Wednesday, May 7, 2014

Roh dan Jiwa penulisan novel 2 - Nilai Salina dan Harry Potter


Entry ini adalah rentetan dari entry saya yang ini. Kedua-dua entry mempunyai pengisian yang sangat panjang. Maafkan saya jika ia agak membosankan. Saya tidak fikir semua orang akan berminat dengan entry sebegini. Hanya pembaca tertentu yang sahaja yang akan membaca betul-betul, mungkin. Walau bagaimanapun, saya kuatkan azam untuk meneruskan penulisannya sebagai satu kepuasan.

Novel yang mempunyai roh dan jiwa adalah novel-novel yang akan menjadi legend.

Saya suka dengan entry dari saudara Abdul Hakim Abdul Basir di blognya ulasbuku.blogspot.com tentang Hatiku di Harajuku. Nampaknya pandangan saya dan beliau mempunyai persamaan. Plot utama novel itu bergenre romantism sebenarnya dan bukan thriller.

Saya menghargai setiap komen yang diberikan di dalam entry sebelum ini. Ingin saya jelaskan, entry itu bukan untuk Hatiku Di Harajuku. Ramai yang salah faham. Peminat-peminat Ramlee Awang Murshid mungkin tidak suka dengan komen saya dan saya harus terima dengan hati yang terbuka. Buku itu hanyalah contoh objek untuk menggambarkan bagaimana roh dan jiwa sesebuah novel bernyawa. Memang semua pembaca mempunyai pendapat tersendiri. Tetapi saya ragu-ragu jika HDH diterjemahkan dan di bawa ke pasaran antarabangsa, adakah ia setaraf atau mampu menjadi saingan kepada novel-novel lain? Tidak rasanya. Terlalu banyak elemen Hollywood dan exaggerate untuk menggambarkan kehebatan protagonisnya, menyebabkan ia tidak kelihatan normal. Jadinya plot utama novel itu lebih kepada isu cinta 3 segi Ryu Watanabe, Noriko dan Sabrina.

Mentaliti pembaca novel di Malaysia juga agak berlainan dan mempunyai banyak peringkat, sama seperti penonton drama Televisyen. Pembaca novel yang berkualiti, apabila sampai ke level tertentu, ia hanya akan mencari buku yang mempunyai nilai. (Salina mungkin tidak sampai ke tahap antarabangsa, tetapi nilainya adalah legend - siapa yang berani sangkal? Saya tak tahulah).

Ya, saya belum baca lain-lain novel milik Ramlee Awang Murshid. Justeru tidak adil jika dikatakan kesemua bukunya tidak meet expectation. Saya percaya ada beberapa produknya yang benar-benar berkualiti. Anda boleh cadang pada saya, dan saya akan beli (saya juga akan cuba lihat tombiruo dan igauan maut selepas ini - kata orang, buku itu bagus)

Sekarang, kita balik kepada matlamat asal entry ini.

Kedua-dua novel ini mempunyai nilai yang tinggi bagi kategori novel komersial. Kedua-dua penulisnya adalah penulis yang sangat hebat. Memiliki perfecionist dan ketelitian dalam penulisan mereka. Bagi yang tidak suka ke dua-dua novel ini sila abaikan, tidak perlu terus baca, saya tidak berkecil hati.

Salina - A.Samad Said 


Sinopsis - Kisah berlatar belakang zaman sebelum merdeka tentang kehidupan masyarakat di sebuah kampung yang di panggil Kampung Kambing, di Singapura. Salina adalah pemegang watak utama, manakala Hilmi adalah pembawa jalan cerita. Salina pelacur yang tinggal bersama Abdul Fakar, lelaki jahat yang sangat dicintainya hanya kerana memeliki rupa paras seperti bekas kekasih yang telah meninggal dunia. Hilmi adalah seorang pelajar yang baru pindah ke Kampung Kambing dan melihat semua sisi penduduk kampung itu lalu jatuh hati kepada Nahidah, seorang gadis naif. Nahidah pula tinggal bersama ibu tiri yang jahat, abang angkat Suharto dan abang kandung Mansur.

