. Itu memang sangat bagus.

Tetapi segelintir dari mereka mempunyai kesombongan di dalam diri yang tidak disedari. Misalnya, jika ada orang yang dilihatnya kurang bagus dalam perlaksanaan agama, maka orang itu akan dibanding-banding dengan dirinya sendiri dan keluarganya. Dianggap orang itu adalah golongan bawahan (dari darjat keimanan). Apa sahaja yang dilakukan, ditulis atau diceritakan oleh orang yang tidak berdarjat tadi, segera disanggah (bukan kerana dia benar-benar hendak membetulkan, tapi kerana merasakan dia lebih baik dan penuh berilmu dari orang-orang itu.)

Tetapi sayang sekali, dia tidak sedar. Tidak ada manusia yang tahu ilmu Tuhan. Dia sendiri tidak pasti setakat manakah dosa dan pahalanya, melainkan merasakan hal-hal itu dari ulu hatinya sahaja.

Janganlah sombong. Orang yang benar-benar beriman dan berilmu tidak akan mudah menyanggah amalan orang lain. Mereka membetulkan jika ada kesalahan tetapi dengan cara yang baik. Budaya gemar menyindir di Blog dan Laman buku bukan cerminan orang beriman. Ia adalah cerminan untuk orang yang sentiasa perasan dirinya dan keluarga sempurna dan bagus. Merasa riak kerana memikirkan hidup penuh dengan keimanan adalah jauh lebih bahaya dari merasa riak kerana memiliki harta benda, kekayaan dan kekuasaan.

Marilah sama-sama perbaiki diri.

 

Friday, November 28, 2014

Bila lama tidak berblog

Industri bloging adalah satu industri yang memerlukan kita sentiasa menulis jika inginkan rating yang tinggi. Kalau tidak dapat aktif setiap masa pun tidak mengapa, tetapi sebaiknya tulislah entry-entry yang kerap dicari pembaca.

Rasanya sudah berbulan-bulan juga saya tidak menulis dan tidak melakukan blogwalking. Kebelakangan ini, banyak pula komitmen dan ada beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian.

Orang macam saya sebenarnya tidak begitu pandai berkongsi cerita peribadi. Mungkin kerana saya jenis orang yang agak tertutup dalam mempamerkan kisah peribadi atau juga saya tidak dikurniakan keistimewaan naluri ingin berkongsi itu. Hakikat sebenarnya kenyataan yang paling saya geruni di alam maya ialah "perasan bagus dan hebat". Wah! Amat menakutkan jika dilabel sebegitu. Tetapi saya sangat gembira dapat menyaksikan kebahagiaan rakan-rakan dan keluarga. Ia boleh menjalin satu perhubungan yang mesra dan dekat bila berkongsi pengalaman hidup.

Entry kali ini cuma sekadar ingin menyapa sahaja. Saya sangat sukakan blog. Blog memberi cabaran yang lebih berbanding lain-lain laman sosial. Ia memerlukan kemahiran penulisan yang baik untuk mendapatkan sebuah blog yang profesional. Anda boleh menyimpan data penulisan atau juga meluah perasaan dengan kadar berpatutan. Boleh juga untuk mencari fakta dan pengetahuan. Walaupun enjin pencarian blog lebih umum berbanding laman buku, tetapi bagi saya, sifat-sifat blog itu sendiri adalah lebih peribadi.

Sekian, salam sayang

Sekadar berkongsi

Kursus critical thinking menggunakan Lego. 
Mengajar bagaimana mengaplikasi otak kanan dan otak kiri. 
Selebihnya bermain-mainan sahaja. 
Seronok juga bila dah tua-tua ini dapat bermain dengan Lego. Tetapi harganya aduh!! 
Set yang saya main ini nampak sahaja sedikit, tetapi harganya mencecah ribuan.
Selepas habis kursus ini saya menghubungi Zahariz Khuzaimah, 
kerana teringat dia adalah orang yang menggunakan tangan kiri, 
biasanya orang kidal adalah orang yang menggunakan otak kanan. 
Betul juga, kerana beliau sangat berjiwa besar dan berpandangan luas.
 Jujurnya saya katakan, saya sangat bangga dengan Zahariz Khuzaimah.


