Tuesday, October 7, 2014

Pengalaman di Kundasang - Kolam Air Panas Poring

Kolam air panas Poring ini terletak jauh juga dari Kundasang. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sekeliling perjalanan hanya ternampak hutan-hutan dan ada juga pekan-pekan kecil. Jujurnya, jika tak ada GPS macam zaman ini, ada kemungkinan boleh tersesat. Ada di beberapa bahagian, peniaga tepi jalan menjual durian yang isinya berwarna merah (mungkin masa itu adalah musimnya). Kalau di semenanjung tidak ada durian isi merah ini.


Perjalanannya sama hala dengan Sabah Tea Park dan Tagal Sungai Moroli Kampung Luanti, tempat dimana ikan-ikan kecil menggigit kaki pengunjung. Tetapi saya tidak pergi ke dua-dua tempat itu kerana hari sudah petang dan tidak sempat. Esoknya pula, flight kami adalah pukul 11.

Kalau anda merancang ke Kundasang, pergilah sekurang-kurangnya dua hari. Kalau satu hari satu malam macam kami, memang banyak tempat yang tidak dapat dilawati

Perjalanan pergi

Sebaik sampai di pekan Ranau, anda akan menemui satu simpang tiga, iaitu simpang yang pergi ke Tambunan, di sebelah kanan. Anda boleh lihat dan follow GPS atau WAZE (saya tidak pakai aplikasi itu), tapi bagi yang tidak ada, saya akan beri sedikit tips. Kadangkala GPS pun bukan tepat sangat.

Tetapi kini ada satu laman web yang dapat menunjukkan satu-satu kawasan dengan sangat jelas, iaitu  http://www.instantstreetview.com/. Tetapi saya tidak pasti laman ini boleh didownload dari telefon pintar, kerana saya tidak pernah cuba. Buat masa ini,  ia masih belum akses jalan-jalan di sabah.

Dari jalan utama tadi teruskan saja perjalanan sehingga anda berjumpa satu simpang kecil yang menuju ke Jalan Lohan Bongkud. Jangan bawa laju kerana tidak banyak sign board (masa saya pergi dulu), takut anda terlepas pula. Simpangnya bukan simpang besar. Ada sign board kecil di tepi jalan itu. Teruskan perjalanan sampai anda nampak Sekolah Menengah Lohan Bongkud di sebelah kiri. Hati-hati jangan tersalah masuk simpang. Sebenarnya selepas simpang utama tadi, ada satu lagi simpang kecil, menuju ke satu perkampungan, tetapi anda hendaklah teruskan perjalanan sampai nampak sekolah itu.

Sg Moroli, Kg Luanti, sebenarnya, bukan Kg Moroli


Katakanlah, ketika di jalan raya besar anda sudah terlajak ke depan. Teruskan saja, sehingga ke Kg Luanti atau Sabah Tea Garden. Balik nanti baru singgah di Air Panas Poring. Ia tidak jauh sangat.

Perjalanan ke Kg Poring ini akan melalui beberapa perkampungan kecil. Saya pun tidak sangka ada tempat perlancongan, kerana suasana sekitar tidak begitu menzahirkan bahawa kawasan itu adalah kawasan perlancongan. Mungkin bagi yang pertama kali datang akan merasa sedikit keliru, kerana banyak simpang.  Mungkin juga kerana kami pergi lewat petang (di sabah). Waktu itu sudah pukul 4 petang. Tapi tak apa, teruskan saja perjalanan mengikuti jalan utama dan follow sign board Kampung Poring sehingga melewati pekan kecil di Jalan Lohan Bongkud. Lepas pekan ini anda nampak simpang tiga, dan ambil simpang kiri. Selepas simpang itu, InsyaAllah,  tidak akan tersesat lagi.



Kolam air panas

Sebaik sampai ke kolam ini, anda harus beli tiket dahulu. Harganya tidaklah mahal sangat, hanya RM 3 sahaja. Tetapi kalau sudah masuk ke Kinabalu Park sebelumnya, tak perlu beli tiket lagi (hari yang sama). Guna tiket yang sama. Kawasan ini turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, di bawah lindungan UNESCO juga.

 

Untuk sampai ke kolam, kita akan melalui satu jambatan. Ada satu jambatan gantung, tetapi nampak gayanya masa saya pergi itu macam dah tak digunakan lagi. Dibawahnya terdapat sungai dan air terjun yang menderu-deru. Mungkin juga lepas hujan, jadi air amat deras dan bunyi bukan main kuat. Dalam hati, kalaulah jambatan itu terputus masa berada di atasnya, entah apalah nasib. Walaupun boleh berenang, tapi saya tak pernah berenang dalam sungai besar. Meremang juga bulu tengkuk memikirkan.