Membaca novel Salina, saya merasakan saya adalah salah seorang dari penduduk di dalam kampung kambing. Sama-sama ketawa, sama-sama meluat dan sama-sama menangis dengan watak-watak di dalam cerita itu.

Saya juga dapat membayangkan bagaimana kedudukan tandas tempat Nahidah membasuh baju setiap malam, keadaan dalam rumah Hilmi yang daif serta suasana di Kampung Kambing.

Novel Salina, walaupun menggunakan tajuk Salina, tetapi cerita sebenarnya adalah berkenaan kehidupan masyarakat di kampung Kambing, Singapura pada zaman sebelum merdeka. Hanya 35 peratus dari cerita ini tentang Salina itu sendiri, 35 peratus lagi berkenaan keluarga Hilmi, seorang remaja yang pandai, baik hati dan taat pada ibunya (plot meletakkan Hilmi sebagai penjalan cerita). Lagi 20 peratus adalah berkenaan keluarga Nahidah dan ibu tirinya, Zarina dan selebihnya adalah cerita-cerita masyarakat di kampung itu seperti Razman, Haji Karman dan Si Bulat.

Bermula dari bab awal, penulisnya sudah meletakkan kesempurnaan itu dari lori yang bergerak masuk ke kampung dan keadaan mentaliti penduduk-penduduk di situ. Penulis juga memberi gambaran yang sangat jelas tentang kedudukan dan maping kampung Kambing.

Plot di susun berperingkat-peringkat  dan tidak caca merba. Tidak ada exaggerate dalam novel ini. Antara babak paling saya suka ialah, apabila Razman seorang duda yang tidak dapat menanggung kehausan batinnya, pergi ke rumah pelacuran tempat Salina bekerja, tetapi kemudian merasa malu sendiri dan menukar niat asalnya untuk mendapatkan perempuan kepada misi menasihatkan Salina. Lagi satu babak yang saya suka ialah, bila Hilmi balik dari training di hutan dan tidak berpuasa. Nahidah menyediakan kopi, serta tidak berpuasa juga kerana datang bulan. Bukan maksudnya saya suka Hilmi itu tidak puasa, tetapi kita lihat di situ, penulisnya sangat sederhana dan tidak berlebih-lebih. Ia cuba menunjukkan kenormalan yang hampir sempurna. (harus diingat, novel ini adalah berkenaan masyarakat kelas bawahan yang ada kala kehidupannya agak liar. Jadi jangan tanya kenapa penulis menulis macam tidak ada agama, sila baca sebelum bagi komen mengarut).

Penamatnya  penuh dramatik bila emak Hilmi meninggal dunia, Pilihanraya negara pertama di adakan, Nahidah melarikan diri kerana dipaksa menjadi perempuan sundal (dan tamatlah hubungannya dengan Hilmi yang sangat baik). Salina pula berubah dan dapat mencari kekuatannya sendiri lalu keluar juga dari kampung itu. Saya sangat-sangat-sangat suka dengan ayat terakhir dari novel itu :

" Hilmi just smiled. His eyes were still on the locomotivee engine. There were three great wishes in his heart. He wanted very much to see two people and village : he wanted to see Siti Salina and Nahidah as well as Kampung Kambing that had fallen victim to a fire.

When the train straightened itself once more, there was an added wish. He wished very much to see Bulat too!

The train made its way to Singapore at great speed!"

Ia menimbulkan satu perasaan yang sangat hangat dan saya juga ingin kembali ke Kampung Kambing itu! Saya highlightkan ayat yang berwarna merah, kerana tidak ramai berjumpa penulis sebegini di Malaysia. Ia adalah elemen seni sastera yang tersembunyi. Tidak mendayu-dayu, tidak berbunga-bunga tetapi penuh makna dan mempunyai sentuhan tepat di hati. Itulah maknanya sasterawan.

Teknik endingnya adalah hampir sama dengan teknik The Hunger Games. Tetapi Salina telah lahir berpuluh-puluh tahun yang lalu manakala Hunger games hanya lahir baru beberapa tahun ini.

Lihat, kita punya penulis tempatan yang hebat bukan?

