Friday, March 21, 2014

Menjalani kehidupan yang sukar.

Sudah agak lama saya ingin menulis tentang ini. Tetapi jarang ada kelapangan masa. Entry ini adalah sebagai motivasi kepada setiap orang yang sudi membacanya. Atau juga motivasi kepada orang-orang yang sudah hampir berputus asa dalam kehidupan mereka.

Tahun 1997 adalah tahun yang paling bersejarah dalam hidup saya. Pelbagai ujian dan perkara-perkara besar yang dilalui. Namun, Syukur Alhamdulillah, saya survive dan segala peristiwa dalam tahun itu saya jadikan indicator apabila melalui kesukaran-kesukaran lain di dalam hidup saya.

Bertuahlah orang yang tidak pernah melalui kesukaran dalam hidup mereka. Tetapi janganlah terlalu bersenang hati. Hidup ini hendaklah sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga. Kita tidak tahu bila ujian akan menimpa.

Tahun itu, saya diterima belajar di Universiti. Pada pagi hari mendaftar, orang-orang kampung datang ke rumah untuk memberi kata-kata semangat. Tidak ramai anak kampung yang dapat masuk ke Universiti. Kebetulan rezeki saya kali itu.

Saya menghadapi sedikit masalah di awal semester untuk menyesuaikan diri dalam pembelajaran. Maklumlah, anak orang kampung yang miskin. Dulu belajar di rumah senang saja, sistem pembelajaran di sekolah juga tidak sama di Universiti. Saya tidak aware tentang ini. Selepas perperiksaan semester pertama, saya melalui satu fasa yang sangat memeritkan dan menyedihkan. Saya hampir gagal di Universiti. Pointer saya pada ketika itu hanyalah 1.4. Ianya pointer yang sangat-sangat-sangat rendah. Adalah sangat sukar untuk seseorang boleh bertahan di IPTA dengan pointer serendah itu di semester pertama mereka. Anda harus belajar bermati-matian dan mengambil subjek yang paling mudah untuk skor A. Tetapi tidak sesenang itu. Setiap fakulti ada undang-undangnya tersendiri. Bukan semua subjek yang mudah boleh kita ambil. Ada sesetengah subjek hanya ditawarkan setahun sekali.

Sedikit pengetahuan bagi yang tidak tahu, untuk meneruskan pelajaran di Universiti, anda haruslah mendapat keputusan 2.0 pointer ke atas. Dua kali berturut-turut keputusan bawah dari itu anda akan gagal dan diberhentikan. Keputusan perperiksaan setiap semester saling berkait. Jumlah kredit yang diambil pada setiap semester di darab dengan jumlah keputusan perperiksaan dan jumlah tertentu dari gred itu. Adalah sistem pengiraannya yang tidak dapat saya terangkan di sini. Keputusan pointer 1.4 itu memang sangat rendah, tanyalah pada mana-mana pelajar pun. Ia seumpama telur dihujung tanduk yang menanti masa untuk jatuh.

Semester ke dua itu saya menggugurkan banyak subjek berat, mengambil hanya 17 kredit dengan 5 darinya adalah praktikal. Berharapan agar saya dapat menumpukan perhatian terhadap subjek-subjek kecil yang juga tidak berapa kecil ini, iaitu, Anatomi, fisiologi dan beberapa subjek lagi. Saya harus mendapat A dalam kesemua subjek atau sekurang-kurangnya B+. Mungkin bagi orang lain subjek itu mudah saja. Tapi saya bukan pelajar genius. Saya harus belajar lebih dari orang lain, 3 atau 4 kali ganda lebih.

Saat itu saya rasakan dunia sangat merundum luar biasa gelapnya. Terbayang emak dan orang-orang kampung serta ayah yang sedang sakit. Haruskah saya balik kampung kalau ditakdirkan gagal atau melarikan diri saja kemana-mana. Dunia sudah tidak bererti lagi. Apa sahaja masalah di depan mata bagi saya adalah masalah kecil, kecuali masalah itu. Tetapi saya bangkit akhirnya, tekad tidak mahu dibuang Universiti, walau apapun yang terjadi, biarpun harus menempuhi ribut yang menggila, saya berazam akan melawan dan tidak mahu berputus asa.

Benar-benar saya belajar bermati-matian. Duduk di dalam kelas paling hadapan, tidak pernah tertinggal kuliah walau sekali. Berkawan dengan budak-budak cina dan mencatat dengan baik. Kehidupan di kala itu dipenuhi dengan situasi belajar sahaja. Walau apapun yang berlaku, saya terus dan terus belajar. Kerana saya mesti berusaha 4 kali ganda lebih untuk menjadi sama seperti orang lain. Saya juga berjumpa berkali-kali dengan Penasihat Akademik saya, Dr Azmi namanya, meminta nasihat selain mengadu masalah. Selain itu, tidak henti-henti berdoa kepada Allah di dalam sujud-sujud saya.

Sedang saya sangat sarat dengan kepayahan untuk menghadapi perperiksaan akhir, suatu malam, ketika di dewan belajar, emak saudara datang mengkhabarkan ayah saya sudah kembali ke Rahmatullah

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un 
(إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ)
 Dari Allah kita datang, dan kepadaNya jualah kita kembali.

Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan selain menerima qada' dan qadar dari Tuhan.

.............................................................................


Penghujung semester itu saya telah GAGAL DAN DIBERHENTIKAN. Atau dalam kata lainnya saya telah dibuang Universiti. 

