Friday, January 30, 2015

Jogjakarta

Entry kali ini menceritakan sedikit pengalaman di Jogjakarta. Mungkin pengalaman itu tidak sama dengan orang lain. Saya mengikuti satu program, bukan melancong. Jadi ia tidak ada cerita-ceriti tentang tempat-tempat perlancongan terkemuka seperti Candi Borobudur atau Istana-Istana lamanya. Ia lebih kepada menceritakan latar belakang Jawa Tengah ini agar pengunjung yg kali pertama datang mendapat gambarannya. Untuk itu akan saya pisah-pisahkan entry bagi memudahkan pencarian maklumat.

Pengalaman yang ada hanyalah di ladang-ladang pertaniannya. Tetapi saya tidak akan tulis banyak tentang lawatan kerja itu, kerana mungkin pembaca tidak berminat. Bagi yang menyangka saya menulis edisi perlancongan, harap maaflah ya. Walau bagaimanapun, ada banyak blog yang menceritakan tempat-tempat menarik di Jogjakarta.

Kami tiba di lapangan terbang Adi Sucipto pada jam 11.30 tengahari waktu tempatan menaiki penerbangan Air Asia. Tidak ada pilihan penerbangan MAS untuk ke sana (mungkin ada pilihan Lion Air). Sejak beberapa tahun yang lepas, inilah kali pertama saya menaiki Air Asia di terminal barunya. Jauh juga hendak berjalan kaki di KLIA2, tidak seperti di KLIA. Group kami adalah seramai 30 orang.


Selepas mengisi borang kastam, kami ditunggu oleh pegawai dari sana, Bapak Andre dan agen perlancongan. Sebelum itu saya ingin ceritakan sedikit hasil pengamatan di lapangan terbang Adi Sucipto. Pertama kali mendarat, saya agak terpinga-pinga, kerana terminal ini nampak usang, walaupun banyak penerbangan yang dilepaskan. Pesawat kami mengambil masa yang sangat lama menunggu giliran untuk mendarat, berbeza dengan mana-mana lapangan terbang di negara kita (kecuali jika cuaca buruk). Saya pernah mendarat di Langkawi, Penang, Kota Baru, Kuala Terengganu, KK, Kuching dan Tawau. Jadi apabila melihat sebuah lapangan terbang yang sibuk dengan suasana yang tidak berapa sistematik, saya kira, kemajuan dan pembangunannya perlu ditambah baik.

Tidak ada tempat yang sesuai untuk mengisi borang imigresen di sini. Jika datang rombongan yang ramai, semua orang perlu berpanas terik mengisi borang itu di atas tangga dan terpaksa menahan telinga mendengar bunyi bising enjin kapal terbang yang turun dan naik. Ramai pekerjanya juga tidak memakai earphone, itu sesuatu yang tidak sihat. Bunyi enjin kapal terbang yang didengar dari dalam pesawat sedang berlepas pun boleh mencapai sehingga 90-120desibel ( bergantung kepada jenisnya ). Bermakna, ia akan lebih kuat jika didengar dari luar, apatah lagi pada jarak hanya beberapa meter! Saya terpaksa menekup kedua-dua belah lubang telinga dengan jari untuk mengelak bunyi yang kuat. Pesawat berlepas atau mendarat selang beberapa minit sahaja dalam tempoh sejam itu.

Dihadapan muncung pesawat warna putih itulah kami mengisi borang kastam.
Selesai mengisi borang kastam, ia diserahkan di kaunter paling hadapan sebelum di semak di kaunter imigresen disebelah belakangnya. Bagasi pula diambil dari sebelah tepi, hanya beberapa meter dari situ. Hampir-hampir kawan saya tertukar beg dengan seorang Mat Salleh.

Tetapi kesemua ini bukan kesalahan individu rakyat Indonesia. Pekerjanya yang saya nampak masih dedikasi, berkerja keras dan tidak sombong. Ia adalah masalah pemerintahan. Jika pemerintah lebih telus dan sistematik, kejadian rasuah dapat dielakkan dan pembangunan juga akan berlaku lebih sekata.


