Friday, August 29, 2014

Palestine, umat Islam dan pendapat seorang pemandu

Entry saya hari ini sepatutnya pendek sahaja, tetapi kemudian terpanjang pula, harap maaf.

Baru sahaja Palestine dilepaskan dari keadaan bergolak yang amat menakutkan. Begitulah kesan perang. Tidak ada yang baik. Selepas berpuluh-puluh tahun yang akan datang, ia tetap meninggalkan parut, biarpun sudah tamat. Bersyukur kepada Allah dengan berita tamatnya perperangan itu, walaupun mungkin buat sementara (siapa yang percaya kepada kata-kata Yahudi?).

Semasa di Sarawak, saya berbual-bual dengan seorang pemandu. Beliau mengemukakan pendapat dan buah fikirannya sendiri. Agak tertarik juga saya, walau sebenarnya jika diterjemahkan di alam maya, maka akan melenting dan melompatlahlah segala macam manusia, baik yang beriman, mahupun yang tidak.

Tetapi, bagi saya, semua orang patut diberi peluang mengeluarkan pendapat, biarpun hanya seorang pemandu. Komen saya? Anda baca saja.

Kata pemandu itu, setelah berpuluh-puluh tahun Palestin bergolak dan berperang, dia hairan. Kenapa tidak pernah ada jalan penyelesaian. Walhal kita umat Islam adalah umat yang berada di jalan yang benar. Selalunya bila teraniaya, beramal dengan betul dan memohon pertolongan bersungguh-sungguh, jarang tidak termakbul doa itu. Cuma lambat atau cepat sahaja. Memang ya, Yahudi bangsa jahat, sudah termaktub di mana-mana kitab dan sejarah. Tetapi takkanlah Tuhan tidak mahu menolong orang Islam yang lemah lagi teraniaya itu. Sedangkan, telah turut serta umat seluruh dunia ini mendoakan kesejahteraan mereka, namun ia masih tersangkut dimana-mana.

Dia kuat benar syak, ada satu kesilapan yang telah dilakukan oleh umat Islam sendiri di sebalik semua kejadian ini. Sambil-sambil itu dia berspekulasi sendirian. Saya tidak berani menyampuk, keranamembabitkan satu isu yang sangat sensitif. Sedang semua orang menyokong Palestine, mana mungkin mereka sanggup menyatakan umat Islam di negara itu ada melakukan kesalahan kepada Tuhan. Lain dari itu, ia boleh jadi berita fitnah pula.

 

Palestin dan sejarah moral Umat Islam

Palestin sebenarnya mempunyai banyak cerita tersirat sejak dari dahulu. Ia sudah lama menghadapi masalah dalaman. Bukan hendak menceritakan keburukan negara yang teraniaya itu. Tetapi negara yang tidak bersatu memang sangat mudah untuk ditimpa bencana. Cuma baru-baru ini sahaja dengarnya HAMAS dan FATAH hendak bersatu. Harapnya penyatuan itu akan berkekalan demi kebaikan rakyat-rakyat yang teraniaya.

Kita boleh lihat bagaimana runtuhnya Iraq apabila rakyatnya sendiri tidak bersatu dan ada yang mengamalkan ajaran yang salah walaupun mengakui Islam. Begitu juga dengan Syria, dengan keadaaan bergolak yang punca asalnya adalah dari dalaman serta keraguan terhadap amalan yang dilakukan, akhirnya bencana perperangan menular dan hampir menghancurkan negara itu sendiri.




Tuhan sebenarnya banyak melaknat kaum-kaum yang kufur dan ingkar serta menyalahgunakan agama. Maka marilah kita jadikan ini sebagai ikhtibar. Kerana saban hari saya dapati sivik dan moral umat Islam di Malaysia semakin berkurangan. Kita tidak mahu menjadi seperti negara Afghanistan atau Pakistan atau Bangladesh. Walaupun mendakwa sangat Islam, tetapi moral dan sivik mereka tidak sama dengan kehendak  Islam yang sebenar. Hanya orang yang pernah tinggal di sana sahaja yang tahu realitinya.