Tapi saya tidak mahu mengalah. saya masih mahu menempuhi ribut yang dasyat itu untuk sampai ke penghujung. Saya tidak akan berputus asa, kecuali jika sudah ditakdirkan memang saya akan gagal. Saya berjumpa dekan, berjumpa timbalan dekan, penasihat akademik dan pensyarah-pensyarah setiap subjek yang telah diambil. Atas bantuan dan sokongan penasihat akademik (P.A), satu perperiksaan khas diadakan sekali lagi oleh pensyarah-pensyarah yang bersimpati dengan saya. Mungkin ia adalah satu kes yang agak luar biasa, tetapi ianya adalah rezeki atas berkat doa emak dan orang sekeliling.

Syukur Alhamdulillah. Saya survive akhirnya dengan pointer yang cukup-cukup makan. Jadilah, asalkan tidak dibuang Universiti. Subjek praktikal 5 kredit itu juga banyak membantu apabila saya berjaya mendapat A. Untuk langkah seterusnya saya harus memperbaiki diri agar tidak termasuk lagi ke dalam jurang yang sangat berbahaya itu. Perasaan terima kasih tidak dapat digambarkan kepada semua yang terlibat itu. Sampai sekarang, saya masih teringat-ingat budi mereka.

Hari ini, selepas pernah melalui kesukaran yang sangat dasyat, saya menjadikan pengalaman itu sebagai indicator ke atas setiap cabaran yang ditempuhi. Saya ingatkan diri, bahawa, saya pernah hampir jatuh terduduk, bangun dengan kaki yang sakit, tetapi masih terus berjalan dan berjalan.

Pada akhirnya saya menjadi seorang yang keras hati tidak lagi lemah dengan kesukaran kerana saya pernah melalui satu kehidupan yang payah dahulu. Alhamdulillah setakat ini, saya mampu menempuhi ujian-ujian yang datang sebagai nikmat yang Tuhan berikan. Ia umpama satu kredit dan hasilnya akan dikutip pada kemudian hari.

Sekian motivasi dari saya untuk mereka yang pernah melalui ujian dan kesukaran dalam hidup. Usahlah berputus asa dalam hidup. Apapun cabarannya, berdoalah kepada Tuhan dan berusahalah sedaya upayanya. Jangan mudah memandang hina kepada orang lain. Jangan juga mudah mengeluarkan kata-kata hinaan. Jangan sombong dengan sedikit kelebihan yang ada. Kerana kita tidak tahu bila Tuhan ingin menguji kita. Bersabarlah dan muhasabah diri, kerana itulah yang terbaik sebagai umat Islam.


Putrajaya
12.00 am

p/s : Batch saya adalah batch percubaan. Course itu sepatutnya 3 1/2 tahun (7 semester), tetapi telah dipendekkan kepada 2 tahun (4 semester) sahaja. Semester pertama, kami terpaksa membawa 24 jam kredit! Lebih separuh dari rakan sekelas telah gagal, termasuk kawan baik saya. Paling menyedihkan, kesemuanya anak-anak melayu. Kini saya dimaklumkan, course itu telah diubah kembali kepada 3 tahun.

Saturday, March 8, 2014

Tragedi Pesawat MH 370

Serasa hilang semua kegembiraan saya sebaik sahaja mendapat berita tentang kehilangan sebuah pesawat milik MAS (MH 370) awal pagi tadi. MAS adalah pilihan utama saya sebelum ini sebagai pengangkutan udara. Tambahan pula seorang rakan sekelas (sejak dari darjah satu lagi) adalah salah seorang cabin crew MAS yang biasa berulang alik ke luar negara. Dengan cepat kawan-kawan menghubungi beliau untuk mengetahui dimana berada. Syukurlah, beliau tidak ditugaskan ke Beijing semalam. Saya di rumah seriau juga apabila beliau tidak menjawab msg wassup kami semua.

Tragedi seperti ini adalah sangat rare di Malaysia, tambahan yang melibatkan pesawat besar seperti Boieng 777. Namun beberapa tahun lepas memang ada sebuah pesawat MAS(boieng 747) yang hampir-hampir ditimpa tragedi menakutkan ketika dalam perjalanan ke Heathrow, London. Enjin pesawat terbakar  ketika melalui ruang udara di Pulau Pinang tetapi Alhamdulillah, semuanya selamat selepas itu. Kali terakhir pesawat MAS terhempas pula adalah pada tahun 1977 di Tanjung Kupang Johor.

Saya tidak ada apa yang hendak dikatakan lagi selain sama-sama mendoakan pesawat MH 370 yang hilang itu  agar ditemui. Semoga ada yang terselamat walaupun harapan tipis. Salah seorang dalam pesawat tersebut ialah pegawai PTD MITI yang dalam perjalanan untuk melapor diri di Beijing, kata kawan saya di MOF. Tragedi yang sangat menyedihkan. Hanya kuasa Allah sahaja yang mampu menyelamatkan mereka untuk masih bersama kita di dunia ini atau sebaliknya membawa kembali ke alam yang kekal.

Apapun inilah risiko menggunakan aircraft. Saya turut bersedih bagi pihak MAS kerana selepas pelbagai masalah yang dihadapi berturut-turut, mereka dilanda lagi satu bencana. Bersedih kerana MAS adalah GLC kerajaan dan ramai anak melayu bekerja di sana.

MAS masih menjadi pilihan utama saya sebagai aircraft, walaupun selepas tragedi ini. Semua yang berlaku adalah dengan kuasa dan izin Allah Yang Maha Besar

Putrajaya
2.50pm