Kursus penulisan skrip bersama Zabidi Mohammad. 
Penulis buku dan skrip drama terkenal. 
Mempunyai ilmu yang luas. Sangat patuh syariah dan tidak lokek ilmu. 
Saya jatuh cinta dengan karyanya, "tersungkur di pintu syurga". 
Beliau adalah orang yang mempunyai identiti dalam penulisan.

Mereka ini adalah novelis yang berjiwa besar. Saya bukan. Hanya sekadar pemerhati dan sesekali penyibuk, bila ada kursus sebegini
Di Karnival Karangkraf, bertemu pula dengan novelis cerita horror terkenal, 
Ramlee Awang Murshid, sempat saya minta dia menandatangi bukunya yang saya beli 
(kebetulan saya ingin menjadikan buku-buku itu sebagai rujukan)


So sporting
Karnival sukan anak-anak saya. Lihatlah betapa gembiranya dia. 
"Amin dalam kumpulan Slytherin sebab dia rumah hijau, kakak dalam kumpulan Gryffindor  sebab rumah merah"
kata anak perempuan saya.
 Tapi akhirnya Slytherin menang
Aduhai, kuat benar pengaruh Harry Potter


Bersama-sama kawan sekelas di majlis perkahwinan salah seorang rakan

 

Seminggu merantau di Terengganu dan Kelantan, 
Penerbangan balik saya ke KLIA sangatlah mendebarkan kerana cuaca buruk ketika itu. 
Tetapi seperti biasa, pilot MAS memang hebat. Two thumbs up

Awan tebal yang cantik seperti kapas
sungai Kelantan dari pandangan Ridel Hotel
 
 

  Hari anugerah cemerlang di kedua-dua sekolah pagi dan petang.
Emak ayah mana yang tidak terharu. Alhamdulillah


 Di dalam seminar bersama usahawan bumiputera  
yang memenangi anugerah kebangsaan bernilai RM 60 ribu tahun ini. Orang Melayupun boleh berjaya sebenarnya, yang penting jangan banyak merungut dan usahalah dengan gigih. 
Lagi satu, jangan suka menghina orang. Tak berkat, walau berduit sekalipun.

Tahniah MJ Fatonah.
Melayan anak-anak di Karnival Upin-Ipin PICC. 
Tetapi karnival itu hanya indah khabar dari rupa. 
Akhirnya, kami balik ke rumah dan buat aiskrim goreng sendiri, 
anak-anak lebih gembira rupanya


Karnival MAHA 2014. Karnival berkenaan pertanian yang diadakan setiap dua tahun. 
Tahun ini saya hanya bertugas di tapak sehari, tetapi ada terlibat sebagai AJK dalam salah sebuah seminar. 

 



Sunday, November 9, 2014

I Support Lee Chong Wei

Saya dengan ini ingin menegaskan sentiasa menyokong Dato' Lee Chong Wei, walaupun beliau telah didapati bersalah kerana menggunakan steroid jenis Dexamethasone.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu letak duduk sokongan kita di mana. Bukan maksudnya kita menyokong penggunaan steroid dalam sukan. Ini kerana kita semua tahu, Dato' Lee Chong Wei tidak akan begitu bodoh dengan sengaja memakan/menggunakan steroid itu.

Ingatlah pengorbanan beliau yang banyak untuk negara sebelum ini. Beliau sendiri masih bermain kerana tiada pelapis yang boleh menggantikannya (pernah beliau membuat komen tentang ini suatu ketika dulu).

