Monday, January 5, 2015

QZ8501 dan Cuaca buruk

Entry ini tidak ada kena mengena dengan pesawat AirAsia yang terhempas. Saya cuma ingin menceritakan pengalaman saya melalui cuaca yang sangat buruk dalam satu penerbangan menggunakan pesawat MAS. Ia telah ditulis berbulan-bulan dahulu, tetapi saya banyak menimbang-nimbang samada mahu menerbitkannya atau tidak. Apabila QZ8501 jatuh terhempas, saya mula memahami, kuasa seorang pemandu kapal terbang sangat berat dalam menghalakan kearah mana keselamatan penerbangannya. Pelbagai teori diterbitkan tentang kemalangan pesawat milik AirAsia ini. Saya tertarik dengan salah satu teori, pesawat hilang daya tujah apabila mendaki ketinggian tertentu pada kekuatan kelajuan yang tidak sesuai (atau lebih rendah dari biasa). Dalam keadaan ini, sayap kapal kehilangan upaya mengangkat pesawat tersebut. Tetapi selagi kotak hitam belum ditemui dan siasatan masih dijalankan, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi. Apapun, para juruterbang telah dilatih untuk mengenal pasti masalah dan cabaran yang akan dilalui ketika mengendalikan pesawatnya. Mereka hanya akan mengambil sesuatu keputusan selepas membuat pertimbangan yang sesuai. Kapten Iriyanto sama seperti Kapten Wan Amran (MH17) dan Kapten Zaharie Shah (MH 370) mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam dunia aviation. Jumlah jam penerbangan beliau ialah 20,537 jam. Ini penting dalam menggambarkan sejauh mana pengalaman kapten tersebut mengendalikan pesawat terbang. Tambahan pula, beliau ialah seorang bekas juruterbang tempur. Akhirnya, takziah kepada seluruh keluarga mangsa terbabit, kepada negara Indonesia dan kepada negara kita sendiri (AirAsia adalah antara pemilik saham dalam Syarikat AirAsia Indonesia tersebut).


Selepas berhari-hari outstation menjadi fasilitator dan memberi ceramah di Melaka, Terengganu dan Kelantan, akhirnya saya pulang juga ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat MH 1397.

4.35 pm semasa memulakan penerbangan naik cuaca sangat baik di Lapangan terbang Sultan Ismail Petra. Tetapi boleh dilihat dari tingkap pesawat banyak awan tebal seputih kapas menghiasi langit bumi Semenanjung. Mungkin kerana sudah tiba musim Angin Monsun Timur Laut, maka banyaklah wap dari Laut China Selatan naik membentuk awan-awan lalu menaburkan hujan dimana-mana.


Teringat beberapa jam sebelumnya, ketika berbual-bual dengan ketua, beliau meluahkan keingintahuannya tentang awan-awan tebal yang berkepul diudara itu samada boleh membentuk kepingan ais atau tidak jika terlalu sejuk. Saya menyatakan mungkin boleh, kerana fenomena hujan ais pernah berlaku beberapa tahun yang lepas dikampung halaman saya. Kemudian dia tertanya-tanya lagi (banyak pulak yang dia nak tahu) bagaimanakah agaknya sang pilot mengemudikan pesawat untuk mengelak kepingan-kepingan ais ini (jika ada). Yang ini, saya tidak tahu kerana satu-satunya teori saya, setiap kapal mempunyai sistem keselamatan yang cukup kuat, walaupun melanggar kepingan ais, tetapi ia masih boleh bergerak. Jika anda peka, ketika melalui air bridge, boleh dilihat pada muncung pesawat (biasa pesawat lama) akan ada sedikit calar-calar dan cat-cat sompek yang sekata. Logiknya kepingan ais di udara (jika ada) tidak akan sama seperti bongkah ais di hemisfera utara atau selatan yang lebih padu kandungan aisnya (sistem atmosfera bumi adalah satu sistem tertutup yang sangat kompleks dan sistematik).

Hampir 20 minit menghampiri sempadan pahang dan Perak, saya meninjaukan muka kesisi tingkap. Ketika itu ketinggian pesawat mungkin sekitar 1000 - 2000 meter sahaja, kerana dapat dilihat dengan jelas kontur tanah tinggi sekitar Cameron Highland. Penuh bertarah-tarah umpama belakang siput babi yang besar (tidak hairan sangat kenapa kawasan itu selalu saja dilanda bencana tanah runtuh atau hakisan sungai kebelakangan ini). Dan tidak jauh dari kawasan itu juga, jelas kelihatan highway Utara Selatan yang gagah merintangi semenanjung Malaysia sebagai sistem penghubung jalanraya utama.