Jogjakarta adalah sebuah bandar. Tetapi saya tidak tahu luas keseluruhan bandar ini atau yang ke berapa terbesar di Indonesia. Indonesia punyai banyak bandar, samada kecil mahupun besar. Penduduknya berjumlah kira-kira 240 juta! Lapan kali ganda lebih dari Malaysia.

Secara keseluruhan yang saya nampak dan faham, taraf ekonomi penduduk di bandar ini tidaklah terlalu rendah dari negara kita. Ia lebih kurang sama sahaja. Berjumpa orang miskin, orang kaya pun ada juga. Cuma penduduk di sini mempunyai lebih keberanian dalam survivalnya mencari rezeki. Orang Melayu Malaysia masih takut-takut untuk berbuat sesuatu yang luar dari kotak. Ramai juga yang mengharapkan subsidi dan bantuan berkepuk-kepuk dari kerajaan. Nanti saya akan ceritakan mengapa saya berkata demikian.

Tanah Jawa Tengah sangat subur dan kaya dengan hasilan pertanian. Salah satu sebabnya, mereka berada di dalam lingkungan Gunung Berapi yang aktif. Subhanallah, Tuhan Maha Adil. Sungguhpun kawasan itu mempunyai tahap kebahayaan melampau pada tahun-tahun tertentu, terutama ketika letusan lahar gunung berapi berlaku, tetapi selepas beberapa bulan, tanah itu kembali menjadi subur-sesuburnya. Boleh dikatakan, penanaman apa-apa sahaja akan menjadi dan tumbuh dengan baik.
Lahar gunung berapi atau magma membawa banyak bahan mineral yang menyuburkan tanah.


bumi bertuah Jogjakarta dari udara
Melewati pekan-pekan dan kawasan perumahan di daerah ini banyak mengingatkan saya kepada daerah-daerah di Kelantan dan ada sesetengahnya seperti di Sabah atau Sarawak. Itu membuatkan diri tidak terasa canggung seperti berada di luar negara. Maksud saya, susun atur pola penempatannya lebih kurang sama sahaja, kecuali bentuk fizikal atap-atap rumah di sini dibina menggunakan atap genting yang mencuar tinggi. Mereka juga tidak begitu mementingkan hiasan-hiasan di hadapan rumah, seperti pasu-pasu bunga atau taman-taman kecil. Pada hemat saya, memang tidak begitu sesuai menghias halaman berlebih-lebihan, kerana jika sekali lahar gunung berapi menimpa, tidak akan ada apa-apa yang boleh di selamatkan.

Jalan-jalan di kota Jogjakarta dibina terlalu kecil dan berhampiran dengan bangunan-bangunan dan kedai-kedai. Tidak ada reserve jalan, sama seperti di pekan-pekan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang cina di Malaysia seperti Pekan Seri Kembangan dan beberapa tempat di Pulau Pinang. Bangunan tinggi pun tidak banyak kerana keadaan muka bumi dan struktur tanah di sini memang tidak sesuai untuk dibina bangunan tinggi-tinggi.

Orang-orang di sana banyak menggunakan kenderaan motosikal untuk pergerakan. Antara sebabnya, harga minyak  agak tinggi dan jalannya juga agak sempit menyebabkan lebih mudah tersangkut dalam kesesakan lalu lintas jika menggunakan kenderaan beroda empat. Beca juga banyak di sana, tetapi tidak kelihatan pula wagon atau tuk tuk.

Bersambung -




Gunung merapi yang masih aktif






Tuesday, January 27, 2015

Pengalaman di Water Park A Famosa Resort


Tiket 

Sebelum membeli tiket saya sudah survey banyak kali. Kami bercadang untuk mandi pada hari Isnin bagi mengelak crowd. Tapi kerana bertangguh-tangguh dan lupa, hari Jumaat baru nak beli secara online. Sudahnya tidak jadi, kerana pembelian online memerlukan dua hari bekerja sebelum tiket boleh di redeem (mujur saya baca dengan jelas syarat-syaratnya).

Pagi-pagi lagi hari Isnin saya sudah beratur dihadapan kaunter A Famosa Water Park itu. Pada mulanya kami bercadang membeli tiket combo Water Park dan Safari, tapi mengenangkan ada kemungkinan tidak cukup masa untuk masuk ke Safari, jadi saya beli tiket Water Park sahaja. Mujur juga, kerana habis mandi pukul 2, hujan lebatpun turun, memang tak akan pergi ke Safarilah kalau begitu.

