Friday, January 30, 2015

Jogjakarta

Entry kali ini menceritakan sedikit pengalaman di Jogjakarta. Mungkin pengalaman itu tidak sama dengan orang lain. Saya mengikuti satu program, bukan melancong. Jadi ia tidak ada cerita-ceriti tentang tempat-tempat perlancongan terkemuka seperti Candi Borobudur atau Istana-Istana lamanya. Ia lebih kepada menceritakan latar belakang Jawa Tengah ini agar pengunjung yg kali pertama datang mendapat gambarannya. Untuk itu akan saya pisah-pisahkan entry bagi memudahkan pencarian maklumat.

Pengalaman yang ada hanyalah di ladang-ladang pertaniannya. Tetapi saya tidak akan tulis banyak tentang lawatan kerja itu, kerana mungkin pembaca tidak berminat. Bagi yang menyangka saya menulis edisi perlancongan, harap maaflah ya. Walau bagaimanapun, ada banyak blog yang menceritakan tempat-tempat menarik di Jogjakarta.

Kami tiba di lapangan terbang Adi Sucipto pada jam 11.30 tengahari waktu tempatan menaiki penerbangan Air Asia. Tidak ada pilihan penerbangan MAS untuk ke sana (mungkin ada pilihan Lion Air). Sejak beberapa tahun yang lepas, inilah kali pertama saya menaiki Air Asia di terminal barunya. Jauh juga hendak berjalan kaki di KLIA2, tidak seperti di KLIA. Group kami adalah seramai 30 orang.


Selepas mengisi borang kastam, kami ditunggu oleh pegawai dari sana, Bapak Andre dan agen perlancongan. Sebelum itu saya ingin ceritakan sedikit hasil pengamatan di lapangan terbang Adi Sucipto. Pertama kali mendarat, saya agak terpinga-pinga, kerana terminal ini nampak usang, walaupun banyak penerbangan yang dilepaskan. Pesawat kami mengambil masa yang sangat lama menunggu giliran untuk mendarat, berbeza dengan mana-mana lapangan terbang di negara kita (kecuali jika cuaca buruk). Saya pernah mendarat di Langkawi, Penang, Kota Baru, Kuala Terengganu, KK, Kuching dan Tawau. Jadi apabila melihat sebuah lapangan terbang yang sibuk dengan suasana yang tidak berapa sistematik, saya kira, kemajuan dan pembangunannya perlu ditambah baik.

Tidak ada tempat yang sesuai untuk mengisi borang imigresen di sini. Jika datang rombongan yang ramai, semua orang perlu berpanas terik mengisi borang itu di atas tangga dan terpaksa menahan telinga mendengar bunyi bising enjin kapal terbang yang turun dan naik. Ramai pekerjanya juga tidak memakai earphone, itu sesuatu yang tidak sihat. Bunyi enjin kapal terbang yang didengar dari dalam pesawat sedang berlepas pun boleh mencapai sehingga 90-120desibel ( bergantung kepada jenisnya ). Bermakna, ia akan lebih kuat jika didengar dari luar, apatah lagi pada jarak hanya beberapa meter! Saya terpaksa menekup kedua-dua belah lubang telinga dengan jari untuk mengelak bunyi yang kuat. Pesawat berlepas atau mendarat selang beberapa minit sahaja dalam tempoh sejam itu.

Dihadapan muncung pesawat warna putih itulah kami mengisi borang kastam.
Selesai mengisi borang kastam, ia diserahkan di kaunter paling hadapan sebelum di semak di kaunter imigresen disebelah belakangnya. Bagasi pula diambil dari sebelah tepi, hanya beberapa meter dari situ. Hampir-hampir kawan saya tertukar beg dengan seorang Mat Salleh.

Tetapi kesemua ini bukan kesalahan individu rakyat Indonesia. Pekerjanya yang saya nampak masih dedikasi, berkerja keras dan tidak sombong. Ia adalah masalah pemerintahan. Jika pemerintah lebih telus dan sistematik, kejadian rasuah dapat dielakkan dan pembangunan juga akan berlaku lebih sekata.


Jogjakarta adalah sebuah bandar. Tetapi saya tidak tahu luas keseluruhan bandar ini atau yang ke berapa terbesar di Indonesia. Indonesia punyai banyak bandar, samada kecil mahupun besar. Penduduknya berjumlah kira-kira 240 juta! Lapan kali ganda lebih dari Malaysia.