Dalam meninjau-ninjau, kedengaran Kapten kapal membuat pengumuman tentang situasi cuaca (pengumuman awal sebelumnya dibuat oleh pembantu juruterbang yang mungkin masih baru- anda boleh kenal, bagaimana gaya kapten bercakap dan bagaimana gaya pembantu juruterbang bercakap). Kata kapten, cuaca sangat buruk di KLIA, pesawat tidak akan turun kerana angin bertiup sekitar 30-45km sejam diikuti hujan yang lebat dan kilat. Ketika itu terdapat 7 lagi pesawat sedang menunggu untuk membuat pendaratan dan kami berada di giliran ke tujuh. Untuk menenangkan hati, kapten menambah, bahan bakar pesawat cukup bagi penerbangan selama sejam lagi.

Saya mula kaget. Sepanjang berkali-kali menaiki kapal terbang, walaupun pernah mengalami cuaca buruk dan pesawat rosak, tetapi belum pernah melalui keadaan sebegini. Kapal terbang bergoncang-goncang dengan kuat sekali walau tiada air tubulance berlaku. Agak lama pesawat itu berlegar-legar diudara. Seterusnya (hampir setengah jam kemudian), kapten mengumumkan, cuaca masih tidak baik dan jika tidak reda kami mungkin terpaksa ke JB atau Penang untuk menambah bahan bakar. Ahh..sedikit saya lega. Di dalam hati berkata, tidak mengapa kapten, bawalah kami ke JB atau Penang dan selamatlah mendarat, saya sanggup menunggu, biarpun satu hari lagi.

Tetapi hanya sementara perasaan lega itu. Tidak lama, kapten menyuruh anak-anak kapalnya duduk di tempat masing-masing untuk pendaratan. Saya tinjau di tingkap sekali lagi (sebelum itu sudah berkali-kali meninjau). Eh, cuaca masih buruk. Biar betul kapten ini, nak mendarat di dalam cuaca yang buruk? Pesawat bergegar-gegar lebih kuat dan saya tidak nampak apa-apa selain awan yang besar dan suasana gelap (walaupun masih petang). Lambang MAS di sayap pesawat pun hampir tidak kelihatan, walhal hanya jarak beberapa puluh meter sahaja dari tingkap.



Tiba-tiba saya terasa marah kepada diri sendiri kerana beberapa jam sebelumnya tadi saya sibuk bercerita tentang kepingan ais dalam awan. Tengok itu, sekarang mungkin kami akan melalui kepingan ais pula. Aduh. Tetapi saya haruslah bersabar, positif dan tidak memandang rendah keupayaan Kapten ini. Sekarang beliau sedang meletakkan nyawanya dan penumpang dalam satu risiko. Jadi sudah tentu beliau akan memilih jalan yang terbaik untuk dilakukan. Memandangkan pembuat pesawat tidak menyediakan tempat pemegang untuk berpaut seperti dalam kereta, melainkan tombol tempat duduk sahaja. Jadi dengan terpaksalah saya genggam tombol itu kuat-kuat untuk menenangkan hati yang berdebar seribu.

Mulut mula terkumat kamit membaca kalimah syahadah. Kaki di dalam kasut tertutup mengeletar perlahan-lahan. Beberapa orang kanak-kanak dibelakang saya mula menangis tidak henti-henti. Pelancong Mat Salleh selang dua seat dari saya juga kelihatan pucat dan mengenggam tombol tempat duduk masing-masing kuat-kuat (penakut juga Mat Salleh-Mat Salleh ini rupanya). Semua orang diam tak bercakap-cakap, kecuali bunyi kanak-kanak menangis itu sahaja diselang seli bunyi enjin pesawat. Awan hitam begitu tebal menyebabkan pesawat berkelok-kelok seperti perahu kecil sedang melalui air terjun besar. Sesekali boleh nampak kilat memancar-mancar berhampiran pesawat. Aduh, kalau mati, matikanlah saya dalam iman ya Tuhan. Teringat pula anak-anak dan suami dirumah, lagilah resah, macam tak boleh duduk diam dah. Beginilah agaknya yang di rasa oleh penumpang MH17 dan MH370 dulu.

Sejurus, melepasi awan-awan tebal, cuaca menjadi tenang sedikit walaupun masih hujan dan boleh nampak runaway KLIA basah lencun. Sekarang, satu lagi cabaran, bolehkah pesawat ini mendarat dengan runaway sebegitu? Tidak licin kah? Tidak ada crosswind kah? Kalau terbabas dan terbalik macamana? Bukan tidak pernah pesawat terbabas semasa pendaratan. Fikiran jahat dan negatif datang lagi di depan mata. Ah..sekali lagi saya berdebar-debar. Semua orang senyap juga, mungkin memikirkan perkara yang sama.