Di saat-saat kesukarannya, kita mestilah bersatu hati menyokong sebagai rakyat Malaysia. Jangan jadi rakyat yang biadap dan pendek akal. Tidak ada ahli sukan profesional di dalam dunia ini yang sengaja makan steroid untuk memenangi perlawanannya, kecuali dia tidak tahu apa content dalam ubatnya itu. Kita semua juga tahu, Dato' Lee Chong Wei pernah menghadapi kecederaan yang sangat serius. Dexamethasone adalah sejenis steroid anti inflammasi.

Semoga Dato Lee Chong Wei sentiasa diberi kekuatan.

I SUPPORT LEE CHONG WEI



 

Tuesday, October 7, 2014

Pengalaman di Kundasang - Kolam Air Panas Poring

Kolam air panas Poring ini terletak jauh juga dari Kundasang. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sekeliling perjalanan hanya ternampak hutan-hutan dan ada juga pekan-pekan kecil. Jujurnya, jika tak ada GPS macam zaman ini, ada kemungkinan boleh tersesat. Ada di beberapa bahagian, peniaga tepi jalan menjual durian yang isinya berwarna merah (mungkin masa itu adalah musimnya). Kalau di semenanjung tidak ada durian isi merah ini.


Perjalanannya sama hala dengan Sabah Tea Park dan Tagal Sungai Moroli Kampung Luanti, tempat dimana ikan-ikan kecil menggigit kaki pengunjung. Tetapi saya tidak pergi ke dua-dua tempat itu kerana hari sudah petang dan tidak sempat. Esoknya pula, flight kami adalah pukul 11.

Kalau anda merancang ke Kundasang, pergilah sekurang-kurangnya dua hari. Kalau satu hari satu malam macam kami, memang banyak tempat yang tidak dapat dilawati

Perjalanan pergi

Sebaik sampai di pekan Ranau, anda akan menemui satu simpang tiga, iaitu simpang yang pergi ke Tambunan, di sebelah kanan. Anda boleh lihat dan follow GPS atau WAZE (saya tidak pakai aplikasi itu), tapi bagi yang tidak ada, saya akan beri sedikit tips. Kadangkala GPS pun bukan tepat sangat.

Tetapi kini ada satu laman web yang dapat menunjukkan satu-satu kawasan dengan sangat jelas, iaitu  http://www.instantstreetview.com/. Tetapi saya tidak pasti laman ini boleh didownload dari telefon pintar, kerana saya tidak pernah cuba. Buat masa ini,  ia masih belum akses jalan-jalan di sabah.

Dari jalan utama tadi teruskan saja perjalanan sehingga anda berjumpa satu simpang kecil yang menuju ke Jalan Lohan Bongkud. Jangan bawa laju kerana tidak banyak sign board (masa saya pergi dulu), takut anda terlepas pula. Simpangnya bukan simpang besar. Ada sign board kecil di tepi jalan itu. Teruskan perjalanan sampai anda nampak Sekolah Menengah Lohan Bongkud di sebelah kiri. Hati-hati jangan tersalah masuk simpang. Sebenarnya selepas simpang utama tadi, ada satu lagi simpang kecil, menuju ke satu perkampungan, tetapi anda hendaklah teruskan perjalanan sampai nampak sekolah itu.

Sg Moroli, Kg Luanti, sebenarnya, bukan Kg Moroli


Katakanlah, ketika di jalan raya besar anda sudah terlajak ke depan. Teruskan saja, sehingga ke Kg Luanti atau Sabah Tea Garden. Balik nanti baru singgah di Air Panas Poring. Ia tidak jauh sangat.

Perjalanan ke Kg Poring ini akan melalui beberapa perkampungan kecil. Saya pun tidak sangka ada tempat perlancongan, kerana suasana sekitar tidak begitu menzahirkan bahawa kawasan itu adalah kawasan perlancongan. Mungkin bagi yang pertama kali datang akan merasa sedikit keliru, kerana banyak simpang.  Mungkin juga kerana kami pergi lewat petang (di sabah). Waktu itu sudah pukul 4 petang. Tapi tak apa, teruskan saja perjalanan mengikuti jalan utama dan follow sign board Kampung Poring sehingga melewati pekan kecil di Jalan Lohan Bongkud. Lepas pekan ini anda nampak simpang tiga, dan ambil simpang kiri. Selepas simpang itu, InsyaAllah,  tidak akan tersesat lagi.