Kawasan ini menyediakan beberapa kawasan tempat mandi yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Tetapi ia tidak seluas kawasan mandi seperti di Sungai Klah, Sungkai. Ada beberapa bahagian yang dipisah-pisahkan dalam bentuk kolam kecil. Agak selesa untuk kanak-kanak mandi kerana lebih terkawal.




Di bahagian atas sedikit terdapat satu takungan kolam air yang sangat panas. Pengunjung tidak dibenar menyentuh air di sini. Kolam itupun dipagar. Kawasan sekitar berbau busuk seperti Hidrogen Sulfida. Janganlah pelik pula dan bising-bising. Hidrogen sulfida adalah sebatian yang menghasilkan bau seperti telur busuk. Ia terdiri dari unsur sulfur iaitu belerang. Boleh buka balik buku teks kimia kalau lupa, ia ada diajar










Berjalan diatas lagi terdapat Taman rama-rama, Jambatan gantung atau canopy walk dan air terjun. Maknanya, jika datang ke mari, anda bukan semata-mata datang ke kawasan air panas itu sahaja, tetapi anda boleh datang ke tempat-tempat yang disebutkan di atas juga. Saya tidak dapat pergi kesemua tempat ini kerana hari sudah larut petang. Walau bagaimanapun,saya senaraikan dibawah tempat-tempat menarik yang berdekatan.

 


Lain-lain tempat menarik berdekatan kolam air panas:
  • Taman rama-rama Poring


 
 

  • Canopy Walk Poring 
  • Air terjun Poring 
  • Orchid Conservation Centre 
  • Tropical Garden 
  • Rafflesia Research Centre 
  • Bamboo Garden 
  • Ethnobotanical Gardens

Dipintu masuk kolam air panas ini ada terdapat gerai-gerai yang menjual cenderamata.

 

Waktu masuk :

Untuk kolam Air Panas saya tak pasti buka sampai pukul berapa, kerana ketika itu, sudah lewat petang pun masih ada yang datang. Untuk Taman Rama-rama pula, hanya sampai pukul 4 petang sahaja. Banyak maklumat boleh didapati jika rajin mengodek-godek internet.

Harga tiket :

RM 3 Dewasa, RM 1 kanak-kanak (untuk kolam air panas) - tiket dari Kinabalu Park, boleh diguna semula disini pada hari yang sama

sila semak laman web :  http://www.sabahtourism.com/destination/poring-hot-spring-phs

Contact :

Sabah Parks Main Headquarters
Lot 45 & 46, Level 1-5, Blok H, Signature Office
KK Times Square, Coastal Highway,
88100 Kota Kinabalu

Tel : 088-523500
Fax : 088 - 486434 / 486435 / 486436
E-mail : sabahparks@gmail.com / sabahparks@sabah.gov.my


Thursday, October 2, 2014

Taman Botani Shah Alam

Oleh kerana cuti sekolah nan pendek dan kami pun mendapat berbagai-bagai jemputan kenduri sepanjang musim cuti sekolah ini. Maka rancangan membawa anak-anak berjalan itu jatuh kepada tempat yang dekat dengan bajet yang rendah sahaja.

Kenduri dirumah kawan yang lauknya teramatlah sedap. Tempoyak daun kayu dan gulai daging salai
Dua tahun yang lepas kami pernah ke sini. Saya ada menulis tentang Taman Botani di entry itu. Maklumatnya di sini. Tidak banyak yang berubah. Cuma tempatnya menjadi lebih selekeh dan tidak terurus dengan baik pada kedatangan kali ke dua ini. Sedikit menghampakan kerana taman yang sepatutnya boleh menarik ramai pengunjung dari luar negara terbiar begitu sahaja.

Throwback 2012/2014. Tapi susunan tak sama pulak. Hihi


Tidak kiralah kerajaan pusat atau kerajaan negeri yang bertanggungjawab, tempat itu perlu diselenggara semula. Sesuatu harus dilakukan demi menjaga kesinambungannya sebagai tempat perlancongan. Kalau tidak, ia hanya merugikan rakyat sahaja.

Sempat pulak cabut uban ayah masa berhenti nak snap gambar pintu masuk

Maklumat :

Parking : RM3

Parking banyak dan merata. Dua tahun lepas, datang kesini tidak dikenakan bayaran, tetapi sekarang sudah dikenakan pula.

Harga tiket:

Dewasa : RM 3
Kanak-kanak : RM 1


Harga tiket taman 4 musim : 

Dewasa : RM3
Kanak-kanak : RM 2

*musim salji dewasa RM5, kanak-kanak RM3

Waktu masuk:

8.30am-4.30pm

Kemudahan pengangkutan dalaman:

Saya tidak galakkan membawa warga emas yang sudah uzur atau OKU yang menghadapi masalah pergerakkan di sini. Bukan bias, tetapi perngembaraan dalam taman tersebut akan menyusahkan mereka, terutama berkenaan pengangkutan. Namun anda boleh cuba tanya kepada kaunter samada ada perkhidmatan istimewa untuk golongan di atas.