 

 
 

Kehidupan beragama itu mesti seimbang dengan kehidupan di dunia. Biar tahu beza baik dan buruk. Biar tahu bagaimana melayan emosi dan menterjemahkan sivik. Bukan suka-suka menyalahkan orang disana-sini tidak beragama, memaksa buat itu dan ini, tetapi akhirnya ke laut juga, kerana yang tukang suruh pun kadang-kadang tidak faham Islam dengan jelas.

Menyuruh orang beramal bukan dengan hinaan, perlian, paksaan, bercakap kasar dan sebagainya. Itu semua tidak betul. Orang tidak hormat dengan cara yang kasar, malah akan lebih menimbulkan ketegangan serta menjemput bala bencana datang.

Bayangkan apa perasaan perempuan yang tidak bertudung apabila dipanggil isi neraka, lahanat, babi dan sebagainya hanya kerana dia tidak bertudung? Mereka juga tidak suka selalu diperli. Tidak ada sesiapa yang suka di hina. Inilah kebimbangan saya  tentang moral umat Islam sekarang. Tidak ada jalan lain selain melapangkan dada dan belajar menerima kekurangan orang lain serta menunjukkan contoh yang baik. Itu sahaja.

Maaflah jika kata-kata saya mengguris perasaan. Harap-harapnya amalan kita semua diredai Tuhan, dijauhkan dari perasaan riak dan dilindungi diri dari segala keburukan. Saya juga sentiasa berharap, agar diterima doa untuk Palestin dan di amankan negara itu buat selama-lamanya. Bukan untuk sebulan atau setahun dua, tapi sehingga bila-bila. Amin



Thursday, August 28, 2014

Harga susu formula terlalu mahal

Saya tertarik dengan satu keluhan oleh seorang ibu di sebuah suratkhabar tempatan. Katanya peningkatan harga susu formula akan menyebabkan ibubapa berpendapatan rendah terpaksa membeli susu yang kurang berkualiti.

Terus terang cakap, saya pernah melalui situasi ini. Ada satu ketika beberapa tahun yang sudah, saya cuba menukar susu anak saya dengan susu yang lebih murah di pasaran. Sebelum itu saya memberinya susu jenis s26 atau Pediasure sahaja. Tetapi keputusan itu tidak memberi kesan yang baik. Hanya saya dan suami sahaja tahu apa kesannya. Akhirnya kami kembali menggunakan susu yang lama. Begitu juga untuk anak ke tiga, sejak cerai susu badan pada umur dua tahun lebih, saya hanya memberi susu jenis itu sahaja kepadanya, tidak berani memberi susu lain. Memang ada perbezaan yang besar, jika menggunakan susu bermutu dan susu kurang mutu. 

gambar hiasan-sumber google
Tetapi cuba fikirkan, apakah perasaan ibu bapa yang tidak mampu? Mereka tidak ada pilihan selain memilih apa yang termampu sahaja. Susu formula yang saya guna, ketika beberapa tahun lepas, dua peket harganya tidak sampai rm40. Kemudian dalam masa beberapa bulan ia naik kepada 42 ringgit. Tak lama selepas itu ia naik lagi 46 ringgit dan yang terkini, lebih kurang 53 ringgit. Mahal bukan? Itu saya beli di kedai harga patut. Harga sebenarnya mungkin lebih dari itu. Tidakkah ia membebankan sesetengah ibubapa?

Pada siapakah ibubapa hendak mengadu. Walhal bukan sedikit rungutannya. Sedangkan susu amat penting untuk tumbesaran anak-anak, untuk tulang dan gigi. Emak ayah tidak boleh pandang remeh hal ini. Untuk saya, mujur hanya dua sahaja anak yang masih minum susu formula. Anak sulung, sudah di ajar minum susu segar. Saya memang hendak ajar yang dua lagi itu minum susu segar, tapi bila di hantar ke pengasuh, tidak sesuai pula. Menyusahkan pengasuh untuk memanaskan susu itu. Lagipun ia mudah rosak. Jadi jalan terbaik, guna sahaja susu formula.

Saya berharap sangat agar kerajaan memandang serius rungutan ibubapa ini. Kepada siapa lagi rakyat hendak mengadu.

