Monday, April 13, 2015

Ulasa novel Oktober - Kor Ewe Pin

Beberapa bab pertamanya cukup membuat saya rasa berhiba. Persembahan yang kemas dan penuh dramatik. Bahkan anak saya yang berumur 10 tahun turut bersedih sepanjang tiga hari membacanya, kerana begitu takut nasib yang menimpa Shi Yue akan terjadi kepada dirinya.

Tetapi perasaan hiba itu bertukar kepada senyuman lalu akhirnya menjadi ketawa senyap yang terbahak-bahak (harap anda dapat meng'imaginasi'kannya) ketika menunggu ketibaan Dato' Menteri untuk perasmian sebuah upacara. Saya fikir Dato' menteri yang sempoi itu tidak akan marah kepada saya kerana membaca novel semasa menunggu beliau. Ini kerana kami telah di paksa oleh urusetia untuk duduk kematu selama dua jam setengah (walaupun aturcara hanya bermula pada pukul sepuluh pagi). Sayapun tidak salahkan urusetia kerana majlis itu perlu berjalan lancar dan tidak ada orang keluar-masuk ketika acara sedang berlangsung. Mujurlah novel ini menjadi penawar kebosanan sehingga menimbulkan kekuatiran pula kepada rakan-rakan sekeliling yang bimbang saya tersampukkan hantu kerana ketawa sambil terhenjut-henjut. Kor Ewe Pin telah berjaya di dalam sebuah penceritaan jenaka yang selamba bersahaja serta bergaya.


Shi Yue, kehilangan ayah ketika berumur enam tahun. Sebelum berumur 15 tahun, emaknya pula meninggal dunia menjadikan Shi Yue anak yatim piatu yang hanya dapat bergantung harap kepada pakcik dan makciknya yang baik hati. Malangnya, dia tidak disukai Jing An, sepupunya sendiri. Tetapi Jing An tidaklah begitu jahat sehingga boleh menimbulkan perasaan benci pembaca. Ada beberapa ketika nanti, pembaca akan mula suka dan kasihan pula kepada Jing An.

Inciting Incident dan Turning Point bermula di dalam majlis berkabung mendiang ibunya, apabila sekeping surat yang ditulis mengandungi beberapa misi dan arahan buat Shi Yue. Antara misi itu ialah Shi Yue perlu berbaik-baik dengan Jing An semula, yang mana, nampaknya agak sukar untuk dilaksanakan. Misi ini juga menimbulkan satu pertanyaan dalam diri Shi Yue, apakah sebenarnya sedang berlaku dan mengapa ibunya mengaturkan sedemikian. Selesai tugasan pertama itu, misi kedua ibunya kelihatan lebih dramatik dan lebih sukar. Tetapi ia gigih dan berusaha sedaya upayanya menyelesaikan semua itu demi kasih kepada ibunya.

Tugasan demi tugasan yang dilaksanakan menyedarkan Shi Yue, ada sesuatu yang misteri tentang latar belakangnya. Pertemuannya dengan Puan Rama-Rama dan Encik Tukang Tilik menambahkan lagi secukup rasa dan babak-babak menarik novel ini. Di tambah pula dengan insiden-insiden bersama-sama rakan sekelasnya, terutama Anak Patung Barbie, memang penulis ini betul-betul selamba dan memahami sepenuhnya situasi anak-anak remaja.

Saya tidak pernah tahu, bahawa Malaysia mempunyai penulis buku cerita remaja yang sangat mearik selain dari penulis melayu. Kor Ewe Pin adalah penulis cerita cina pertama yang bukunya saya baca (saya tidak ambil kira Lim Swee Tim, kerana beliau adalah penulis buku cerita melayu). Sebijak JK Rowling, Kor Ewe Pin berjaya memasukkan elemen-elemen "sengaja silap" untuk menjadikan naratif novel lebih menarik. Contohnya, kesilapan tidur di rumah Cikgu Lim, pengganti cikgu sejarahnya, babak itu benar-benar menghiburkan. Apapun yang jelas, penamatnya telah mengkagumkan saya. Saya mampu ketawa dan menangis dalam masa yang sama.

Untuk kanak-kanak dan dewasa, saya sangat mencadangkan buku ini untuk di baca. Ia mengandungi banyak mesej tersirat, unsur-unsur nasihat dan kasih sayang abadi. Ketepikan soal "air kencing" dalam cerita ini, ia adalah satu "bahan" novel sahaja. Pembaca sejati yang berkualiti tinggi akan faham.

Highly Recommended.

10/10