Kolam air panas

Sebaik sampai ke kolam ini, anda harus beli tiket dahulu. Harganya tidaklah mahal sangat, hanya RM 3 sahaja. Tetapi kalau sudah masuk ke Kinabalu Park sebelumnya, tak perlu beli tiket lagi (hari yang sama). Guna tiket yang sama. Kawasan ini turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, di bawah lindungan UNESCO juga.

 

Untuk sampai ke kolam, kita akan melalui satu jambatan. Ada satu jambatan gantung, tetapi nampak gayanya masa saya pergi itu macam dah tak digunakan lagi. Dibawahnya terdapat sungai dan air terjun yang menderu-deru. Mungkin juga lepas hujan, jadi air amat deras dan bunyi bukan main kuat. Dalam hati, kalaulah jambatan itu terputus masa berada di atasnya, entah apalah nasib. Walaupun boleh berenang, tapi saya tak pernah berenang dalam sungai besar. Meremang juga bulu tengkuk memikirkan.






Kawasan ini menyediakan beberapa kawasan tempat mandi yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Tetapi ia tidak seluas kawasan mandi seperti di Sungai Klah, Sungkai. Ada beberapa bahagian yang dipisah-pisahkan dalam bentuk kolam kecil. Agak selesa untuk kanak-kanak mandi kerana lebih terkawal.




Di bahagian atas sedikit terdapat satu takungan kolam air yang sangat panas. Pengunjung tidak dibenar menyentuh air di sini. Kolam itupun dipagar. Kawasan sekitar berbau busuk seperti Hidrogen Sulfida. Janganlah pelik pula dan bising-bising. Hidrogen sulfida adalah sebatian yang menghasilkan bau seperti telur busuk. Ia terdiri dari unsur sulfur iaitu belerang. Boleh buka balik buku teks kimia kalau lupa, ia ada diajar










Berjalan diatas lagi terdapat Taman rama-rama, Jambatan gantung atau canopy walk dan air terjun. Maknanya, jika datang ke mari, anda bukan semata-mata datang ke kawasan air panas itu sahaja, tetapi anda boleh datang ke tempat-tempat yang disebutkan di atas juga. Saya tidak dapat pergi kesemua tempat ini kerana hari sudah larut petang. Walau bagaimanapun,saya senaraikan dibawah tempat-tempat menarik yang berdekatan.

 


Lain-lain tempat menarik berdekatan kolam air panas:
  • Taman rama-rama Poring


 
 

  • Canopy Walk Poring 
  • Air terjun Poring 
  • Orchid Conservation Centre 
  • Tropical Garden 
  • Rafflesia Research Centre 
  • Bamboo Garden 
  • Ethnobotanical Gardens

Dipintu masuk kolam air panas ini ada terdapat gerai-gerai yang menjual cenderamata.

 

Waktu masuk :

Untuk kolam Air Panas saya tak pasti buka sampai pukul berapa, kerana ketika itu, sudah lewat petang pun masih ada yang datang. Untuk Taman Rama-rama pula, hanya sampai pukul 4 petang sahaja. Banyak maklumat boleh didapati jika rajin mengodek-godek internet.

Harga tiket :

RM 3 Dewasa, RM 1 kanak-kanak (untuk kolam air panas) - tiket dari Kinabalu Park, boleh diguna semula disini pada hari yang sama

sila semak laman web :  http://www.sabahtourism.com/destination/poring-hot-spring-phs

Contact :

Sabah Parks Main Headquarters
Lot 45 & 46, Level 1-5, Blok H, Signature Office
KK Times Square, Coastal Highway,
88100 Kota Kinabalu

Tel : 088-523500
Fax : 088 - 486434 / 486435 / 486436
E-mail : sabahparks@gmail.com / sabahparks@sabah.gov.my