Petikan artikel : 

Subsidi dan barang kawalan susu formula bayi

SAYA ingin menarik perhatian Perdana Menteri untuk diambil pertimbangan kerajaan dalam Bajet 2015 nanti mengenai isu yang jarang ditimbulkan atau terlepas pandang iaitu berkenaan 'susu formula bayi'.
Sebagai seorang rakyat Malaysia mewakili golongan yang berstatus ibu bapa, saya meminta supaya susu formula bayi diberikan subsidi khas dan turut dijadikan barangan kawalan bagi mengawal harganya yang semakin meningkat.
Tidak tahu di mana silapnya, harga susu formula ini yang kebanyakannya diimport meningkat terlalu mahal untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti kami membelinya.
Sepengetahuan saya, kerajaan tidak mengawal harga susu formula ini. Saya percaya, ramai lagi golongan ibu bapa di luar sana yang setuju de-
ngan pendapat ini.
Dikhuatiri sekiranya pihak pengeluar dan pengimport atau pengedar dibiarkan menaikkan harga sesuka hati, ia akan menyebabkan ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa memilih susu yang kurang berkualiti untuk bayi mereka.
Jika diberi susu kurang berkualiti, sudah pasti akan menjejaskan tum-
besaran bayi atau kanak-kanak itu.
Oleh itu bagi memastikan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, saya ingin mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi khas kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli susu bayi.
Walaupun ia bermakna kerajaan perlu memberi subsidi, tetapi jumlah yang menerimanya agak kecil dan terpilih.
Subsidi gula yang ditarik sebelum ini juga boleh digantikan kepada pemberian subsidi khas bagi susu formula ini.
Benar! jika ada yang berkata tidak perlu minta subsidi dari kerajaan untuk membeli susu tepung ke-
rana 'susu ibu' lebih berkualiti bagi menjamin tumbesaran bayi, namun faktor kesihatan dan masalah ibu selain situasi kehidupan masa kini perlu juga diambil kira.
Saya percaya, jika rakyat diberikan pilihan memilih susu formula yang berkualiti dan bermutu tinggi, insya-Allah kita dapat melahirkan generasi Malaysia yang cerdas dan sihat untuk menerajui negara pada masa hadapan.
HASLINA.DS
Salak Selatan, Kuala Lumpur

Wednesday, August 27, 2014

Bertemu Bunga Rafflesia

(Catatan ini ditulis beberapa bulan yang lepas sewaktu ke Sabah bersama keluarga)

Pada mulanya saya nak letak tajuk entry ini  sebagai "mengenali bunga rafflesia". Tetapi rasanya, isinya tak sepadan dengan tajuk. Macam nak cerita banyak sangat, tapi tak ada point. Jadi saya tukar kepada "bertemu bunga rafflesia" sahaja, lebih tepat.

 Ia sangat menarik, kerana saya tidak pernah melihat bunga ini dari dekat. Inilah pengalaman pertama bersama keluarga. Walaupun pernah ke Pusat Penerangan Rafflesia sebelum ini, tetapi ketika itu tiada bunga yang sedang mekar.

Maklumat tentang Pusat itu ada saya tulis di sini sebelumnya. Sepatutnya sebelum pergi lebih baik telefon dulu untuk mengetahui ada bunga mekar atau tidak, tetapi selepas gagal menghubungi beberapa kali, kami pergi gamble sahaja. Nasib ada bunga yang mekar di plot berdekatan.

Perjalanan pergi ke Tambunan dari KK tidaklah terlalu lama, hanya dalam 2 jam sahaja, tetapi jalannya berliku-liku. Ia lebih mencabar berbanding jalan ke Kundasang melalui Tamparuli. Jalan ini melalui pekan Penampang.

Bunga Rafflesia

Bunga Rafflesia mendapat nama bersempena penyelidik British, Stamford Raffles, yang juga orang  mula-mula merekod penemuannya. Ada bermacam-macam jenis varieti, tetapi tidak semua tumbuh di Malaysia.Varieti yang saya jumpa itu adalah jenis keitai. Saiznya agak kecil berbanding lain-lain varieti.

