Thursday, December 11, 2014

Never respond to rudeness

Saya nampak ini dari wall Bonda Nor
 Berhadapan dengan orang-orang yang biadap dan kurang ajar 
memang memerlukan kesabaran yang lebih
Terutamanya di dalam laman buku atau media sosial yang melibatkan cerita politik
Ada sesetengah pengguna laman sosial tidak tahu meletakkan letak duduk dan harga diri mereka
Kasihan suami/isteri, ibu/bapa dan anak-anak mereka
Kadang-kadang sudah besar panjangpun akal masih macam budak sekolah
 atau macam orang tidak sekolah
Nasihat saya (juga kepada diri sendiri), jika berhadapan dengan orang sebegini, 
adalah lebih baik jangan dilayan. 
Itulah jalan yang terbaik

Monday, December 8, 2014

Persahabatan

Saya tidak dapat menahan diri dari sentiasa tersenyum sepanjang bulan ini. Kata orang, bila senang hati jangan dilupakan pula pada kesusahan. Bila ketawa, jangan lupakan tangisan. Itulah masalah saya ini. Tetapi saya berharap agar segalanya sentiasa dipermudahkan dan dijauhkan dari kedukaan di dalam hidup. Biarlah sentiasa tersenyum seperti hari ini dan sebelum-sebelumnya.

Persahabatan adalah sesuatu yang sangat manis untuk dikenang. Dengan sahabatlah kita dapat mengenali dengan baik sisi dunia ini. Dengan sahabatlah kita mampu tersenyum dengan baik. Hargailah setiap persahabatan yang terjadi di dalam hidup kita. Persahabatan yang manis tidak akan merugikan.

Reunion sekolah dua minggu lepas. 
Kebanyakannya adalah kawan-kawan yang saya kenali sejak darjah satu lagi.
Perhubungan yang rapat sejak dari sekolah, dibawa sehingga kini. 
Setiap tahun kami mengadakan perjumpaan semula.
(Sebenarnya ada banyak sangat gambar, gambar-gambar itu sangat menceriakan, tetapi biarlah ia menjadi privasi kami sahaja)



 Mini reunion kawan Universiti semalam.
Kami sangat rapat semasa di Universiti dulu, 
terutamanya apabila kena berpraktikal sebanyak dua kali di sepanjang pengajian






Friday, December 5, 2014

Mengidam

Sewaktu minum pagi bersama-sama rakan sepejabat, kami bercerita tentang fenomena mengidam dikalangan ibu mengandung. Ada yang pernah mengidam hendak makan makanan tertentu, ada yang tidak pernah mengalaminya. Saya pernah juga sekali dua mengidam makan sesuatu, tetapi tidaklah pada makanan yang susah hendak dicari. Kebanyakannya dapat dipenuhi. Kalau tidak dapat pun, tidaklah sampai saya merajuk-rajuk menyusahkan suami dan kaum keluarga lain.

sumber google
Perasaan mengidam ini bukan tidak boleh dikawal. Pokok pangkalnya bergantung kepada diri sendiri juga. Fikirlah dengan rasional, terutama sekali bagi yang beragama Islam. Kalau sudah keterlaluan kemahuan itu, mungkin ia didorong oleh syaitan dan iblis. Contohnya, macam nak makan sabun atau bangkai. Itu tidak rasional namanya. Lebih baik istighfar dan tak usah dilayan.

Tetapi janganlah pula sampai suami lepas tangan tidak mahu langsung melayan kehendak isteri. Biarlah berpada-pada selagi ia boleh dipenuhi. Bukannya apa, dalam tempoh kehamilan, biasanya sang ibu akan mengalami perubahan hormon yang agak ketara. Perubahan ini memberi sedikit kesan terhadap selera makan. Ada yang tidak boleh makan makanan kegemarannya, walhal dulu sebelum mengandung, itulah yang dihadap hari-hari. Tetapi tidak semua ibu pula begitu. Ada yang tidak menghadapi masalah langsung dalam selera pemakanan, semuanya boleh bedal.

sumber google
Hari ini ada satu cerita yang agak menarik ingin saya kongsikan tentang isu mengidam. Sewaktu program MAHA berlangsung baru-baru ini, datanglah seorang pakcik tua yang sangat daif di salah sebuah gerai ternakan. Bila ditanya kawan saya yang bertugas ketika itu, sudah 80 tahun umurnya. Pakcik ini datang menaiki sebuah kapcai yang sangat buruk nun jauh dari Kuala Pilah. Sewaktu sampai, hampir-hampir terjatuh motor itu dek kerana terlalu usang. Dia menangis ketika memberi tahu sedang mencari daging kerbau untuk dimasak buat anak perempuannya yang mengidam. Yang jadi masalah, si anak itu hanya mahu daging kerbau yang terdapat di MAHA sahaja! Wah! 

Memang betul, pada program MAHA terdapat banyak jenis ternakan, kerbau pun ada, tetapi tidak ada jualan daging mentah seperti di pasar-pasar. Proses penyembelihan juga tidak dilakukan. Ia adalah program promosi rangkaian perniagaan, jadi fungsi utamanya bukan untuk jualan produk input atau industri up-stream (bagi ternakan).


Kasihan sungguh pakcik itu. Saya tidak kisah dengan anaknya yang sedang mengidam, tetapi saya kisah dengan kegigihan pakcik itu. Saya tidak tahu apakah masalah keluarganya yang sebenar, mungkin juga mereka tidak tahu kedatangannya di program itu. Iyalah, kalau difikir logik orang-orang yang normal takkan pula disuruh ayah yang sudah tua susah-susah menaiki motor jauh-jauh seorang diri mencari makanan yang diidam, walhal makanan itu boleh saja di dapati dari mana-mana di negeri sembilan yang terkenal dengan kobaunya.  

Ikhtibarnya, kalau mengidam sekalipun biarlah ia sesuatu yang rasional untuk dilakukan. Fikirlah dengan logik akal. Jangan sampai menyusahkan diri dan mengundang keburukan pula. Tak usah kisah sangat dengan pepatah "takut anak mengences" (kempunan) dan melelehkan air liur setiap masa. Zaman moden ini tidak terpakai semua itu. Penghasilan air liur sebenarnya adalah sangat baik bagi bayi, kerana ia membantu membersihkan mulut, penghadaman perut dan sebagai pelincir usus semulajadi. Kejadian air liur meleleh itu tidak ada kena mengena langsung dengan mengences atau kempunan kerana ibunya tidak dapat barang yang diidam. Itu semua adalah salah faham sahaja!

sumber google