Friday, February 6, 2015

Jogjakarta 3 - Hotel Grand Quality dan Pasar Malioboro

Selesai tugasan kerja hari pertama, kami pun dibawa ke hotel penginapan, iaitu Hotel Grand Quality, di tengah bandar. Se'Grand' namanya, ia adalah hotel yang amat menarik. Setiap malam dari pukul 8 sehingga 10, pengunjung di hiburkan dengan nyanyian lagu-lagu tradisional diraja Jawa. Terasa seperti masih berada di zaman penjajahan kolonial Belanda. Saya pula memiliki banyak koleksi buku-buku HAMKA, jadi sentiasa terbayang-bayang zaman dulu-dulu di Indonesia. Hotel lima bintang dengan perkhidmatan yang amat memuaskan dan sarapannya juga sangat sedap. Saya berharap semua makan itu halal!




Selepas check-in, kami dikerah keluar Hotel untuk makan malam di sebuah restoran makanan Jawa. Kali ini, ia betul-betul asli masakan Jawa. Orang macam saya, tak banyak karenah dalam pemakanan. Asalkan halal, saya tidak banyak komplen. Sedap atau tidak itu masing-masing punya citarasa. tetapi makanan Jawa banyak berempah. Rempahnya pula tidak sama seperti negara kita. Di Malaysia guna juga rempah, tetapi ia tidak terlalu pekat. Lagipun masakan malaysia begitu banyak di pengaruhi citarasa pelbagai kaum, menjadikannya sangat istimewa berbanding lain-lain negara.

Restoran Gudeg Yu Djum nama tempat kami makan itu. Makanan Jawa biasanya kering, tidak berkuah. Mereka gemar makanan yang bersambal. Sambalnya juga agak lain sedikit. tempenya tidak sama seperti di malaysia. Nasi ayam penyet yang agak popular di negara kita adalah adaptasi makanan jawa yang sudah diolah supaya sesuai dengan masyarakat Malaysia. Justeru rasanya lebih enak (ikut tekak orang malaysialah). Citarasa orang-orang jawa sebenarnya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penjajahan Belanda.



Selesai makan, kami di bawa ke Pasar malam Malioboro yang terkenal itu. Tetapi singkat sangat masanya, jadi tidak sempat membeli apa-apa selain memerhati drama kehidupan malam di sana sahaja. Di sini, orangnya mencari rezeki dengan pelbagai cara yang kreatif. Demi sesuap nasi mereka mampu mengenepikan perasaan malu dan pasif.  Di sepanjang perjalanan di sekitar pasar maliobro itu, mata disajikan dengan pelbagai gelagat penjual atau artis jalanan, juga para pengunjungnya.

Kononnya hendak mencari barangan kulit, tetapi tidak ketemukan, apakan daya waktu begitu cemburu. Tidak banyak tips yang dapat di berikan. Cuma berhati-hatilah ketika berjalan dan pastikan kita mempunyai kawan. Jangan bersendirian, terutamanya kepada kaum wanita. Lain dari itu, saya fikir suasana di sana sama sahaja seperti pasar-pasar malam di Malaysia. (Di mana-mana di dalam dunia inipun ada orang baik dan jahat.)


Sebelum masuk ke Hotel saya bertanya kepada bapak Andre. Bagaimanakah penduduk Indonesia berjaya menumbangkan kegagahan sistem pemerintahan berajanya yang amat terkenal suatu ketika dulu dan diganti dengan sistem republikan. Jujurnya saya amat tertarik akan hal itu. Jawab pak Andre, sebelum kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945, telah berlaku satu revolusi secara besar-besaran yang dipimpin oleh Sukarno, Jeneral Sudirman dan beberapa lagi. Revolusi Nasional Indonesia ini berjaya menghalau Belanda keluar manakala raja-raja yang bersekongkol dengan penjajah itu kebanyakkannya berkurangan kuasa. Walau bagaimanapun, di beberapa tempat di Indonesia, seperti Jogjakarta contohnya, keluarga diraja masih mempunyai kuasa dalam pemerintahan.

Monumen menunjukkan perjuangan rakyat Indonesia dalam menentang penjajahan Belanda


* Dalam Revolusi Nasional Indonesia itu, beribu-ribu nyawa terkorban termasuk nyawa rakyat Belanda sendiri lalu memaksa mereka mengiktiraf kemerdekaan tersebut pada 1949. Itulah permulaan era baru negara republikan di Indonesia.


