Friday, March 27, 2015

Ulasan Novel The Kite Runner - Khaled Hosseini

Hebat.

Hanya satu perkataan yang tergambar di ruangan mata sebaik sahaja membaca bab pertamanya. Dan selepas itu saya tidak boleh berhenti lagi. Emosi diri bagaikan turut beralun-alun seperti layang-layang yang berkibar disepanjang pengembaraan terjemahan kotak fikiran Khaled Hossaini ini. Saya  tenggelam bersama-sama penyesalan Amir dan penderitaan Hassan.

The Kite Runner adalah sebuah cerita masyarakat yang tergambar begitu sahaja di dalam rentak yang sangat kreatif dan dewasa. Ia menceritakan tentang kemusnahan sebuah tamadun di negara bergolak. Tidak semua orang bergembira dengan kedatangan pemerintahan baru walaupun pada mulanya mereka menyangka pemerintah itu sangat baik dan akan membawa mereka keluar dari kepompong kesusahan dan penderitaan. Pada akhirnya, kehidupan dan ketamadunan mereka musnah begitu sahaja, terbang bersama-sama debu di suatu musim berpuluh-puluh tahun yang lalu.


Penceritaan kisah masyarakat Afghanistan adalah dari perpekstif Amir, remaja kaya yang kekurangan kasih sayang ayahnya. Walau pun masyarakat Afghanistan miskin secara umum, kurang ilmu dan terkepung dengan adat budaya yang dipakai sejak zaman berzaman, tetapi mereka selesa dengan keadaan itu. Sehinggalah kedatangan tentera Soviet Union yang kejam, meragut perpaduan dan kebahagiaan mereka. Akhirnya tampuk pemerintahan beralih kepada tentera Taliban yang digambarkan mempergunakan agama dalam melindungi misi sebenar.

Naratif cerita disusun secara bersimpang siur membuatkan pembaca perlu menghadam perlahan-lahan untuk memahami apa yang cuba disampaikan tetapi ia tidak membosankan, sebaliknya lebih mengujakan. 

Amir dan Hassan, dua sahabat baik sejak lahir. Seorang bangsa Pashtun anak saudagar permaidani dan keturunan orang kaya Afghanistan, manakala seorang lagi keturunan hazara, puak melarat yang seirng dijadikan hamba atau orang gaji, serta tidak diiktiraf kedudukan dikalangan masyarakat umum. Cerita berlatar belakangkan tahun 1970-an.

Hubungan mereka tergambar dengan baik sejak dari permulaan bab sehinggalah kepada beberapa bab berikutnya. Perasaan sayu menguasai diri sepanjang membaca bab-bab pengenalan itu, walaupun tiada muzik mengiringi pembacaan. Naratif kesedihan itu dibayangkan dengan sangat baik oleh Khaled Hosseini. Kalau ditanya saya berapakah mata yang harus diberi kepada beliau dalam pemilihan ayat dan penstrukturan bahasa yang indah ini, saya akan memberikan 10/10 markah. Novel terbaik selepas Harry Potter.

Amir berusaha sedaya-upaya menarik perhatian ayahnya yang menyimpan kisah silam yang misteri. Dalam pada itu dia meneruskan persahabatan bersama Hassan, melalui hari-hari gembira di dalam hidup mereka, memanjat bukit, menonton wayang, membeli roti naan di pasar dan berbagai-bagai kenangan lagi. Amir si bijak yang pandai membaca dan menulis, manakala Hassan si miskin yang buta huruf. Tetapi Hassan mempunyai kelebihan yang hebat iaitu, yakin diri, berhati mulia dan mudah memahami orang lain. Dia juga digambarkan sebagai pendengar yang baik dan hamba yang setia. Seringkali dia melindungi Amir dari kenakalan budak-budak kampung dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Sehinggalah suatu hari di musim dingin, pertandingan layang-layang di adakah di daerah mereka. Pertandingan layang-layang itu berlangsung setiap tahun dengan tempat terbaik pernah diduduki oleh Amir adalah pada tempat ke tiga. Tahun itu dia begitu ingin memenangi pertandingan dalam usaha mengangkat harga dirinya di mata ayahnya.

Walaupun dalam kegetiran dan ketakutan, Amir berjuang bersungguh-sungguh untuk membuktikan keupayaannya. Hassanlah, sebagai si pengejar layang-layang yang menjadi kekuatannya. Ini tergambar secara halus oleh Khaled. Bahasa-bahasanya mencerminkan keadaan jiwa Amir yang banyak bergantung kepada kekuatan Hassan. Kata-kata Hassan adalah penenang tidak terperinya sehingga dia dapat memenangi layang-layang biru yang terakhir dalam pertempuran itu. Namun kemenangan itu begitu tragis sehingga menjadi detik permulaan kegagalan, kemusnahan dan kejatuhan harga dirinya sendiri.

Ayat yang diucapkan Hassan pada kali terakhir sebelum detik itu berlaku bersenandung di dalam jiwanya selama berpuluh-puluh tahun kemudian. Saya turut berhiba dengan ayat "untukmu buat yang keseribu kalinya". Itulah pengakhiran persahabatan mereka. Tragedi yang berlaku membuatkan Amir tidak dapat memaafkan diri sendiri terhadap ketidakjujuran dan pengkhianatannya kepada Hassan. Konflik penyesalan berterusan menyebabkan dia mengalami kemurungan. Secara halus sebenarnya Amir berdendam dengan dirinya sendiri. Turning Point cerita bermula di sini.