( Oh, saya terlupa hendak memberi tahu, nama anak saya adalah sempena nama watak protagonis hero di dalam novel itu, suami saya tidak pernah tahu tentang hal ini, saya juga tidak pernah memberitahunya. Dia bersetuju apabila saya mencadangkan nama itu ketika menamakan anak kami yang lahir 7 tahun lepas. Buku Salina saya baca ketika di dalam darjah 5. Dan saya menamatkan pembacaan buku itu selama 3 hari)

Harry Potter - JK Rowling


Ya, harry Potter adalah sebuah siri novel kanak-kanak dan remaja. Apa relevannya saya sebagai seorang dewasa membaca novel kanak-kanak. Saya tidak melihat semua itu. Nilai yang ada pada Harry Potter jauh lebih tinggi dari kebanyakan novel dewasa lain. Tidak banyak kisah romantik dalam Harry Potter seperti yang biasa ada pada novel remaja. Kalau adapun hanya sebagai tempelan, bukan sebagai plot utama. Anda boleh lihat tidak ramai penulis kisah remaja yang sebegini. Tetapi Harry Potter hidup dengan norma-norma kasih sayang abadi, freindship yang mengkagumkan, nilai-nilai keperibadian yang tinggi dan kesetiaan. Ciri-ciri bahan bacaan seperti inilah yang saya cari. Dan saya tidak fikir hanya kanak-kanak sahaja yang membaca buku ini. Ada ramai lagi peminat dewasa novel Harry Potter di seluruh dunia yang sependapat dengan saya.

Saya yakin, setiap seorang peminat Harry Potter mempunyai imaginasi tersendiri tentang cerita itu. Ia sangat indah untuk diimaginasikan. Sampai ke hari ini saya masih merasakan, tidak ada penulis setanding JK Rowling dalam genre itu. Mungkin ya, JRR Tolkien adalah penulis terhebat dalam genre yang sama, tetapi JK rowling memberi impak yang lain. Beliau adalah penulis moden yang sangat genius, hebat dan teliti.

Saya terasa seperti turut serta mengembara bersama-sama Harry dan sahabatnya di dalam istana Hogward yang besar itu. Berdebar ketika melalui detik-detik mencemaskan terutama semasa pencarian Horcrux di dalam gua kelam. Turut rasa seperti sama bertarung di pertarungan pertama Harry bersama Voldermort dalam perlawanan terakhir Trio Piala Api. Panik pada cubaan mengeluarkan Harry dari Privet Drive di tahun terakhir persekolahannya. Menitiskan airmata ketika Sirius Black, Mad Eye Moody, keluarga Lupin dan Dumbledore mati. Ketawa ketika Fred dan george membuat lawak. Merasa lapar  di dalam Dewan besar ketika upacara pengisihan dan jamuan di lakukan. Berimaginasi tentang rupabentuk rumah keluarga weasley yang baik hati. Dan banyak lagi tentang novel ini yang tidak dapat habis diperkatakan kerana setiap satu novel itu mempunyai perkaitan dan tarikan yang sangat kuat antara satu sama lain. Boleh di katakan setiap babnya sangat mengujakan.

Teknik penulisan JK Rowling juga mudah. Tidak berbasi basa, straight to the point tetapi sangat tersusun dan tidak melebih-lebih (sama seperti A.Samad Said). Walau sudah di terjemahkan ke dalam bahasa lain, ceritanya masih menarik. Saya membaca kedua-dua bahasa melayu dan bahasa Inggeris (Harry Potter) untuk membuat perbandingan dan tarikannya tidak berubah.

Selain itu Harry Potter tidak pernah ditunjukkan sebagai seorang remaja yang hebat, hanya penceritaan sekeliling sahaja yang menunjukkan dia mempunyai kekuatan dalaman. Begitu juga dengan Dumbledore, sisi kehebatan Dumbledore sebagai seorang tua yang berpengalaman jelas dilihat melalui pergerakkan, gaya percakapan dan dialognya dengan Harry. Teknik penulisan ini sama seperti novel Tamar Jalis dalam menggambarkan kehebatan datuknya. Tamar Jalis dan JK Rowling mempunyai banyak persamaan selain memiliki sense of humour yang bersahaja, menjadikan buku mereka lebih menarik.