Thursday, February 5, 2015

Jogkakarta 2 - Restoran Jejamuran dan Muzium Gunung Merapi

Jarak waktu antara Malaysia dan Indonesia adalah kira-kira sejam. Maksudnya, jika di Malaysia sudah pukul 11 pagi, maknanya di Indonesia masih lagi pukul 10 pagi.

Pertama kali makan makanan di negara tanah bekas jajahan belanda ini, kami di bawa ke sebuah restoran yang dipanggil resto jejamuran. Saya tidak faham maksud jejamuran sehinggalah mula menjamah makanan. Rupanya ia adalah cendawan. Segala macam yang dihidangkan di restoran itu adalah berkaitan cendawan organik, termasuklah satenya. Tetapi ia sedap juga. Bolehlah diterima tekak. Cuma bagi yang alah pada cendawan, mungkin akan menghadapi sedikit masalah.


 Di belakang restoran itu terdapat sebuah kawasan yang menunjukkan jenis-jenis cendawan yang dimasak. Ia merupakan cendawan yang di tanam betul-betul. Pelbagai jenis dan warna. Kesemuanya menarik perhatian saya.

Tidak jauh dari kawasan itu, turut di tanam pokok markisa yang rupa bentuk buahnya tidak sama langsung dengan yang ada di Malaysia. Ia berbentuk lonjong dan besar seperti jambu batu. Kata pegawai di sini, markisa itu telah dikacukkan. Pertaniannya sedikit advance dari kita dari segi RND (Research and Developement).

             

Kemudian kami di bawa ke kaki gunung merapi dimana sebuah muzium didirikan sebagai peringatan kepada gagahnya sisa-sisa gunung berapi itu.



Jalan ke sini terlalu sempit sehingga saya seolah-olah tak percaya yang bas itu sedang menuju ke sebuah kawasan perlancongan. Sesekali ia berselisih dengan lori-lori yang membawa hasil-hasil pertanian. Tetapi untung juga tiada gaung-gaung, hanya tali air-tali air dan sawah padi sahaja yang banyak.

Di sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan pemandangan penempatan tempatan dan kawasan-kawasan pertanian. Boleh dikatakan penduduk di sini akan menanam apa sahaja disekeliling rumah atau di tanah-tanah kosong, terutama padi. Bukan tidak ada langsung tanah terbiar ditumbuhi lalang dan belukar, tetapi nisbahnya lebih rendah dari di Malaysia. Mereka terpaksa survival demikian untuk mencari sesuap nasi. Amatlah merugikan jika tanah-tanah kosong tidak di tanam kerana kadar pengeluaran makanan di Indonesia masih rendah sedangkan penduduknya terlalu ramai. Setakat ini, mereka masih mengimport banyak bahan makanan dari luar negara sama seperti negara kita.

Gunung Merapi ini kali terakhir meletus pada tahun 2010. Letusan itu sangat dasyat sehingga laharnya mengalir lebih dari 10 kilometer dan beratus-ratus nyawa terkorban. Termasuk lagenda Mbah Marijan yang mengaku beliau adalah pemegang kunci gunung berapi itu. Saya mengikuti juga perkembangan letusan gunung tersebut ketika itu. Mbah Marijan ditemui mati dalam keadaan bersujud. Beliau tidak mahu meninggalkan rumahnya ketika keadaan sudah semakin genting. Seorang wartawan yang berusaha memujuk beliau keluar turut menemui ajalnya.

Di Muzium itu kami turut ditayangkan dengan filem rencana tentang gunung berapi ini. Bagi orang yang sangat berminat dengan geografi dan sejarah seperti saya, ia amat menyeronokkan. Malah sebelum datang kemari saya turut membuat sedikit penyelidikan tentang kedudukan mukabumi tanah Jawa Tengah dan sosio budayanya.

Ditengah-tengah lobi muzium itu ditempatkan replika gunung Merapi yang sangat besar. Dapat dilihat lekukan di sebelah selatannya, menunjukkan jika berlaku sekali lagi letusan, lava akan mengalir mengikut lekukan itu. Muzium ini dipenuhi dengan gambar-gambar letusan sejak mula ia dapat di rakam dari tahun 1920an sehingga sekarang.

Dibelakang muzium itu, terdapat cebisan lava yang sengaja dibiar untuk tatapan umum. Dari cermin ternampaklah kelibat gunung Merapi yang gagah tetapi penuh dengan rahsia suka duka penduduk Jogjakarta ini. Gunung itu mengeluarkan asap menandakan ia masih aktif.