Beberapa minit, terasa debukan lembut tayar pesawat di landasan dan ia terus meluncur dengan baik tanpa ada apa-apa masalah. Teruja saya bila semua orang menjerit lega dan bertepuk tangan dengan kuat sebagai sokongan dan terima kasih kepada Kapten dan crew penerbangan. Inilah penerbangan yang paling menakutkan, tapi disebalik itu saya bangga dengan kepakaran kapten dan ketenangan crewnya. Semua orang mengucapkan terima kasih kepada ketua peramugara ketika keluar. Salute kepada MAS. Terima kasih Kapten Edward (Seorang muslim dan mungkin melayu, saya lupa nama keduanya). Kapten itu tahu apa yang dilakukannya dan nampak sangat saya bukan juruterbang.

Semoga tiada lagi insiden buruk yang melanda dunia aviation ini, walau dimana-mana.

13 comments:

  1. Alhamdulillah zila...semuanya selamat...
    akak yg membacanya pun turut terasa bagaimana debaran yg dihadapi..

    ReplyDelete
  2. Menarik pengalaman kak zila ni.saya baca sebijik-sebijik tau.hanya pernah mengalami minor turbulence, tengok peramugari semua diarahkn duduk pun time tu dh nk gugur jantung. Cmane la agaknya perasaan mangsa nahas MH17 dan Qz8501 kan..tak dapat nak bayangkan

    ReplyDelete
  3. pernah sekali naik kapal terbang masa umur 10 tahun. masa tu pun dalam hati dah fikir macam2..

    ReplyDelete
  4. Masya-Allah... kakak yg cuma baca pun dup-dap-dup-dap tau Zila. Kiranya Zila dah rasa detik cemas ketika nak mendarat. Kakak dulu masa nak pergi Mekah kali pertama masa tu (tak pergi dgn anak-anak masa tu). Bila di beritahu semua kena duduk di seat, lampu semua dioffkan. Memang terasa gegaran dan goncangan. Dlm hati kakak Allah aje yg tahu. Bila dah makin takut ada satu pakcik dan suami kakak terus azan. Entah kuasa apa tidak lama selepas laungan azan cuaca kembali reda. Masa tu memang semuanya membaca macam-macam doa. Takutnya Allah aje yg tahu sebab bumi Mekah masa tu masih jauh lagi...

    ReplyDelete
  5. Pastinya cemas bila berhadapan dgn perkara2 mcm tu.. Allahuakbar... syukurlah selamat...

    ReplyDelete
  6. satu pengalaman yang amat berharga buat Zila tentunya, terima kasih berkongsikan nya disini..:)

    ReplyDelete
  7. Aduhai Zila, ngerinya saya membayangkan jika saya berada di dalam kapal tu. Dgn kejadian2 yg berlaku dlm dunia penerbangan skrg, buat saya cuak nak naik kapal terbang. Tapi bila difikir2kan balik untuk meredakan kebimbangan, saya selaku kata pada diri sendiri... "Juruterbang tu pun tentu tak mahu melalui kejadian2 seperti itu. Pramugara dan pramugari pun sama... dah tugas nak buat mcm mana... kalau dah ditakdirkan mati dlm keadaan begitu tak siapa boleh menolak ketentuannya.

    Ketika saya belayar dengan Star Cruise bulan november lepas saya berkenalan dan berbual dengan sorang anak muda yg skrg sedang mengikuti kursus penerbangan di Kelantan. Keluar nanti bakal menjadi juruterbang AirAsia katanya. Bila saya tanya "tak takut kah jadi pilot" dia senyum saja.

    ReplyDelete
  8. saya yg sekadar membaca dpt membayangkan perasaan zila masa tu . sesiapa sahaja juga akan rasa gerun dan serik nak naik flight lagi klu tak memikirkan yg itu hanya sekadar cuaca yg tak baik ...

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah kak. Saya pernah alami situasi hampir sama pada hujung tahun 2013. Masa tu pulang dari Sabah, juga menaiki MAS. Agak lama berada diudara kerana tidak mendapat kebenaran mendarat dan cuaca memang buruk. Apa pun, syukur Alhamdulillah akhirnya setelah hampir 30 minit, pesawat dibenarkan untuk mendarat.

    *pernah juga naik pesawat MAS yang dipandu oleh mendiang Kapten Eugene yang terkorban dalam nahas MH17..

    ReplyDelete
  10. Saya juga pernah mengalami situasi berada dalamkapal terbang ketika cuaca buruk. Memang metakutkan... Hanya mereka yg pernah mengalaminya tahu akan perasaan ketika itu...

    ReplyDelete
  11. Pengalaman yang sangat berharga. Alhamdulillah semuanya selamat

    ReplyDelete
  12. yang baca inipun turun seram.. turbulence pernah sekali CT rasa dan huuurm memang tak senang duduk jadinya. alhamdulillah tak pernah fly dalam keadaan hari hujan setakat ini. kapten kapten terlatih sudah pastinya. namun siapalah kita nak melawan ketentuan-Nya kan.. kita hamba yang hina..

    ReplyDelete