Jika diteliti dan dikaji betul-betul, rafflesia bukan seperti bunga-bunga yang biasa kita lihat di taman. Ia lebih mirip kepada kulat parasitik. Memerlukan perumah untuk hidup dan menggunakan serangga sebagai agen debunga. Ia juga menghasilkan bauan yang busuk untuk menarik serangga-serangga itu menghampirinya.

Saya fikir sudah ramai yang tahu, bunga ini adalah bunga terbesar di dunia. Besarnya boleh mencapai kira-kira tiga kaki bagi varieti tertentu.Bersyukurlah bila negara kita di anugerahi dengan anugerah alam yang sangat berharga kerana tidak banyak negara yang mempunyai tumbuhan ini.

Rafflesia mampu hidup di dalam iklim jenis katulistiwa sahaja, sebab itu ia istimewa. Ia juga tidak tumbuh di merata tempat, hanya kawasan-kawasan tertentu di dalam hutan. Jumlahnya pun tidak banyak. Kalau di pusat penyelidikan Rafflesia Tambunan ini, mereka mengenal pasti setiap plot dan menjaganya agar tidak terganggu dan tercemar. Ada banyak plot, yang terdekat boleh berjalan kaki selama beberapa minit sahaja. Yang saya lihat ini, perlu menaiki kereta selama lebih kurang 10 minit dan berjalan kaki lagi lebih kurang 10 minit ke dalam hutan. Seronok sebenarnya membawa anak-anak mengenali alam semulajadi.

Tetapi bukan semua orang suka dengan perkara-perkara alam semulajadi. Ada orang tidak kisah pun dan benci dengan nyamuk, pacat, dan segala macam kesukaran yang dilalui merentasi alam-alam semulajadi ini. Namun tidak kisahlah, lain orang, lain pula caranya. Cuma kalau boleh, marilah kita bersama-sama mempertahankan alam semulajadi ini untuk generasi yang akan datang.













Monday, August 25, 2014

Mengenang MH17

Saya sedang memberi satu taklimat di Kuching Sarawak, ketika upacara berkabung satu Malaysia dilaksanakan. Di dalam dewan tiada televisyen, jadi kami tidak tahu waktu yang tepat untuk 'silent one minute' tersebut. Akhirnya pengerusi majlis menetapkan pada jam 10.30 kami bertafakur bersama-sama.

Rupa-rupanya Pn Ariza Ghazalee, salah seorang mangsa tragedi, adalah rakan sekelas pengerusi. Sebaik sahaja tamat 'silent one minute' itu, pengerusi dengan segera keluar dari dewan. Mungkin tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan hadirin.

Tamat taklimat, saya bergegas untuk pulang semula ke semenanjung. Di dalam kereta menuju ke lapangan terbang, kami mendengar pengumuman jenazah Puan Ariza dan anaknya sedang diturunkan di Lapangan Terbang Kuching. Saya berharap sangat agar sempat menyaksikan upacara itu. Tetapi rupanya majlis dijalankan di bahagian lapangan terbang tentera, seberang sahaja dari lapangan terbang komersial. Jadi tidak ada apa yang dapat dilihat selain kelibat kapal terbang Charlie yang membawa jenazah. Namun itupun sudah cukup untuk membuatkan hati pilu.

Charlie yang membawa dua mangsa tragedi ke Kuching
Jenis Boieng 747 yang membawa mangsa dari Amsterdam ke Malaysia
**********************************
Kapal terbang MH17, jenis boeing 777-200ER (sama jenis dengan MH370 yang hilang dulu) dengan pendaftaran 9M-MRD, memulakan penerbangan pertamanya pada17 Julai 1997 dan terhempas pada 17 Julai 2014, genap selepas 17 tahun usianya. Ironinya, begitu banyak angkan 7 dan 17 terlibat di dalam tragedi ini. Apakah ia satu suratan atau kebetulan?

***********************************
Di dalam penerbangan balik ke semenanjung itu (masih menggunakan MAS), hati tertanya-tanya. Bagaimanakah perasaan kesemua yang di dalam kapal itu ketika ia ditembak dan hampir terhempas. Pasti masih ada yang bernyawa dan sempat melihat segala yang terjadi. Tetapi secara logiknya dalam keadaan tekanan udara yang kuat (ketika kapal pecah) dan penghasilan adrenalin yang sangat tinggi dalam badan akan menyebabkan manusia pengsan atau mati sebelum sempat mencecah permukaan bumi.