Terdapat tram setiap setengah jam. Anda perlu beratur untuk menaikinya. Ada basikal untuk disewa bagi yang larat. Kalau tidak boleh berjalan kaki sahaja kira-kira 2-3 kilometer





Kemudahan lain:
  • Restoran terdapat di pintu masuk
  • Penginapan ada di dalam taman, tetapi perlu "book" dulu. Kalau tidak silap ada tempat untuk tapak perkhemahan juga
  • Kedai runcit banyak, tetapi lebih kepada menjual barangan makanan ringan sahaja
Tarikan:

1.Taman 4 musim

Tiket lain harus di bayar untuk taman ini. Boleh beli dari kaunter luar atau di dalam. Secara jujurnya, inilah  satu taman yang menjadi tarikan utama untuk pengunjung kemari. Terutama ketika musim salji. Tetapi kedatangan kami kali ini adalah pada musim luruh. Jadi anak-anak tidak teruja sangat. Harga tiket untuk musim salji lebih dua ringgit dari harga musim yang lain.

Jadual musim ;

November - Februari         :  (Musim Salji / Winter)
Mac - Mei                         :  (Musim Bunga / Spring)
Jun - Ogos                        :  (Musim Panas / Summer)
September - November       : (Musim Luruh / Autumn)

















2.Skypark Adventure

Saya tidak pergi ke sini. tetapi dari banner yang dipampang diluar dan melalui blog lain ia adalah sebuah kawasan rekreasi ala-ala adventure dan mencabar gitu.Maklumatnya disini

3.Menara tinjau

Menara tinjau ini terletak di belakang sahaja Taman 4 musim. Ada jalan pintas yang boleh pergi ke sana melalui taman pendidikan. Dari taman ini anda akan menempuhi pokok-pokok puding yang ditanam membentuk ukiran geografi bulatan. Tapi malangnya, taman itu tidak berjaga sangat selain dipenuhi semak-semak. Pokok-pokok puding itu juga tidak di trim sebaiknya, menjadikan ia seperti taman yang tinggal.


 

Pasangan muda-mudi seronoklah duduk disini, tanpa ada gangguan. Parah juga. Patut diperketatkan undang-undang moral disini. Saya tak peduli, anda sudah kahwin atau belum, sila berkelakuan senonoh. Tidak bermakna orang sudah berkahwin pun boleh sembarangan berpelukan dan berciuman ditempat awam. Kita bukan di Seattle atau Carlifonia. Kita di Malaysia, ok.

Nampak tuuuuuuuu
 

Kebetulan pula masa lalu di taman itu terserempak dengan sesumpah. wah..satu peristiwa yang menarik untuk anak-anak saya.


Dari puding-puding itu, jalan mencelah-celah anda akan nampak tasik yang ada kayak (juga sudah ditinggalkan). Beberapa kawasan di tepi tasik terdapat peralatan-peralatan senaman, ada yang masih elok, ada yang sudah rosak.




Tinggi menara tinjau ini, mungkin mencapai sehingga 30-40 meter (atau lebih). Tangganya agak curam dan licin, terutama selepas hujan. Ia agak berbahaya. Perlu berhati-hati ketika naik dan turun. Dibawahnya terdapat buaian pangkin.

 
Dibelakangnyapula ada taman herba yang hidup segan mati tak mahu.


Selain dari jalan short cut dari taman pendidikan itu, anda boleh ikut jalan raya utama yang menuju ke taman Etnobotani. 
Pandangan dari atas



4.Taman Haiwan

Saya sengaja tidak mahu pergi kesini, kerana sudah tahu bagaimana keadaan taman itu. Ia agak menyedihkan. Tetapi bagi yang masih berminat, pergi saja. Alang-alang sudah sampai, kenapa tak nak menyinggah pula. Seingat saya, ada beberapa jenis ternakan seperti rusa, kuda, landak dan beburung.

5. Titi gantung

Yang ini berhampiran sahaja dengan taman haiwan tadi. Bolehlah...kalau nak merasa adventure sikit. Nak bergambar pun cantik juga.

6.Taman-taman lain

Ada beberapa lagi taman yang kami tidak pergi, seperti Taman Buah-buahan dan taman kaktus di sebelah belakang. Antara buah-buahan itu ialah durian, buah naga, belimbing, ciku dan sebagainya. Taman buah-buahan ini adalah sehala dengan Skytrex Adventure Park tadi. Tetapi perkhidmatan bas tidak lalu sampai ke sini.

 




Maklumat lanjut :

Alamat : Taman Botani Negara Shah Alam, 40000 Shah Alam
Tel  : 03-5510 6922 samb. 13 (waktu pejabat)  03-5510 7048 (untuk tempahan penginapan)
Fax : 03-5510 0922
Email : tbnsa@moa.gov.my


http://www.tbnsa.gov.my/web/guest/home