Tiket pembelian secara walk-in ini disertakan dengan makan tengah hari. Agak jimat, kerana makanan luar tidak dibenar masuk. Tetapi pembelian secara online ada pilihan tiket ala-carte tanpa makanan. Walau bagaimanapun, nanti kena beli juga, terutama untuk anak-anak, kerana mesti mereka lapar lepas mandi.

Rujukan harga tiket disini

Locker

Locker kecil dan besar disediakan untuk kemudahan pengunjung menyimpan barangan seperti handbag, kunci dan sebagainya. Ada yang berani simpan barang berharga, ada yang tidak berani. Terpulang masing-masing. Saya simpan semua barang berharga, termasuk duit. Alhamdulillah, selamat. Locker kecil berharga RM4, yang besar berharga, err..lupa pulak. heh heh. Tapi awas, sekali locker ini tertutup, anda tak boleh buka. Kalau buka juga dan nak tutup balik, kena bayar harga baru. Jadi jangan sekali-kali tertinggal resit pelampung, makanan dan sebagainya di dalam locker itu. pastikan anda hanya tinggalkan barangan yang tidak diperlukan sahaja.

Makanan

Makanan boleh didapatkan dari kaunter sebelah pelampung. Peak hour mungkin meletihkan untuk beratur. Saya ambil makanan pada pukul 2.30 petang. Sudah tak ramai orang, sedang elok sangat. Hari itu pun weekday, bukan weekend. Pada weekend mungkin lebih ramai lagi.

Hanya tunjukkan resit sahaja dan pilih apa makanan yang dikehendaki. Pilihan yang ada ialah nasi dan kari ayam/nasi dan ayam kicap/nasi dan ayam halia dan bubur nasi. Alhamdulillah, mengenyangkan dan boleh tahan sedap. Air boleh pilih air tin atau mineral.

Kalau makanan itu semua tak cukup, ada lagi kedai makanan lain boleh tambah. Sediakan duit saja.Memang ada beberapa gerai di bahagian dalam menjual makanan. Tapi harganya agak mahal dari luar.

Bahagian mandi

Ada beberapa kawasan di sini. Yang dewasa, saya tidak jejak kaki langsung. Jenis jenis permainan  meluncur laju dan tinggi ini saya tidak berapa berkenan sangat. Mak tekanan darah rendah, cepat pitam kalau terkejut. Haha. Roller Coaster di USS Singapura pun saya tidak berani naik.

Kawasan khas kanak-kanak ada dua bahagian, di sebelah atas sikit ada taj mahal dan sebelah bawahnya sama sahaja seperti permainan air yang lain. Di taj mahal itu ada gelongsor yang agak tinggi juga. Saya cuba naik, berderau darah. Rupanya emak-apak tak dibenar naik, hanya untuk anak-anak sahaja, dah turun baru tahu. Ramai juga emak apak yang tumpang main gelongsor itu, tapi life guard tidak kisah pun.

Di sebelah bawah lagi ada kolam seperti pantai yang biasa. Di sekelilingnya sungai buatan yang tenang, cetek dan boleh menyusur, sesekali ada hentaman ombak besar yang dinanti dan disukai oleh ramai pengunjung.

Pelampung dan cabbana (pondok)

Ada dua jenis pelampung. Single dan berkembar dua. Yang single, sewanya ialah RM 8. Yang double RM 10. Perlu bayar deposit yang akan dikembalikan selepas memulangkan pelampung. Jaga-jaga pelampung itu, jangan sampai kena curi (ada juga yang tangan panjang) dan pastikan sticker di tangan tidak hilang.

Cabbana adalah pondok-pondok disekeliling waterpark. Pondok ini ada bayaran sewanya.