Dalam memikir itu, mata saya memandang-mandang sayup kebawah sambil berkata di dalam hati, apakah yang akan dilakukan jika berada ditempat mereka. Adakah saya mampu untuk melafazkan dua Kalimah Syahadah di saat-saat genting itu?




**********************************

Tragedi MH17 dan MH 370 adalah antara tragedi kebangsaan yang paling menyayat hati pernah berlaku di dalam negara ini selain keruntuhan Kondominium Highland Tower, kejadian tsunami di  sebelah utara dan perperangan di Lahad Datu.

Bagi saya, MAS sebenarnya adalah simbolik kepada "semangat" negara Malaysia. Ia telah menjulang bendera dan nama negara ini tinggi di udara sejak sekian lamanya. Justeru tragedi yang menimpa syarikat penerbangan itu adalah dikira sebagai tragedi untuk rakyat Malaysia juga. Tidak ada sesiapa yang mahu ia berlaku.

Takziah kepada semua yang terlibat. Takziah kepada kita semua.

MH17 dan MH370, kenangannya akan kekal disepanjang hayat. Bahkan mungkin akan di bawa sampai kemati kesedihan itu.

MAS #flying high #bring my heart together #my nation flag



Sunday, August 24, 2014

Orang yang suka bercakap besar


Bila mata terjaga di tengah malam buta dan tangan gatal menyemak segala wassup dan fb. Tiba- tiba sahaja terpampang quotes ini. Wah.. elok juga dikongsi menjadi entry, sebagai ingatan kepada diri sendiri dan pembaca, agar dapat manfaat. Selamat malam kepada yang belum tidur. Selamat beribadat bagi yang mengerjakan ibadah dan solat malam.

Tuesday, August 19, 2014

Sivik menaiki kenderaan am

Saya kira ini adalah cerita yang perlu saya 'up'kan di dalam blog.

Cerita 1

Baru-baru ini, menjadi viral di mana-mana laman sosial internet dtentang perlakuan dua makhluk Allah yang tidak bertimbang rasa, membiarkan orang yang sepatutnya duduk di kerusi dalam LRT berdiri.


Hasilnya, kedua orang makhluk ini telah menerima habuan yang hampir sama seperti cik Kiki. Tetapi bernasib baik kerana tidak ada orang yang tahu alamat, pekerjaan dan nombor telefon mereka. Segala sumpah maki dan penghinaan telah mereka terima dari jaguh-jaguh papan kekunci yang perasan sangat maksum apabila mengeluarkan perkataan-perkataan kesat.

Harap-harap kedua orang itu telah insaf dan menyedari kesilapan serta berubah menjadi lebih baik. Bersabarlah dengan ujian. Kita pembaca-pembaca yang marhaen ini juga harus mengambil ikhtibar di atas kejadian itu.

Cerita 2

Ini cerita saya sendiri, beberapa bulan lepas saya telah ke Kuala Lumpur untuk satu urusan dan menaiki Monorail. Kebetulan seorang lelaki buta masuk bersama-sama saya di dalam gerabak itu. Seperti biasa, monorail penuh dan tiada tempat duduk. Lelaki buta itu terpaksa berdiri. Di hadapan saya, duduk beberapa orang lelaki yang nampaknya tegap-tegap belaka. Lalu saya ambil keputusan untuk (bercakap dengan baik), memaksa lelaki-lelaki tegap tadi berdiri memberi tempat duduk kepada lelaki OKU itu. Mujurlah beliau (dan beberapa orang lain) bangun juga tanpa banyak alasan.

Ini namanya tindakan khidmat masyarakat. Terangkan saja kesalahan mereka (kerana mungkin juga mereka tidak perasan) dan beritahu apa yang patut dibuat. Habis cerita. Kesedaran untuk menyedarkan orang lain seperti ini sangat penting. Bukan setakat kesedaran mengumpat sahaja.

