Sunday, September 21, 2014

Memanjangkan perbalahan

Suatu hari saya datang ke bilik ketua saya atas satu urusan kerja.

Kata saya kepadanya,
 "sepatutnya ia begini tuan....". 

Kata ketua saya pula,
 "tidak, ia sebenarnya begini...."

Saya berkata lagi,
"sepatutnya seperti yang saya cakap itulah..."

Akhirnya, ketua saya tersenyum dan mengiyakan pendapat saya itu. Saya ketawa...
"yess, saya menang...". 

Kemudian ketua saya berkata dengan suara yang lembut,

"Kalau saya betul pun, saya akan beri awak menang juga...",

Kali ini saya pula terpinga-pinga.

Katanya, orang Islam tidak boleh memanjangkan perbalahan. Perbalahan itu adalah satu musuh. Dari perbalahan yang panjanglah akan terjadinya permusuhan. Perbalahan yang panjang selalu akan memberi kesan yang buruk. Sebab itulah syaitan suka melaga-lagakan orang yang sedang berbalah-balah.

  *********************************************

Beberapa hari kemudian saya diberi peluang oleh Tuhan untuk menyaksikan bagaimana perbalahan hanya akan membawa keburukan kepada umat manusia ini.

Sewaktu hendak menebus payung Petronas di sebuah stesen, datang dua orang lelaki bersama-sama kupon dan resit mereka. Menurut mereka, mereka telah mengisi minyak di stesen tersebut tetapi terlupa hendak meng'cop kupon petrol yang dibeli. Sepatutnya, pengurusan petronas tidak perlu berkira sangat, dan benarkan saja mereka tebus payung itu dakwa si lelaki. Pengurus petronas pula tidak mahu bertolak ansur dan mahu mengikut prosedur yang ditetapkan. Katanya mereka akan di audit kemudian. Dihadapan saya, dikaunter itu, si lelaki dan pengurus Petronas berbalah-balah sengit hingga naik suara tanpa malu. Saya dan yang lain-lain hanya memandang-mandang. Takut juga kalau payung naik ke muka. Setelah beberapa lama berbalah akhirnya pergaduhan itu reda juga, tetapi pelanggan dan pengurusan masih tidak berpuas hati dan masih bising-bising di belakang. Entah apa jadi selepas itu, saya pun tak berani ambil tahu.

Beberapa minggu yang lepas terjadi pula perbalahan di dalam facebook di salah sebuah group yang saya sertai. Ia adalah berkenaan persefahaman politik antara dua pihak ahli group. Terjadi serangan demi serangan dari kedua-dua belah pihak dan berlarut-larutan selama beberapa hari pertikaman lidah (atau pertikaman tangan ghaib). Seolah-olah tiada kesudahan pula. Kemudian timbullah bermacam-macam ayat yang tidak enak didengar. Akhirnya salah seorang dari yang terlibat itu telah mengadu kepada facebook, menyebabkan akaun pihak yang satu lagi dibatalkan dan dia terpaksa mewujudkan satu akaun yang lain pula.

Ahli yang lain termasuk saya, berkecuali dan tidak mahu masuk campur atau memanjangkan cerita. Walau bagaimanapun kami berusaha juga untuk meleraikan, tetapi nampaknya ia tetap tidak berakhir dengan begitu baik. Kesudahan perbalahan itu menjadi satu permusuhan pula. Isu yang sepatutnya boleh diselesaikan, menjadi besar apabila perbalahan sengaja dipanjang-panjangkan, seperti api di dalam sekam. Akhirnya perhubungan menjadi tidak harmoni.

Firman Allah dan Hadis Rasulullah itu benar sama sekali. Janganlah memanjangkan perbalahan. Syaitan amat suka dengan orang yang berbalah. Manusia ini tahap kecerdasan emosinya berbeza-beza. Ada orang pantang kena tegur sikit dah nak melenting-lenting, melawan-lawan dan tidak boleh kalah, kerana itu ego dirinya. Jadi perbalahan selalunya tidak meninggalkan kesan yang baik.

Dengan itu, marilah saya dan kita sama-sama mengambil ikhtibar. Jika hampir ia terjadi, sebaiknya mengelak dan tinggalkan sahaja. Meninggalkan perbalahan kadang-kadang tidak bermaksud kalah. Walaupun amat menyakitkan, tetapi itulah yang dituntut oleh agama.

Sekian, maafkan saya jika tidak sempurna.

*************************************

Daripada Abu Umamah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang meninggalkan perbalahan, sedangkan dia di pihak yang salah, nescaya dibinakan untuknya sebuah rumah di sekitar Syurga dan sesiapa meninggalkan perbalahan sedangkan dia di pihak yang benar, nescaya dibinakan baginya sebuah rumah di tengah Syurga. Dan sesiapa yang memperelokkan perangainya, nescaya dibinakan baginya tempat yang paling tinggi di dalam Syurga”.(H.R. Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi)

 Firman Allah SWT maksudnya :

"Wahai orang yang beriman .Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim."
(Surah al-Hujurat ayat 11)


7 comments:

  1. Betul tuh. Ingat tak perlawan bola antara Malaysia dan Indonesia? Yg tuan rumahnye indonesia? Dah berape tahun berlalu. Namun indonesia masih bermusuh dgn Malaysia. Perbalahan takkan selesai tanpa kemaafan dan tolak ansur dari mane2 belah pihak.

    ReplyDelete
  2. apalah salahnya mengalah kan...hmm..

    ReplyDelete
  3. Perbalahan ni mmg syaitan suka.. Syaitan akan masuk dlm hati mereka yg tengah membara2 nak menang atau yg tak puas hati. T kasih atas perkongsian. Mudah2an sentiasa menjadi peringatan buat saya juga.. in shaa Allah..

    ReplyDelete
  4. knor pun suka mengalah, mengalah, bukn bererti kalah, diam itu emas, kta org.. masaalah org kita adalah lidah, mcm tk ada tulang...

    ReplyDelete
  5. yang mengalah tidak bererii dia kalah..semoga cerita ini memberi pengajaran kepada kita semua..

    ReplyDelete
  6. org mcm tu anggap diri mereka kuat..berani..lantang..konon hebat sbb marah org,herdik org..maki org..tp hakikatnya dirinya amat lemah..kerana tunduk pada nafsu ..gagal menguruskan kemarahan..akak ckp terus terang..akak sikit pun tak de rasa hormat pd org2 mcm ni..

    ReplyDelete
  7. perkara yg mudah tu dipermudahkan ... klu menang sorak kg tergadai pun hanya merugikan diri sendiri . Tanya diri di mana iman kita . kita perlu ingat , perkara itu adalah ujian dr Allah ...

    ReplyDelete