Info :

Facilities:
Locker Rental
Small locker: RM4/usage
Big Locker: RM12/usage
Tube Rental:
Double Tube: RM 10 (rental) + RM 10(deposit)
Single Tube: RM 8 (rental) + RM 8(deposit)
Cabana Rental:
Weekday : RM 70 / usage + RM 50 (deposit)
Weekend/Public Holiday/School Holiday: RM 130 / usage + RM 50 (deposit)
*First come first serve basis

Penginapan

Dulu saya pernah menginap di sini. Hotelnya agak selesa. Ketika itu menginap di apartment tiga bilik. Satu master bed room dua katil Queen, lagi dua bilik pun master bed room katil Queen juga. Tapi ada pilihan lain, apartment dua bilik dan apartment studio. Apartmentnya dilengkapi kolam renang. Ada juga vila dan banglo. Saya tidak pernah menginap di vila dan banglo itu..

Harga bilik pada hari cuti agak mahal juga. Tidak banyak penerangan boleh dibantu di sini. Tapi ada satu pakej yang memberi bilik + Tiket safari dan Oldwest, hanya berharga RM 90. Yang ini mesti dibeli minimum 4 orang. Jadi, 4 orang baru RM360. Ok juga tu. Cuma Waterpark, kena beli lainlah.

Tapi saya lebih selesa menginap diluar, terutama di Bandar Melaka dan kita ada pilihan melawat berbagai tempat perlancongan lagi.

Komen

Water Park di sini jujurnya sama sahaja dengan lain-lain waterpark besar di negara ini. Kita ada Gold Coast Morib, Gambang Waterpark, Legoland, Sunway Lagoon dan beberapa lagi. Ia terpulang kepada penilaian masing-masing. Ada yang tidak suka A Famosa Resort, ada yang suka, ada yang suka Gold Coast dan sebaliknya juga. Tanggapan umum adalah subjektif. Tapi pemilik-pemilik ini harus menjaga kebersihan dan mesra pelanggan mereka. Itu yang membezakan perkhidmatan mereka. Macam di Afamosa Water Park ini, ada beberapa bahagian yang airnya agak kotor dan peralatannya sudah agak lama. Tetapi overall, ia masih menyeronokkan.

Parking

Parking disediakan di dalam. Pada hari cuti parking sangat penuh dan ada kawasan diluar yang dibuka. Cuma kena berjalan agak jauh sedikit.  Bayarannya adalah RM3 sahaja.

Keselamatan

Jika membawa anak-anak kecil, sentiasa perhatikan mereka. Jangan sekali-kali lepas pandang dan biarkan mereka mandi sendiri. Kadang-kadang, bila dah ramai, ada ibu bapa tidak perasan kemana anak mereka pergi. Ada kes anak lemas di depan orang ramai tetapi tiada siapa perasan kerana masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Jadi berhati-hatilah dan jangan mandi sewaktu hari sedang kilat (disini mungkin life guard tidak benarkan mandi ketika kilat, untuk keselamatan).





















Monday, January 26, 2015

Pengalaman di hotel Prima Melaka

Selepas sehari tidur di rumah kakak saya dan berjalan ke Oceanarium Melaka, kami memilih tidur di hotel pula (kononnya hendak feeling bercuti). Kami memilih hotel Prima Melaka. Ia adalah sebuah hotel yang ok. Bayaran murah, bilik yang selesa, cuma bilik air agak kurang memuaskan sedikit. Tapi jangan hendak berkira sangat kerana bilik itu hanya berharga RM90 satu malam dengan dua breakfeast. Ini untuk rate weekday. Rate hari minggu adalah berbeza.

Breakfeastnya pun boleh tahan sedap juga. Tak banyak hotel murah yang menyediakan sarapan. Kalau adapun, bilik selalu tidak memuaskan dan makanan juga tidak sesedap mana. Orang yang biasa travel macam saya, pernah merasa tinggal di pelbagai jenis hotel dengan pelbagai jenis gred tidak akan banyak komplen dan tidak akan membandingkan hotel di Raub Pahang atau di Kampung Gajah Perak. Sensitivitinya kerana Melaka adalah tempat perlancongan utama, maka ada pro dan kontra. (Pada hemat saya, tak payahlah bajet hensem sangat nak ambil hotel 4-5 bintang bagai semata-mata nak menunjuk dalam facebook kita duduk di hotel, haha - tapi kalau mampu tak ada masalah apapun)