Secara keseluruhan yang saya nampak dan faham, taraf ekonomi penduduk di bandar ini tidaklah terlalu rendah dari negara kita. Ia lebih kurang sama sahaja. Berjumpa orang miskin, orang kaya pun ada juga. Cuma penduduk di sini mempunyai lebih keberanian dalam survivalnya mencari rezeki. Orang Melayu Malaysia masih takut-takut untuk berbuat sesuatu yang luar dari kotak. Ramai juga yang mengharapkan subsidi dan bantuan berkepuk-kepuk dari kerajaan. Nanti saya akan ceritakan mengapa saya berkata demikian.

Tanah Jawa Tengah sangat subur dan kaya dengan hasilan pertanian. Salah satu sebabnya, mereka berada di dalam lingkungan Gunung Berapi yang aktif. Subhanallah, Tuhan Maha Adil. Sungguhpun kawasan itu mempunyai tahap kebahayaan melampau pada tahun-tahun tertentu, terutama ketika letusan lahar gunung berapi berlaku, tetapi selepas beberapa bulan, tanah itu kembali menjadi subur-sesuburnya. Boleh dikatakan, penanaman apa-apa sahaja akan menjadi dan tumbuh dengan baik.
Lahar gunung berapi atau magma membawa banyak bahan mineral yang menyuburkan tanah.


bumi bertuah Jogjakarta dari udara
Melewati pekan-pekan dan kawasan perumahan di daerah ini banyak mengingatkan saya kepada daerah-daerah di Kelantan dan ada sesetengahnya seperti di Sabah atau Sarawak. Itu membuatkan diri tidak terasa canggung seperti berada di luar negara. Maksud saya, susun atur pola penempatannya lebih kurang sama sahaja, kecuali bentuk fizikal atap-atap rumah di sini dibina menggunakan atap genting yang mencuar tinggi. Mereka juga tidak begitu mementingkan hiasan-hiasan di hadapan rumah, seperti pasu-pasu bunga atau taman-taman kecil. Pada hemat saya, memang tidak begitu sesuai menghias halaman berlebih-lebihan, kerana jika sekali lahar gunung berapi menimpa, tidak akan ada apa-apa yang boleh di selamatkan.

Jalan-jalan di kota Jogjakarta dibina terlalu kecil dan berhampiran dengan bangunan-bangunan dan kedai-kedai. Tidak ada reserve jalan, sama seperti di pekan-pekan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang cina di Malaysia seperti Pekan Seri Kembangan dan beberapa tempat di Pulau Pinang. Bangunan tinggi pun tidak banyak kerana keadaan muka bumi dan struktur tanah di sini memang tidak sesuai untuk dibina bangunan tinggi-tinggi.

Orang-orang di sana banyak menggunakan kenderaan motosikal untuk pergerakan. Antara sebabnya, harga minyak  agak tinggi dan jalannya juga agak sempit menyebabkan lebih mudah tersangkut dalam kesesakan lalu lintas jika menggunakan kenderaan beroda empat. Beca juga banyak di sana, tetapi tidak kelihatan pula wagon atau tuk tuk.

Bersambung -




Gunung merapi yang masih aktif






8 comments:

  1. Rakyatnya terlalu ramai pembangunan pulak perlahan jadi persekitarannya begitulah dptnya. Kesian tengok rumah mereka kan... kalau kita rumah macam tu letaknya di kebun-kebun dijadikan tempat berteduh/rehat adalah..

    ReplyDelete
  2. Zila, satu pengalaman yang unik dikongsikan disini, kadang-kadang bila ada kekurangan baru kita mensyukuri betapa bertuahnya tanahair sendiri, ana tunggu sambungannya.....

    ReplyDelete
  3. Kali terakhir saya ke Jogja adalah pada tahun 2001.. itu pun disebabkan urusan kerja selama seminggu. Pasti dah bnyk perubahan di sana sekarang kan..

    ReplyDelete
  4. Bestnyaaa. Teringin nk melawat negara lain, insyaAllah satu hari nanti. :)

    Kak nk mintak alamat sebab Kak ada tersenarai kat SINI. Nanti pm nama, alamat dgn no phone kt fb Invisible Note yea ;)

    ReplyDelete
  5. menarik ulasan akak ni..seronok baca.begitu rupanya.mungkin diorang malas nak bangunkan tempat tu sebab terfikir kalau dibawa lahar gunung berapi mereka juga yang rugi.

    ReplyDelete
  6. Kena isi kat tangga jer akak.. aduhaiii dgn panas lagi kan.. harap lepas nie depa boleh upgrade la sikit..

    ReplyDelete
  7. peruntukan untuk pembangunan mungkin tak byk kot . gunung berapi yg kerap meletus juga penyumbang kpd pembangunan yg x seberapa rasya . simple je rumah mrk .mmg nampak subur tanamannya ...

    ReplyDelete