Akhirnya dia meminta ayahnya mengusir Ali dan Hassan sekeluarga tetapi di balas dengan tempelakkan lalu hubungan mereka anak-beranak menjadi dingin semula. Penghujung musim dingin itu, Amir membuat satu helah selepas hari jadinya yang ketiga belas untuk menghalau Hassan dari gobok buruknya. Seperti biasa, Hassan tetap mempertahankan Amir, walaupun dia tidak bersalah Helah itu berjaya, Ali dan Hassan berpindah tetapi Amir menjadi orang yang tidak bahagia dan dipenuhi penyesalan.

Naratif baru dibuka selepas Amir berpindah ke Amerika Syarikat pada zaman perperangan Soviet Union dan Afghanistan. Dia turut membawa bersama penyesalan yang menghurungi diri itu. Beberapa tahun selepas kematian ayahnya, dia dihubungi oleh Rahim Khan seorang sahabat ayahnya yang tahu semua cerita sebenar yang berlaku. Ayat Rahim Khan, "ada jalan untuk kembali kepada kebaikan" menjadi kunci kepada Amir untuk membetulkan kesilapan yang pernah dilakukan.

Disini Turning Point kedua bermula. Misi memperbaiki kesilapannya dan kembali semula ke Afghanistan. Selepas berakhir segalanya di sana dan dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan, barulah Amir menjadi lega dan mampu meneruskan kehidupan tanpa penyesalan lagi.

Jujurnya saya menitiskan airmata, sebaik sahaja tamat membaca novel ini. Layang-layang diceritakan sebagai simbolik kepada keakraban jiwa Amir dan Hassan di dalam perjuangan kehidupan.

Khaled Hossein begitu berjaya membawa saya melayang-layang diudara untuk memahami keperitan hidup penduduk Afghanistan dan segala ketakutan yang dilalui dari dahulu mahupun sekarang. Dia mencipta beberapa ironi yang sangat mengkagumkan yang saya hanya jumpa kepada beberapa novel sahaja setakat ini. Antaranya babak itu, Assef diugut Hassan untuk membutakan sebelah matanya, ketika dia cuba membuli Amir, tetapi ironinya, orang yang berjaya membutakan mata Assef itu ialah Sohrab, yang juga sedang cuba mempertahankan Amir. Nama Sohrab pula di ambil sempena kisah Shahnamah yang amat dikaguminya yang pernah dibacakan oleh Amir kepada Hassan sewaktu mereka kecil. Ironinya, kisah Sohrab itulah yang menimpa kehidupan mereka pula terkemudian.

Saya memberikan 10/10 bintang untuk novel ini.

Highly recommended.

Wednesday, March 25, 2015

Segmen Blogwalking #Part3.

Assalamualaikum salam sejahtera
Dah lama tak menyertai segmen, harini saya sertai segmen dayang deno pulak
All the best to dayang Deno


http://www.dayangdeno.com/2015/03/segmen-blogwalking-part3.html 

Tuesday, March 17, 2015

Saraburi, Thailand

Sudah hampir dua minggu saya kembali dari negara Thailand, negara gajah putih yang kaya dengan sejarah Langkasuka.

Saya ke daerah Saraburi yang terletak di sebelah utara Bangkok. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira dua jam setengah sahaja. Saya menghadiri kursus yang dianjurkan oleh APNAN (Asia Pacific National Agriculture Network) dengan kerjasama EMRO (Effective Microorganisma Research Organisation) Japan dan Thailand. Ia turut dihadiri peserta-peserta dari negara New Zealand, Argentina, Bhutan, Hong Kong dan Taiwan, Jepun, Myanmar, Laos dan lain-lain.

Dua hari di Bangkok dan empat hari di Saraburi memberikan banyak pengalaman yang sangat berharga, apatah lagi jika pergi menimba ilmu. Sudah tentu nilainya lebih mahal dan menggembirakan. Tetapi tidak mungkin dapat saya menceritakan keseluruhan pengalaman saya di sana.

Cuma ada beberapa perkara yang menarik tentang Saraburi untuk dikongsi. Saraburi adalah sebuah daerah pertanian. Walaupun tanahnya kering kontang, tetapi atas usaha RND Thailand, banyak kawasan yang di tanam dengan sayur-sayuran yang saya sendiri tidak terjangka akan tumbuh di kawasan seperti itu. Contohnya seperti kobis bunga, lobak, brokoli, salad dan strawberri! Walhal ia bukan tempat yang sejuk. Mereka menggunakan aplikasi EM dan Bokashi untuk menyuburkan tanah-tanah di sini.



Daerah Saraburi juga terkenal dengan Bunga Matahari dan sebuah patung Budha besar yang terletak di Taman Negaranya (kami tidak pergi ke sana). Saya paling teringat daerah Saraburi adalah tempat dimana penggambaran drama The Princess (Luerd Katiyya) dilakukan. Suatu masa dulu drama itu pernah mendapat sambutan hangat dari penonton Malaysia. Saya fikir sebab utamanya ialah kerana pelakon lelakinya, Tik Jesdaporn Poldhee sangat tampan. Jalan cerita drama itu juga menarik dan lain dari yang lain. Tetapi saya tidak menonton cerita itu sepenuhnya dan saya dimaklumkan pada pengakhiran cerita, heronya mati juga demi mempertahankan sang puteri. Amat menyedihkan. T_T.





Gambar-gambar di Saraburi :