Kedudukan

Boleh dikatakan kedudukan hotel ini sangat-sangat strategik. Ia terletak ditengah-tengah Bandar Melaka dan anda boleh berjalan kaki sahaja jika hendak pergi ke tempat-tempat perlancongan terkemuka di Bandar Hilir. Cuma agak penat sedikitlah berjalan, tetapi ianya sangat berbaloi menyelusuri tepian sungai Melaka dengan sesekali memerhati bot-bot perlancongan lalu. Kawasan ini dijaga supaya sentiasa nampak klasik. Di beberapa bahagian terdapat jambatan yang merintangi sungai itu. Perjalanan dari Hotel ke Jonker Walk dan sekitarnya hanya mengambil masa kira-kira 15 minit (kecuali jika mengambil kira ada anak-anak kecil atau warga emas turut serta).

15-17 minit berjalan (parking di bandaraya ini sangat sukar, berjalan kaki lebih mudah)
Petang itu, selepas Check in, suami saya mengajak kami berjalan kaki ke Jonker Walk. Sekadar melihat-lihat. Ia pekan cina seperti Petaling Street. Mana mungkin kami hendak membeli belah dan makan dikawasan seperti itu. (Oh, maksudnya, tak sesuai untuk kami membeli barangan dan makan di sana. Bukan bias kepada peniaga cina.). Ada juga saya dengar dari kawan sepejabat, sebuah kedai makan cendol dan asam laksa yang sangat popular disini, tapi saya tak berjumpa pula kedai itu, salah lorong agaknya.







Keesokan, selepas sarapan dan check out, kami pun bertolak ke A Famosa Resort. Sebelum itu saya sudah suruh anak-anak pakai baju mandi siap-siap untuk mandi kolam. Diluar sarung baju lain, jadi sampai di sana nanti tak payah susah-susah cari tempat nak tukar baju pula.

Friday, January 16, 2015

"Segmen Pencarian Bloglist Feb - Mac 2015"


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم









Segmen ringkas untuk mencari 15 blog untuk disenaraikan dalam bloglist Truly Love.




Syarat Penyertaan:




1. Follow blog Maria Firdz


2. Follow +Maria Firdz


3. Buat entry bertajuk "Segmen Pencarian Bloglist Feb - Mac 2015"


4. Copy coding di bawah dan pastekan di ruang HTML new post.










5. Publishkan entry dan tinggalkan URL penyertaan di ruangan komen entry ini sahaja.




Segmen bermula 15 Januari 2015 hingga 30 Januari 2015.


Kesemua pemenang akan dipilih melalui random.org.




Jom sama-sama memeriahkan segmen ringkas ini..




Terima kasih atas sokongan semua...




Happy blogging (^_^)


Tuesday, January 13, 2015

Pengalaman di Oceanarium Melaka.

Agak pening juga saya memikirkan kemanakah harus membawa anak berjalan cuti sekolah. Saya tidak mahu percutian yang menggunakan bajet yang besar. Biarlah percutian yang sederhana sahaja asalkan anak-anak gembira. Ikut perancangan asal, kami dah bersetuju untuk ke Langkawi, tetapi kemudian saya tukar rancangan itu ke Cameron Highland. Namun yang itupun saya batalkan sebaik sahaja Cameron Highland dilanda tanah runtuh (walaupun saya telah booking satu bilik hotel). Sudah-sudahnya kami memilih bercuti di Melaka sahaja. Boleh juga melawat emak dan kakak saya di Teluk Mas. Kebetulan pula pengasuh anak mengadakan kenduri kahwin di Tangkak Johor, jadi, kena sangatlah dengan harinya. Hari pertama percutian itu, kami tidur di rumah kakak saya sahaja. Seronok benar anak-anak bermain dengan sepupu-sepapatnya.

Esoknya kakak saya  mengajak kami ke Oceanarium yang baru sahaja di buka di Melaka. Oceanarium ini adalah pusat akuarium yang agak sederhana besar. Ia berusaha untuk meniru seperti Aquaria di Singapura, atau mungkin juga seperti aquaria KLCC. Tetapi saya tidak pernah masuk ke Aquaria KLCC. Saya hanya pernah melawat Aquaria Singapura beberapa tahun yang lepas.