JK Rowling juga begitu teliti dalam menyusun ayat dan plot. Saya tidak dapat bayangkan, semasa menulis siri satu, beliau sudah merancangkan, beberapa perkara dalam siri itu akan berkait dengan siri terakhirnya nanti. contohnya, budak lelaki yang berkawan dengan Lily Evans seperti diterangkan oleh Petunia pada siri satu, kita hanya tahu budak itu adalah Severus Snape pada siri terakhirnya. Sebelum itu, semua orang menyangka, budak itu adalah James Potter. Begitu juga, dengan lelaki pemilik bar di hogsmead yang ditemui oleh Harry Potter pada siri lima sebenarnya adalah adik kepada Albus Dumbledore, sebab itu mereka memiliki bentuk mata yang sama, biru terang, ia hanya diketahui pada siri yang terakhir juga.

Tidak seperti LJ Smith atau Stephen Kings, JK Rowling hanya menghasilkan satu novel komersial bersiri sahaja (setakat ini), tetapi ia sangat panjang. 7 siri kesemuanya. Saya ulang sekali lagi kata-kata di dalam entry sebelum ini, "kuantiti tidak semestinya menghasilkan kualiti ".

(J.K Rowling sebenarnya ada mencedok sedikit idea dari Lord Of The Ring dan Enid Blyton. Kita boleh lihat dari karakter-karakter yang diwujudkan, hampir kesemuanya adalah berasaskan karakter-karakter yang terdapat dalam Lord Of The Ring dan siri-siri Enid Blyton. Yang paling ketara ialah dari novel Malory Tower. Untuk asas ceritanya, JK Rowling mencedok sedikit idea dari novel itu. Boarding School ketika berumur 11 tahun,  Asrama yang mempunyai empat menara, katil bertiang dan beberapa perkara lagi. Tetapi kesemua perkara ini hanya asas sahaja, kerana Harry Potter ada jalan cerita sendiri yang sangat kuat dan tidak sama langsung dengan Malory Tower.)

************************************************

Memang benar semua orang ada pandangan tersendiri dalam pembacaan bahan bacaan.

Saya juga faham, level setiap manusia ini berlainan.

Ada orang sukakan mutu.
Ada orang sukakan hiburan.
Ada orang sukakan santai.
Ada orang sukakan keromantisan.
dan macam-macam jenis orang lagi.

Pada saya tidak salahpun hendak baca novel genre apa atau bagaimana.

Samalah seperti masak lemak cili api.
Ada orang tambah bawang dalam gulainya.
Ada orang hanya cili, santan dan kunyit.
Ada sorang suka pedas.
Ada orang tak suka pedas.
Begitulah.

Justeru, kualiti pembacaan juga berbeza-beza.

"Tetapi, Hanya Jauhari Yang Mengenal Manikam."

18 comments:

  1. heee slalu balik pahang ikut lenggeng, kampung yang damai

    ReplyDelete
  2. kupasan yang sangat menjiwai zila... Salina antara naskah awal pengenalan sastera untuk ana...

    ReplyDelete
  3. Saya suka genre romantik... dan saya ada penulis kegemaran dan tiap karyanya pasti saya baca... setiap hasil karyanya juga meninggalkan kesan yang mendalam sehinggakan ada satu novelnya tidak ingin saya baca lagi sebab plot dan endingnya yang amat menyentuh jiwa. Bahasa yg digunakan juga santai dan bila membacanya seakan2 kita ada bersama watak-watak dalam novel tersebut.

    Saya hadiahkan novel tu pada anak lelaki saya dan dia juga seperti saya... katanya dia puas membaca novel tersebut... Katanya lepas ni dia tidak ingin lagi membaca novel2 cinta sebab dia ingin mengekalkan ingatan nya pada cerita novel yang saya beri... Novel penulis melayu je Zila. Skrg anak lelaki saya lebih banyak membaca novel2 Inggeris.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh, saya baca banyak juga novel melayu sweetie..dari sekolah lagi saya dah biasa dengan arena wati, shanon ahmad, ahadiat akashah dan ramai lagi penulis melayu berbakat. Ujang (kartunis) tu pun pandai menulis. Honestly, penulis melayu bukan tak ada yang bagus, cuma dalam 10 tahun kebelakangan ni terjadi lambakan novel-novel tidak berkualiti. Lately ramai sangat yang menulis tanpa rasa

      Delete
    2. Bukan saja menulis tanpa rasa... tapi imaginasi dan khayalan yang berlebihan dari penulis... akhirnya jadilah ia satu hasil kurang kualiti.