Orang Malaysia sangat takut untuk membetulkan kesalahan orang lain, terutama di hadapan umum, sedangkan tindakan itu sangat perlu. Tetapi biarlah beradab cara nak menegurnya, jangan main hentam kromo dan memalukan sehingga menjatuhkan aib orang pula. Beringat sedikit, kerana ada masanya kita terlupa juga apabila melakukan kesalahan dan sudah tentu kita tidak mahu diri diaibkan oleh orang lain.

p/s : Sebenarnya saya pernah juga buat kesalahan yang sama bila mengupload gambar di dalam blog saya tentang beberapa orang yang tidak ada sivik ini seperti di sini. Yang saya kesalkan bukan tentang gambar itu. Saya kesal kerana saya tidak tegur orang-orang yang duduk tadi supaya bangun dan beri tempat pada orang yang memerlukan. Akhirnya saya belajar dari kesilapan.

(Tetapi lain orang, lain perangai, ada orang merasa begitu tercabar apabila ditegur dan mungkin akan naik marah. Kena tengok situasi juga. Jangan sampai kita bernasib malang pula.)

Cerita 3

Selang beberapa hari selepas gambar dua makhluk Tuhan di atas bertebaran di laman-laman sosial, seorang kawan sepejabat menerima nasib yang sama. Dan ini adalah cerita yang lebih buruk dari ke dua-dua cerita di atas. Puan Siti Khadijah yang sedang mengandung beberapa bulan menaiki sebuah bas bersama sekumpulan rakan sepejabat. Beliau terpaksa berdiri kerana bas itu penuh. Amat memalukan saya apabila kawan-kawan sepejabat itu tidak langsung menunjukkan simpati dan empati kepada puan Khadijah, sebaliknya membiarkan sahaja beliau berdiri walaupun sudah ditegur. Malang sekali nasib Puan Siti Khadijah. Yang ini saya tidak terkata apa lagi, kerana rasanya Jabatan saya bukan besar sangat dan kalau ditunjuk satu-satu sudah tentu saya kenal dengan orang-orang itu semua. Apo nak di kato.

Thursday, August 14, 2014

Bila masa berlalu - biarlah mimpi cuma

Saya paling suka alam semula jadi
Mungkin kerana naturalnya saya anak kampung
Segala belukar, semak, bukit dan hutan saya telah saya redahi

Perasaaan yang paling indah ialah ketika hujan turun 
Dan selepas hujan itu berhenti 
Cahaya matahari, bau-bauan bumi, pokok-pokok dan kayu kayan yang berada di sekeliling rumah
akan membangkitkan aroma yang sangat harum
Begitu mendamaikan
Seindah gambaran cerita-cerita fantasi

Tetapi bila masa beredar
Semuanya pun akan berubah
dan tidak mungkin akan berlaku lagi
Hujan segar yang membasahi bumi itu
Kerana
Tidak sama ceritanya dengan pohon-pohonan dan belukaran hijau yang dulu

Yang ada hanyalah kerinduan terhadap kenangan itu
Yang hadir di dalam mimpi-mimpi
Bersama seorang ayah tua yang sedang menoreh getah
Biarlah mimpi cuma
Walau seketika

*********************************************

















2 Ogos 2014
Gambar-gambar adalah di mukim Pulau Tiga Kampung Gajah
Tidak ada edit
Menggunakan kamera cap ayam sahaja 
Oleh seorang kamerawoman yang kurang bakat
(tapi tetap nak berlagak macam Saiful Nang..Ecececehhh)

Wednesday, August 13, 2014

Album hari raya

Hari ini saya upload sedikit gambar-gambar kami berhari raya
Semoga anda juga bergembira bersama keluarga tercinta masing-masing
Gambar-gambar ini hanya untuk menceriakan bulan syawal sahaja
Semoga orang lain juga mendapat mood
Tapi rumah kami taklah mewah dan cantik macam rumah orang lain
(emak saya tak selalu berada di kampung)
Yang penting happy


abang ipar saya menganyam ketupat





































Gulai ketam di masak oleh abang ipar



Orang merajuk kena sakat


aktiviti memanjat langsat