Sebelum masuk ke tempat ini, saya sudah mempunyai satu perasaan bahawa ia tidak akan setanding dengan Aquaria Singapura. Dan telahan itu memang tepat. Walau bagaimanapun adalah tidak adil jika membandingkan Aquaria Singapura dan Oceanarium Melaka. Ini kerana grednya sangat berbeza. Ia umpama membandingkan tiket bisnes class dan tiket ekonomi.Walau bagaimanapun, ia masih merupakan tempat yang menarik untuk dikunjungi jika anda belum mempunyai pengalaman masuk ke mana-mana pusat akuarium yang besar.

Harga tiket

Oleh kerana masih baru dibuka, harga tiketnya diberi diskaun sebanyak 20%. Tiket untuk dewasa ialah RM 28 dan kanak-kanak RM 18. Jadi setelah didiskaunkan, ia berjumlah 22 dan 16 ringgit. Boleh beli tambahan makanan haiwan untuk diberi semasa di dalam nanti. Tak silap saya, sepeket berharga RM10.

Kedudukan

Oceanarium ini terletak di dalam bangunan  The Shore di tengah-tengah bandar Melaka. Sangat mudah mencarinya. Sebaik masuk ke Bandaraya melaka, anda dapat melihat bangunan ini yang sangat tinggi. Di dalamnya turut menempatkan pasaraya dan hotel Swiss-Garden. Oceanarium terletak di tingkat dua.

Tiket dibeli dari kaunter pintu masuk. Bersama-sama tiket ini disertakan satu borang peraduan. Jadi sepanjang pengembaraan dalam aquarium itu anda hartus memerhati dengan baik untuk menjawab soalan. tetapi ia sebenarnya hanyalah untuk seronok-seronok sahaja, jawapan yang salahpun akan diberi hadiah juga, iaitu key-chain.

Bermula dari pintu masuk itu, kita akan menyaksikan pelbagai haiwan hidupan laut yang diletakkan didalam akuarium-akuarium dinding. Ada disatu bahagian, kolam terbuka menempatkan hidupan laut yang boleh dipegang seperti tapak sulaiman dan labi-labi. Disini boleh beri makanan haiwan, tetapi mesti beli dulu semasa diluar tadi. Saya tidak beli pun, kerana merasakan tidak perlu. Terpulanglah kepada anda pula.

Perjalanan dari mula sehingga ke akhir akuarium itu tidaklah mengambil masa yang panjang. Mungkin tidak sampai setengah jam. Tapi kalau banyak berhenti, akan ambil masa yang lebih. Katanya, terowong akuarium ini adalah yang terpanjang di dunia, iaitu sepanjang 160 meter. Tetapi perjalanan keseluruhan dalam Akuaria Singapura lebih panjang rasanya, jenuh berjalan, macam tak sampai-sampai.

Sepanjang perjalanan di dalam Oceanarium ini anda akan saksikan banyak hidupan laut. Ada satu balang akuarium yang besar dan tinggi menempatkan banyak ikan. Manakala perhentian yang terakhir ialah kawasan kolam terbuka yang di dalamnya penyu berenang-renang bebas.

Sebaik habis menjawab semua soalan kuiz tadi, anda boleh keluar dan berpatah semula kekaunter untuk redeem hadiah berupa key chain.

Komen

Betul, Oceanarium Melaka tidak setanding Aquarium Singapura. Mungkin grednya hanya 4/10 sahaja dari Singapura itu, tetapi anda harus tahu, kos untuk masuk ke Aquarium Singapura sangat mahal (hampir empat kali ganda). Segala-galanya juga sangat mahal di sana. Anda mesti buat passport dan macam-macam lagi. Jika hendak sabit tentang puas hati, memanglah Aquarium Singapura itu sangat puas hati, kita dapat lihat ikan pari yang melayah-layah seperti lelayang besar, ikan lumba-lumba yang melanggar dinding, memijak kaca-kaca cermin yang dibawahnya terdapat ikan-ikan berenang dan menyaksikan obor-obor pelbagai jenis (umpama berada diperut laut). Tapi semua itu harus dibayar dengan kos yang tinggi, jadi Oceanarium ini dapat menjadi alternatif untuk merasa pengalaman menarik itu. Cuma, pemiliknya harus menambah baik kualiti air yang agak sedikit keruh, itu sahaja.