      Delete
  4. Anda benar2 menjiwai novel2 ini sehinggakan kupasan yang beri cukup mendalam dan betul2 keluar dari hati dan naluri anda. Lambakan novel sekarang ini belum ada yang dapat mengatasi kualiti dan aras yg telah diletakkan oleh A.Samad Said. Novel sekarang lebih bersifat komersial dgn kisah2 kitar semula. Tapi inilah yg menjadi pilihan anak2 remaja masa kini...dan akhirnya inilah juga aras kesusasteraan yg kita akan dapat lihat dimasa akan datang...

    ReplyDelete
  5. Farah dah lama sangat tak baca novel akak.. =D

    ReplyDelete
  6. saya setuju kak..penerimaan dan pemahman kita terhadap satu karya adalah berbeza..mcm akak ckap ada suka genre ni itu..mcm masak asam pedas.. mcm mana novel kurang baca..lebih suka baca buku travel or motivasi dan majalah ujang :P

    buku harry potter pnah baca tapi x berapa masuk..prefer tgok movie je :P

    ReplyDelete
  7. Bunda ni bukanlah seorang yang berminat membaca....bunda juga bukanlah peminat satera tegar...
    Tetapi sebagai orang lama...bunda adalah juga membaca dan mengikuti serba sedikit buku2/novel yang lama2 ni...
    Walaupun Salina tak habis bunda membacanya....hanya yang bunda pernah habiskan membaca sebuah novel 'Nyawa Dihujung Pedang'...kalau tak silap begitulah tajuk nya...
    Novel ini mengisahkan perjuangan dan penderitaan penduduk kampung kesan dari zaman pemerintahan Jepun Ditanah Air kita...
    Kisah sedih yang penuh tragis....

    ReplyDelete
  8. antara buku yg di bca..To kill a mocking bird by Harper Lee

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya ada buku tu kak, tapi belum baca, tak sempat lagi...nanti akan baca..

      Delete
  9. Tahniah dulu dari kakak sebab ulasan Zila betul-betul membawa kakak kepada ingatan buku tersebut. Sayang pulak mana kakak letak novel ini. Tapi kalau Harry Potter tu rumah kakak banyak koleksi sebab anak-anak dara kakak peminat cerita Harry Potter. Sampai pensil kayu besar gedabak HP pun ada kat atas meja tulis dia...

    ReplyDelete
  10. Assalamuaalaikum.. saya ada tag nama akak dalam segmen The Liebster..harap dapat ler join sekali segmen ini ye..salam ukhwah, salam mesra.. Terima kasih.. ^_^
    http://www.mycherita.com/2014/05/the-liebster-award-by-khirkhalid.html

    ReplyDelete
  11. macam pernah baca novel salina tu..

    ReplyDelete
  12. ulasan yg panjang . boleh jadi pengkritik dan pengulas yang bagus . saya dah lama tak membaca novel sejak meninggalkan usia remaja ... membaca yg ringan saja seperti majalah dah suratkhabar .

    ReplyDelete
  13. Saya tak membaca kedua2 novel tu lagi.. tp kagum dgn ketabahan Jk rowling dlm kisahnya & harry porter... benar2 mengajar saya erti ketabahan & kecekalan. Utk kisah kerjaya penulis barat, jk rowling adalah salah satu insan yg saya kagum... saya lebih berminat utk membaca& mendapatkan koleksi penulisan ttg kisah beliau dari cerita harry porter itu sendiri.
    Perkongsian yg menarik Zila.. satu renungan minda yg sgt baik diawal pagi ni buat saya. T kasih.. :)

    ReplyDelete